Apa Desired Result Anda Dengan Promosi?

Ramai dikalangan peminat sesuatu jikalau sudah minat, apa sahaja pun sanggup dibuat untuk menyatakan kepada orang ramai bahawa dia adalah peminat nombor satu untuk sesuatu tidak kira samada yang diminatinya itu adalah seseorang atau sebuah kelab, persatuan, syarikat dan sebagainya. Segala cenderahati yang dikeluarkan atas nama sesuatu yang diminatinya itu akan dibelinya, malahan baju t yang memaparkan nama sesuatu yang diminatinya itu turut dibeli dan dipakai.
Permainan psikologi digunakan untuk membuatkan orang lain memakai baju t yang dikeluarkan. Ada restoran terkenal di peringkat antarabangsa dan mempunyai rangkaian cawangan di seluruh dunia turut menjual baju t yang bertandanamakan restoran mereka. Baju tersebut dijual di bahagian merchandise. Maka berduyun-duyunlah orang yang membelinya. Yang membeli pula, walaupun terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli baju t tersebut, dengan bangga menyarungkan baju tersebut di badan mereka.
Begitu juga dengan penjualan baju t sesebuah forum di internet. Ia turut direka dan dijual kepada kalangan ahli sesebuah forum tersebut. Dan kumpulan sasar penjualan baju t tersebut adalah dari kalangan ahli forum yang terlalu 'komited' dan sanggup melakukan apa sahaja untuk forum termasuk mengeluarkan belanja yang banyak untuk menempah, menunggu dan memperolehi baju t tersebut. Tetapi adakah tindakan itu berbaloi? Apakah yang mereka cari dengan mengeluarkan wang, menempah, menunggu dan menyarungkan baju t tersebut. Mungkin ada yang sengaja mahu menambahkan koleksi baju t yang ada, tetapi apakah desired result yang mereka kehendaki sebenarnya?
Kita seharusnya sedar bahawa merchandise seperti itu tidak lain tidak bukan hanyalah salah satu daripada konsep periklanan. Kita biasa melihat kereta-kereta dijalanan ada menampalkan pelekat jenama barangan kereta (yang saya tidak mahu sebutkan disini). Banyak pelekat jenama-jenama barangan berprestasi tinggi dilekatkan pada pintu hadapan sesebuah kereta, walaupun jenama-janama tersebut tidak ada pun di dalam kereta mereka. Hanya gah dan berasa gagah setelah menampal pelekat-pelekat tersebut, tetapi apakah yang mereka cuba capai? Mengapa kereta-kereta tersebut menampal pelekat-pelekat jenama peralatan prestasi tinggi, tetapi apa yang mereka perolehi? Soalan seperti itu wajar ditanya pada diri sendiri sebelum memburukkan pintu kereta dengan pelekat-pelekat seperti itu. Makanya, mereka akan menemui jawapan yang satu, iatu 'perbuatan sia-sia' sahaja! Kerana apa? Kerana syarikat yang memasarkan jenama-jenama peralatan kereta berprestasi tinggi itu tidak membayar apa-apa pun kepada mereka, malahan syarikat-syarikat tersebut semakin lebar senyuman mereka kerana ada juga pemandu-pemandu yang tidak tahu apa-apa, telah mengiklankan produk mereka dengan percuma sahaja!
Begitu juga dengan baju t keluaran syarikat atau sesebuah forum, atas dasar menjadi ahli forum, maka baju t yang cantik rekaannya akan mula menarik perhatian ahli-ahlinya. Biasanya seorang penolak (pusher) akan cuba mempromosikan baju t tersebut di dalam sesebuah forum (saya tidak spesifikkan pada mana-mana jenis forum, umum sahaja). Baju t itu akan dijual di dalam lingkungan harga RM20-30 sahaja. Tempahan mula dibuka dan ianya mula menerima tempahan. Ahli-ahli yang komited terus sahaja akan membeli baju t tersebut tanpa mahu memikirkan tujuan baju t tersebut dikeluarkan. Ahli-ahli yang tidak berapa aktif akan melihat sahaja proses penempahan tersebut. Sangka ahli-ahli yang aktif, itulah caranya mereka menjadi peminat setia sesebuah forum. Tetapi, adakah mereka berfikir sedalam-dalamnya mengapa sesebuah proses tempahan baju t itu di buka? Pembukaan tempahan baju t seperti itu tidak mengapa kalau ada ahli yang berminat, ralatnya ialah ia bertujuan double function iaitu menarik minat, dan juga tujuan promosi percuma.
Seperti yang dikatakan diatas, merchandise hanyalah untuk tujuan periklanan. Sepatutnya, baju t tersebut bukanlah perlu ditempah oleh ahli-ahli forum, tetapi perlu ditempah oleh pengendali forum, kerana merekalah yang mahu mempromosikan forum mereka. Dan lagi, sepatutnya mereka mestilah mengedarkan baju-baju t tersebut kepada setiap ahli forum dengan percuma kerana merekalah yang mahu menggunakan perkhidmatan ahli-ahli forum untuk mengiklankan forum atau syarikat mereka dengan cara ahli-ahli memakai naju t keluaran forum. Malahan, merekalah yang sepatutnya membayar upah kepada ahli-ahli forum yang telah bersusah payah memakai baju t yang tertulis nama forum mereka. Ramai yang tidak tahu hal ini, terus sahaja menempah apabila tempahan dibuat! Sebenarnya, memakai baju t yang dijual di pasar bundle yang berharga RM5 sehelai itu lebih baik daripada mempromosikan forum atau syarikat orang lain yang tiada keuntungan satu sen pun untuk yang menjadi tukang promosi.
Yang lebih menguntungkan ialah, kita boleh mewar-warkan perkhidmatan syarikat kita sendiri, dimana keuntungannya adalah menjurus kepada hebahan terhadap nama syarikat sendiri, bukannya mempromosikan forum atau syarikat orang lain, tetapi tiada keuntungan pun diperolehi oleh kita. Saya sendiri melekatkan pelekat alamat laman web saya cermin belakang kereta saya, tidak pula saya mahu melekatkan pelekat jenama barangan berprestasi tinggi di kereta saya kerana syarikat-syarikat yang mengedarkan barangan tersebut tidak pula membayar apa-apa komisen kepada saya jika saya melekatkan pelekat jenama barangan yang dipasarkan oleh mereka. Jadi, fikirkanlah sendiri apa desired result yang anda ingin capai dengan apa yang dilakukan. Orang lain ketawa sahaja apabila kita mempromosikan syarikat mereka dengan percuma. Siapa yang untung, dan siapa yang akan rugi?

0 comments:

Post a Comment

My Instagram