Saya teringat seorang pakcik berbangsa Cina yang saya temui semasa menaiki teksi beliau. Dan sememangnya beliau adalah seorang pemandu teksi. Pertemuan tersebut berlaku dalam tahun 2002 atau 2003 iaitu kira-kira 6-7 tahun yang lalu, namun saya tidak mengingati tarikh sebenar. Peristiwa itu mungkin ada hikmahnya yang tersembunyi kerana pakcik itu telah membangkitkan mengenai salah satu strategi atau elemen perniagaan dan hal kepentingan membayar hutang.
Permulaan saya menaiki teksi tersebut memang senyap sunyi pada mulanya. Saya duduk di bangku yang bersebelahan dengan beliau pada masa itu. Sememangnya, jika saya menaiki teksi, saya tidak suka duduk di bangku belakang. Kerana bagi saya, berapa sen sangatlah saya membayar teksi tersebut untuk duduk di belakang seperti seorang Tuan besar? Saya sentiasa cuba menyelami hati dan perasaan seorang pemandu teksi yang pendapatan hariannya setelah ditolak sewa harian dan kos untuk gas NGV, mungkin tidak sebanyak yang disangka. Adalah lebih baik saya duduk di bangku dan untuk 'menjaga hati' seorang pemandu teksi. Itu cara saya, jika anda seorang wanita, elok sahaja duduk di bangku belakang, untuk keselamatan..
Setelah beberapa lama di dalam teksi tersebut, lebih kurang 5 minit saya mula membuka kata. Mungkin pakcik tersebut hanya menumpukan perhatian pada pemanduan, dia lalu tersenyum kepada saya ketika saya bertanya adakah beliau hanya memandu di kawasan sekitar Wangsa Maju itu sahaja? Pada masa itu, saya dalam perjalanan dari rumah lama saya di Ulu Kelang untuk ke Wangsa Maju. Beliau menjawab soalan saya dengan menyatakan bahawa beliau tidak menumpukan pemanduan di kawasan itu sahaja, kemana sahaja penumpang mahu pergi, beliau akan membawa mereka tanpa mengira tempat. Tidak seperti sesetengah pemandu teksi yang hanya berulang alik dari stesen LRT ke destinasi yang ingin dituju oleh penumpang dan kembali semula ke stesen LRT.
Saya pula menjawab, adalah menguntungkan untuk menunggu penumpang yang mungkin sentiasa ada di stesen LRT. Beliau menjawab, dalam hidup ini kita tidak boleh menunggu, tetapi mencari. Beliau suka mencari penumpang, bukannya hanya menunggu penumpang di stesen LRT. Mungkin bagi saya itulah kaedah terbaik dalam apa jua perniagaan pun iaitu peniaga mencari pelanggan yang inginkan barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan dan bukannya hanya duduk menunggu kedatangan pelanggan. Ini boleh dilakukan dengan menggiatkan pemasaran dan periklanan. Dalam konteks pemanduan teksi, mungkin seseorang pemandu teksi itu tidak berbaris dalam tempoh waktu yang panjang sehingga 20-30 minit di stesen LRT untuk 'menunggu' penumpang. Pakcik tersebut berfikiran lain dengan cuba mencari penumpang di jalanan yang risikonya ialah tiada penumpang yang menahan teksi beliau, namun itulah yang beliau lakukan, iaitu berani menghadapi risiko.
Beliau menambah lagi, hidup ini sememangnya mengkehendaki kita untuk giat mencari wang dan membayar hutang yang ada. Biarlah di rumah kita hanya makan ikan bilis, tetapi hutang mesti dibayar dengan segera untuk mendapatkan ketenangan fikiran. Pada saya, itu juga ada kebenarannya kerana kita mesti berusaha untuk menyelesaikan semua hutang yang ada walaupun kita terpaksa mengikat perut atau hidup dalam kesederhanaan asalkan hutang yang kita ada itu diselesaikan dengan segera. Dengan penyelesaian hutang dengan segera, kita boleh hidup tenang dan aman bahagia.
Pada saya, pertemuan dengan pemandu teksi berbangsa Cina yang terjadi kira-kira 6 atau 7 tahun yang lalu itu memberi satu pelajaran yang berguna kepada saya, iaitu kita mesti rajin berusaha di dalam hidup, tidak terlalu memilih atau cerewet, dan menyelesaikan semua hutang yang ada walaupun terpaksa hidup sederhana, kerana itulah yang terbaik. Peristiwa itu memang saya ingat sehingga ke tahun 2009 ini kerana hikmah saya menaiki teksi beliau ialah saya memperolehi pelajaran hidup yang amat berguna daripada seorang pemandu teksi yang mempunyai pengalaman hidup yang luas.
Sejurus kemudian, teksi yang saya naiki pun tiba di stesen LRT Wangsa Maju. Pakcik itu tidak pula memasuki barisan teksi yang panjang, tetapi terus menurunkan saya di hadapan gerai akhbar dan kacang yang terletak di bawah stesen kerana beliau ingin mencari penumpang lain, dan bukan 'menunggu' sahaja penumpang tiba. Secara kebetulan, terdapat seorang bakal penumpang lain yang 'malas' untuk beratur di tempat teksi-teksi lain itu beratur, telah bertanya kepada pakcik itu tentang destinasi yang ingin dituju, tanpa menjawab, pakcik tersebut telah menunjukkan isyarat tangan 'masuk teksi' kepada bakal penumpangnya itu. Wah! Beliau memang melakukan apa yang diperkatakannya, iaitu tidak memilih penumpang kerana sesetengah pemandu ada juga yang enggan mengambil penumpang untuk ke destinasi tertentu.
0 comments:
Post a Comment