Jawatan saya sekarang telah membawa saya ke satu dimensi baru, dimensi yang tidak terjangka oleh saya selama ini. Bayangkanlah jika di tempat kerja saya sebelum ini, saya sempat juga menulis di forum-forum kereta atau forum kamera, tetapi sekarang, hendak buka forum pun hujung-hujung petang barulah sempat. Kesibukan melanda saya dan saya tidak sedar masa yang berlalu begitu pantas.
Saya banyak melakukan komunikasi melalui e-mel dengan jabatan atau staf yang lain. Bermakna, dari pukul 8:45 pagi sehinggalah sekarang, saya asyik merenung skrin laptop saya untuk membaca dan membalas e-mel yang datang berjujuk ke peti simpanan e-mel saya. Malahan, pada masa saya membalas e-mel, datang 2 hingga 3 e-mel untuk saya membacanya. Keadaan ini berterusan sehingga ke petang. Tugas ini semacam gatekeeper antara staf dan pihak pengurusan. Saya yang ditengah-tengah ini menjadi penjaga hubungan antara staf saya dan ketua saya.
Ini yang menyebabkan saya tidak menyedari masa yang berlalu begitu pantas. Apabila ini berlaku, kadang-kadang kita terfikir, tidak cukup masa kah kita? Alhamdulillah, masa 8 jam yang diperuntukkan untuk bekerja telah dioptimumkan penggunaannya. Dan syukur juga kerana saya mempunyai lebihan masa kira-kira 10 atau 20 minit untuk berkongsi ilmu dengan anda di dalam blog ini. Mungkin selepas ini saya akan sibuk semula, siapa tahu.
Apa yang penting ialah, kita mestilah pandai menguruskan masa. Ada diantara kita yang diberikan terlalu banyak masa terluang, ada juga yang diberikan masa yang terhad untuk bersenang-senang. Walauapapun, pengurusan masa amatlah penting untuk kita membahagikannya untuk waktu tidur, waktu makan, waktu solat dan waktu kerja.
0 comments:
Post a Comment