Membuat Keputusan

Saya baru sahaja meminta subordinate saya untuk menghadiri satu kursus yang akan diadakan di Lumut pada bulan depan atas permintaan jabatan sumber manusia. Kursus pembangunan kepimpinan itu adalah platform penting untuk seseorang eksekutif untuk mengembangkan bakat kepimpinan ada di dalam diri masing-masing. Sememangnya, saya memahami perasaan beliau kerana perlu menghadiri kursus di luar kota selama 10 hari! Mungkin juga ditengah kesibukan projek yang sedang beliau jalankan (beliau sebenarnya sedang sibuk dengan projek Sistem Perpustakaan), jangkamasa kursus yang terlalu panjang boleh menyebabkan beliau hilang fokus.
Namun saya mendapati bahawa beliau tidak kisah pun untuk menghadiri kursus tersebut dan secara tidak langsung, ia memudahkan saya untuk membuat keputusan! Sebagai seorang ketua, saya mestilah bertindak adil terhadap syarikat dan bertindak adil juga kepada staf di bawah kendalian saya. Menjadi orang tengah antara pentadbiran dan staf seliaan memang memeningkan kepala juga, tetapi itulah hakikat seorang ketua yang mesti membuat keputusan. Dan setiap keputusan pula perlu sejajar dengan misi dan visi syarikat. Jika kita seakan membantah atau terlalu memihak kepada staf, ia sedikit sebanyak akan memberi persepsi yang tidak baik terhadap imej kita. Tetapi jika kita terlalu mengikut, kita sendiri yang kehilangan staf selama 10 hari!
Saya akhirnya membuat keputusan untuk membenarkan beliau mengikuti kursus tersebut kerana berpendapat bahawa beliau sememangnya tidak kisah untuk menghadiri kursus, sementelahan beliau belum berkahwin, maka urusan meluluskan permintaan jabatan sumber manusia itu menjadi makin mudah bagi saya. Keduanya, saya dan seorang lagi eksekutif Insya Allah tidak menghadapi masalah melaksanakan projek yang sedang diusahakan oleh eksekutif yang perlu mengikuti kursus itu. Kekurangan ‘manpower’ memang mengganggu sedikit urusan operasi sesebuah jabatan, tetapi saya perlu mengusahakan apa yang termampu dengan semua sumber yang ada pada satu-satu masa.
Jadinya, selesai sudah keperluan untuk saya membuat keputusan. Begitulah prosesnya, saya tidak pasti apa lagi keputusan yang saya perlu buat selepas ini untuk perkara-perkara yang lain. Jadi, untuk membuat keputusan, saya pastinya akan mendapatkan input terlebih dahulu daripada eksekutif saya, menerangkan kepada beliau betapa peri pentingnya kursus yang beliau perlu ikuti, dan merangka pelan lain (plan B) berdasarkan sumber yang ada pada sesuatu masa.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram