Jadilah Diri Sendiri dan Bersyukur Akan Apa Yang Ada..

Saya mempunyai sedikit masa untuk satu lagi topik, iaitu 'Jadilah Diri Sendiri dan Bersyukur Akan Apa Yang Ada..' Apa maksudnya dengan Jadilah Diri Sendiri dan Bersyukur Akan Apa Yang Ada..? Saya akan merungkainya secara ringkas berdasarkan pengalaman saya beberapa hari yang lepas.
Seperti sedia maklum, saya juga ada menerima beberapa tugasan fotografi perkahwinan yang saya jalankan sebelum saya bertugas di tempat saya bertugas sekarang. Saya telah berjanji setia menjadi jurufoto rasmi dan klien saya juga telah berjanji setia menjadi klien untuk fotografi perkahwinan dan janji setia itu telah dimeterai pada awal tahun ini lagi. Pada masa yang sama, atas keperluan gear, saya telah menjual dua jenis lensa saya untuk membeli satu lensa yang lebih baik iaitu lensa Canon 17-40 f4 L. Pada hemat saya, jika saya memerlukan lensa zum, maka saya boleh meminjamnya dari kawan satu team saya.
Seperti yang diceritakan di atas, saya telah meminjam lensa zum dan lensa prime dari salah seorang sahabat saya untuk satu tugasan di Nilai, Negeri Sembilan. Mungkin pada sangkaan saya, ini adalah proses biasa dalam sesebuah team, maka saya pun meminjamnya. Setelah saya menggunakan dengan cermat dan mendapat foto-foto yang terang kerana lensa zum tersebut adalah berapertur tetap iaitu jika dizumkan pada fokal 200mm, aperturnya adalah tetap di f4, tugasan saya pun tamat pada lewat petang, iaitu hampir pukul 5 lebih. Saya amat bersyukur kerana dapat menggunakan lensa tersebut. Lebih kurang pada pukul 6 petang, saya pun mula memandu pulang ke Kuala Lumpur tetapi sempat singgah di tempat menjual tekstil di Nilai. Dapatlah saya belikan kain sepanjang 4 meter yang hampir bercorak batik untuk isteri saya yang pada asalnya berharga RM32 semeter. Selepas itu, saya pun pulang menuju ke Kuala Lumpur.
Saya tiba di rumah pada pukul 8 lebih dan hampir-hampir pada pukul 9 malam. Sedar-sedar pada pukul 9 malam, saya lihat ada SMS dari sahabat yang memberi pinjam lensa-lensa tersebut, bertanyakan mengenai lensa-lensa beliau. Dengan sopan saya memberitahu bahawa saya baru sampai di rumah dan berjanji akan memulangkan lensa-lensa tersebut pada malam esok (Isnin). Waktu sudah menunjukkan jam 9:30. Saya pada waktu itu memang target hendak masuk tidur sahaja selepas Isya' kerana terlalu letih (tugasan saya di Nilai itu bermula seawal 9 pagi sehingga 5 petang) ditambah pula dengan masa yang diambil untuk memandu dari dari Kuala Lumpur ke Nilai dan Nilai ke Kuala Lumpur, waktu bekerja saya telah menjangkau 10 jam! Masakan saya tidak terlalu letih? Di dalam hati, saya amat mengharapkan agar pemberi pinjam dapat consider untuk saya memulangkan lensa-lensa tersebut pada keesokkan harinya. Namun beliau mahukan lensa-lensa tersebut dipulangkan pada malam itu juga!
Atas nasihat isteri saya, saya terpaksa juga keluar pada pukul 9:40 malam untuk ke Seri Kembangan demi memulangkan lensa-lensa yang saya pinjam itu. Isteri saya turut serta ikut bersama kerana bimbangkan keselamatan kalau-kalau saya tidak dapat menumpukan perhatian kepada pemanduan kerana beliau tahu saya teramat letih pada hari itu. Saya amat kasihankan isteri saya yang terpaksa turut serta di dalam penghantaran tersebut. Malahan, anak dara saya yang berusia 3 tahun itu yang sepatutnya sudah masuk tidur terpaksa ikut serta kerana siapa yang akan menjaganya kalau saya dan isteri pergi keluar menghantar lensa-lensa tersebut? Saya berasa sangat sedih pada malam itu. Tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana adat meminjam, kena dipulangkan. Mungkin dalam proses pinjaman, mesti ada timbal balik untuk kebaikan bersama. Mungkin saya telah tersalah pinjam sehingga menyeksa diri saya pula.
Setelah menunggu hampir 20 minit di depan Stesen Komuter Seri Kembangan untuk sahabat saya itu tiba, maka lensa-lensa tersebut berjaya dipulangkan. Saya terus bergegas pulang semula ke Kuala Lumpur. Saya sekeluarga telah sampai semula di rumah pada pukul 11:30 malam. Selepas Isya, saya terus tertidur kerana kepenatan yang amat sangat. Saya berasa amat sedih dan sebagai peminjam, saya terasa terlalu kerdil kerana terpaksa memandu semula pada malam itu juga demi untuk memulangkan lensa-lensa itu. Pada malam itu saya bertekad di dalam hati, gunakan apa sahaja gear YANG KITA MILIKI untuk tugasan kita. Jangan terlalu fikirkan mahu foto yang cantik, sehingga terpaksa meminjam lensa dari orang lain. Jadilah diri sendiri dalam menghasilkan foto. Pada masa ini, saya teringatkan seorang guru saya iaitu Saudara Zubir di Bangi, beliau hanya menggunakan lensa Nikon 17-55 f2.8 beliau untuk tugasan fotografi perkahwinan dari awal sehinggalah ke akhir majlis, tanpa menukar lensa pun! Mungkin saya patut kembali kepada metod itu.
Saya tidak terasa hati dengan sesiapa. Malahan, ia menguatkan semangat saya untuk menghasilkan foto-foto yang menarik pada masa akan datang dengan menggunakan gear yang SAYA MILIKI sahaja. Jika saya tiada lensa yang boleh memudahkan saya, saya tidak akan meminjamnya lagi. Sebenarnya, dengan kreativiti, foto boleh dihasilkan dengan gear yang ada sahaja. Kalau terasa jauh dan memerlukan lensa zum, tetapi kita tiada lensa zum, maka berlarilah kita dekat ke arah subjek dan gunakanlah lensa lebar yang kita miliki tanpa perlu meminjam lensa orang lain. Lensa Canon 17-40 f4 L yang saya miliki adalah antara lensa terbaik untuk fotografi perkahwinan, dan saya tidak boleh berasa rendah diri lagi dengan lensa tersebut, sementelahan lensa tersebut adalah dalam kategori lensa L (luxury). Cuma yang dikesalkan ialah, keletihan saya yang amat sangat itu tidak diambilkira dalam proses pemulangan tersebut. Namun begitu, saya redha kerana tidak semua kenalan adalah terbaik untuk kita dan mampu membantu serta memberikan ruang untuk kita.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram