Masalah Persepsi di Tempat Kerja..

Di dalam alam pekerjaan kita sehari-hari, kita tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah. Masalah-masalah yang kita hadapi biasanya akan mudah diatasi atau sangat sukar untuk diatasi dan memerlukan ketua kita pula untuk menyelesaikannya. Namun begitu, di dalam banyak masalah yang sering kita temui, kita dapat rumuskan bahawa masalah-masalah di tempat kerja sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu masalah kerja yang meliputi pelbagai masalah yang kita hadapi sehari-hari, dan juga masalah persepsi yang mungkin juga kita hadapi sehari-hari.
Masalah kerja berbeza daripada masalah persepsi. Masalah kerja boleh diselesaikan dengan melakukan tindakan susulan yang rapi yang boleh menyelesaikan masalah tersebut. Ia boleh diselesaikan. Tetapi jika kita berhadapan dengan masalah persepsi oleh orang lain terhadap kita, maka ia belum tentu boleh diatasi. Masalah di tempat kerja biasanya akan mendedahkan kita kepada masalah persepsi. Masalah persepsi bergantung kepada sejauh mana kita boleh mengelaknya daripada terjadi dan apabila sudah terjadi, apakah cara yang boleh kita lakukan untuk mengubah persepsi orang lain terhadap kita?
Apabila kita berhadapan dengan situasi dimana orang lain hanya memandang kepada luaran kita sebagai pekerja, masalah persepsi boleh berlaku sekiranya kita tersilap langkah. Ini boleh terjadi akibat daripada kesilapan kecil ataupun besar yang telah kita lakukan. Walaupun kita boleh menjadikan sesuatu permasalahan itu mudah untuk diselesaikan, namun terdapat juga orang lain yang amat sukar untuk mengikis persepsi negatif terhadap orang lain. Ini disebabkan oleh sikap tinggi diri dan mungkin juga sukar untuk memaafkan orang lain yang melakukan kesilapan. Bahkan Allah Maha Pengampun, dan Nabi Muhammad S.A.W juga ampunkan umat baginda, orang-orang yang menghadapi masalah persepsi sering dibelenggu sikap dia betul dan orang lain salah. Kesilapan yang kecil mudah menjadi besar dan membelenggu hidup kita.
Kita tidak dapat mengubah pandangan orang lain terhadap kita. Mampukah kita mengubah persepsi orang lain terhadap kita? Jawapannya ialah boleh! Tetapi penerimaan orang lain itu agak sukar untuk diubah. Pada luaran, mungkin mereka bersetuju dengan kita, tetapi di belakang, kita tidak mengetahui persepsi mereka yang sebenarnya. Jika dulu kita ini dianggap tidak mampu memberi apa-apa sumbangan terhadap syarikat sebagai contohnya, dan orang lain menganggap kita sebagai beban kepada syarikat, tetapi dengan azam yang kuat untuk mengubah persepsi orang lain, kita berusaha dan berjaya memberikan pelbagai sumbangan kepada syarikat, secara atas kertas, sumbangan kita itu mungkin boleh diterima dan diterima oleh sebilangan kecil orang lain seperti rakan setugas, tetapi pandangan orang-orang lain mungkin ada berbeza dengan apa yang ditulis di atas kertas tersebut. Paling kurang, mereka mungkin mencebik dan memerlekehkan kita akibat daripada kesilapan kita pada masa yang lalu. Manusia pada dasarnya sukakan kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain, adalah satu kebanggaan jika mereka dapat berada lebih tinggi daripada orang lain. Dan cara untuk meninggikan taraf mereka ialah meletakkan orang lain lebih rendah tarafnya daripada mereka. Dan mengungkit kesilapan lalu yang merupakan masalah persepsi yang agak kronik adalah cara terbaik ke arah meninggikan kedudukan mereka.
Cara terbaik untuk mengatasi masalah ini ialah kita tidak boleh terlalu merendah diri sehingga ke tanah, bersederhanalah dalam merendahkan diri. Tunjukkan nilai peribadi kita yang tinggi. Berhati-hatilah dalam membuat keputusan dan percakapan. Orang lain akan menggunakan sedikit kelemahan kita untuk menjatuhkan kita pada masa akan datang. Jangan buka pekung di dada dan sentiasa berhemah dalam setiap tindakan. Jika kita sentiasa menjaga perkara yang mungkin boleh memalukan kita kembali, elakkanlah ia daripada berlaku. Bak kata orang bijak pandai, "Jika kita yakin sesuatu itu boleh terjadi kerana sesuatu sebab, maka elakkanlah sebab itu daripada berlaku". Jika kita yakin bahawa gelak ketawa kita boleh menyebabkan orang mula berani menepuk bahu kita, maka elakkanlah daripada ketawa secara berlebihan sehingga menyebabkan orang lain menganggap diri kita boleh disamakan dengan mereka. Kurangkan bercakap dan bercakap bila perlu adalah salah satu cara untuk mengelakkan kejatuhan nilai peribadi kita.
Sesungguhnya, masalah persepsi adalah masalah yang sukar untuk diubah, walaupun kita sendiri telah berubah dan seribu kali lebih baik daripada kita yang sebelumnya. Maka, elakkanlah diri kita daripada terjerumus dalam masalah persepsi dengan melakukan sesuatu untuk meningkatkan nilai peribadi kita sendiri. Sekali terjatuh, amat susah juga untuk bangun jika kita kaitkan dengan permasalahan persepsi ini.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram