Salah satu kuotasi dari penceramah motivasi dan perniagaan terkenal di dunia, Zig Ziglar ialah "A lot of people quit looking for work as soon as they find a job." Maksudnya di sini ialah, ramai orang apabila sudah mendapat pekerjaan baru, mereka telah berhenti untuk mencari pekerjaan lain. Tetapi, jika diteliti maksud kuotasi ini secara mendalam, ada kemungkinan juga, terdapat satu sisi yang berbeza iaitu kemungkinan Zig Ziglar menyatakan bahawa, ramai orang yang apabila sudah mendapat pekerjaan, mereka akan berhenti daripada mencari 'tugasan'. Saya andaikan di sini maksud yang biasa ialah yang saya terjemahkan pada terjemahan pertama untuk kuotasi di atas manakala maksud yang mendalam adalah untuk terjemahan yang kedua di atas berdasarkan maksud yang berbeza di antara work dan job. Di sini, marilah kita mentafsirkan kuotasi tersebut pada sisi yang satu lagi, iaitu dalam terjemahan yang agak sukar sedikit iaitu "ramai orang yang apabila sudah mendapat pekerjaan, mereka akan berhenti daripada mencari 'tugasan'".
Memang ramai diantara kita yang sukakan kesenangan dan kemudahan. Kita inginkan kemewahan dan itulah impian semua orang. Namun begitu, janganlah kita sangka bahawa orang-orang kaya itu adalah orang yang senang hidup mereka. Mereka menjadi kaya kerana telah melalui kesukaran demi kesukaran untuk sampai ke tahap kekayaan mereka itu. Yang senang hanyalah anak-anak mereka sahaja, yang mengecapi kemewahan dan tidak tahu menahu pun mengenai kesusahan orang tua mereka untuk mencapai tahap kaya! Begitu juga apabila kita berbincang mengenai alam pekerjaan. Kita seringkali mahukan kerja yang mudah, tetapi mahu pula gaji yang mahal. Munculnya pelbagai jenis perniagaan songsang ala goyang kaki menambahkan lagi angan-angan kebanyakan orang yang mahukan kekayaan tetapi dengan cara yang mudah walaupun itu adalah mustahil. Hanya gula-gula mencari orang bawahan, penajaan dan mencari downline telah menyebabkan ramai yang terpedaya untuk segera menjadi kaya.
Lantaran keinginan untuk goyang-goyang kaki itu, ramai pemohon kerja, hanya berusaha pada tahap permohonan kerja, menghantar resume, menghadiri temuduga dan kemudiannya jika bernasib baik, mendapat tawaran kerja tersebut. Setakat itu sahaja usaha gigih mereka! Apabila tiba hari pertama pekerjaan, ramai yang menggunakan alasan 'staf baru' untuk melakukan kerja sambil lewa dan bergoyang kaki semasa melakukan kerja. Ingatkah kita bahawa proses pembelajaran tidak terhenti apabila kita sudah mendapat skrol ijazah atau diploma atau sarjana atau ijazah kedoktoran sekalipun, malahan ia berterusan selagi nadi dan jantung kita berdenyut, selagi nyawa di kandung badan dan selagi otak boleh berfungsi dengan baik. Di dalam pekerjaan sehari-hari, kita teruskan sesi pembelajaran itu kerana banyak perkara yang akan kita pelajari setiap hari, yang sememangnya, kebanyakan ilmu-ilmu pekerjaan tersebut tiada tertulis di dalam buku.
Zig Ziglar pasti menyarankan kita mencari tugasan apabila sudah mendapat pekerjaan. Pekerjaan adalah jawatan umum, namun deskripsi tugas mestilah dipenuhi malahan perlu juga dilangkaui. Ini memerlukan proses berfikir di luar kotak walaupun kita tidak melakukan kerja multi yang boleh menyebabkan kita tidak fokus. Ia juga memerlukan usaha yang gigih dan 'kebijaksanaan' untuk memberi peluang orang lain melihat apa yang kita lakukan. Seterusnya, ia akan dihargai jika tugasan itu mampu memberikan manfaat kepada organisasi dan syarikat tempat kita bekerja itu. Tugasan saya di pusat sumber pengetahuan ini bukanlah tersekat di dalam ruang lingkup deskripsi kerja saya sahaja, seperti pengkatalogan, pembelian bahan, sirkulasi dan sebagainya tetapi juga mestilah keluar dari bidang saya menuju ke bidang pengurusan, kewangan, perolehan dan sebagainya kerana saya perlu mengetahui semua perkara itu bagi memudahkan kerja harian saya.
Jadi, saya menulis (untuk mengingatkan diri saya juga) untuk sama-sama berkongsi kuotasi pendek ini menjadi satu penjelasan yang panjang lebar, iaitu dalam ruang lingkup pekerjaan mestilah didasari oleh pelbagai tugasan yang kita biasa lakukan dan tugasan baru yang kita tidak pernah lakukan dan ia memerlukan kita untuk belajar mengenainya. Adalah satu kelebihan kepada kita jika kita mampu mengusai pelbagai tugasan, daripada hidup dengan dunia sendiri di dalam pajabat dan tidak mengetahui satu apapun mengenai dunia luar. Itu adalah sesuatu yang malang. Lebih rendah dari itu, Zig Ziglar mungkin menyalahkan sebilangan orang yang apabila sudah mendapat pekerjaan, tetapi malas untuk melakukan tugasan yang sepatutnya seseorang pekerja itu lakukan!
0 comments:
Post a Comment