Ramai diantara kita yang setiap hari berasa lesu ketika menghadirkan diri untuk bekerja. Bahkan, pada malam sebelum hari bekerja, ada yang sudah merungut yang mereka terpaksa ke tempat kerja keesokkan harinya. Ada yang pada pagi hari bekerja, sudah berasa malas untuk ke tempat kerja. Apatah lagi sampai di pejabat, tiada kerja yang hendak dilakukan walaupun terdapat banyak fail dan kertas kerja yang mesti disiapkan pada hari itu. Mengapa hal sebegini terjadi? Apakah yang menyebabkan seseorang berasa malas untuk pergi ke tempat kerja?
Salah satu sebab utama terjadinya kemalasan melampau ialah tekanan kewangan yang boleh menyebabkan seseorang itu tiada ‘selera’ untuk menjalankan kerja. Kerana mereka beranggapan bahawa, jika mereka bekerja bermati-matian pun, gaji yang mereka terima setiap bulan pun tetap sama. Jika mereka tidak menyiapkan kerja, gaji yang diterima juga akan sama sahaja. Jadi, oleh kerana kewangan mereka tidak naik malahan tetap sama setiap bulan, apabila menerima gaji tetapi terpaksa dihabiskan untuk menyelesaikan pelbagai pinjaman, semangat seseorang itu untuk bekerja akan menurun. Dalam hal ini, pekerja tersebut perlulah merangka semula pelbagai masalah kewangan atau pelbagai pinjaman supaya semangat mereka untuk bekerja akan terbit semula. Ini menuntut seseorang itu berusaha dengan lebih untuk keluar daripada masalah tersebut.
Gaji tidak mencukupi juga memainkan peranan dalam mengatasi masalah kemalasan ke tempat kerja. Ditambah pula apabila melihat kawan-kawan yang sama-sama mendapat ijazah daripada universiti yang sama tetapi mendapat gaji yang berlainan, setidak-tidaknya akan membuatkan seseorang pekerja itu berasa malas untuk pergi ke tempat kerja. Fenomena ini saling berkaitrapat dengan faktor masalah kewangan yang diceritakan di atas. Jika rakan-rakan mereka yang bekerja di syarikat yang lebih baik dan mendapat gaji yang lebih tinggi, mereka pastinya akan berasa rendah diri dan ini pastinya akan memberi kesan kepada semangat untuk pergi bekerja. Hendak berjumpa kawan-kawan yang lebih tinggi gaji daripada mereka pun membuatkan mereka berasa malu.
Banyak syarikat yang tidak menghargai pekerja. Ini adalah satu kenyataan yang pahit untuk ditelan dan ia adalah realiti di kebanyakan tempat bekerja. Syarikat hanya mengganggap bahawa pekerja adalah robot yang perlu bekerja dan mengikuti sahaja arahan. Syarikat tidak mengamalkan human touch dan sering menindas pekerja. Ini berkait rapat dengan budget constraint dan cuba mengoptimumkan keuntungan dan meminimumkan modal. Apabila syarikat terlalu tegas dalam polisi seperti ini, para pekerja tidak akan berasa seronok untuk bekerja di sesebuah syarikat tersebut. Hasilnya, daya produktiviti para pekerja di syarikat tersebut akan menurun, tetapi mereka dipaksa untuk bekerja keras. Inilah senario robot yang tiada perasaan melakukan kerja demi untuk mendapatkan sesuap nasi.
Tiada penghargaan daripada syarikat menambahkan keperitan bekerja. Apalah gunanya bekerja di bawah tekanan yang kuat daripada pihak atasan tetapi tiada penghargaan yang diberikan kepada seseorang top performer di dalam sesebuah syarikat. Alasan yang diberikan paling tepat ialah kerja berpasukan tetapi ganjaran hanya diterima oleh pihak-pihak tertentu sahaja. ketidakadilan seperti ini hanya akan merosakkan sesebuah syarikat itu sahaja.
Ego seseorang pekerja itu sendiri turut memainkan peranan penting dalam membuatkan seseorang itu malas untuk ke tempat kerja. Ego adalah disebabkan penyakit sombong yang ada di dalam diri tetapi tidak terkawal sehingga ia terbias keluar melalui sikap dan perlakuan seseorang pekerja. Masakan tidak, jika seseorang graduan Ijazah kedua tetapi tiada pengalaman kerja dan terpaksa bekerja di bawah seorang ketua yang hanya memiliki Ijazah pertama tetapi mempunyai pengalaman kerja selama berbelas tahun, sudah tentu dia akan memandang rendah terhadap ketuanya kerana dia mempunyai kelebihan akademik. Akhirnya egonya akan terbias keluar melalui percakapan, sikap dan perlakuan di dalam kerja sehari-hari. Sedikit sebanyak ini akan membuatkan dia hilang minat untuk bekerja.
Memandang ringan sesuatu kerja kerana menganggap sesuatu kerja sebagai bukan tarafnya untuk dia melakukan kerja tersebut akan menambahkan kemalasan untuk dia pergi bekerja. Sebagai contoh, seseorang graduan yang terpaksa bekerja kilang sementara mendapat kerja yang sesuai dengan taraf pendidikannya, pasti pada satu-satu masa akan mencemuh pekerjaan yang terpaksa dilakukannya itu kerana berpendapat ia tidak sesuai dengan susah payahnya mendapatkan segulung ijazah. Ini akan menyebabkan dia tidak dapat menyelesaikan kerja seharian malahan kemalasannya akan membuatkan semua kerja yang diamanahkan kepadanya akan tertangguh dan menjadi backlock yang memerangkap dirinya pada satu hari nanti. Akibat dari itu, dia akan membiarkan kerja-kerja tersebut dan berasa malas dan lesu untuk menyelesaikannya. Sikap malas akan menyusahkannya pada satu hari nanti jika kerja-kerja terpaksa menjalani sesi audit.
Tempat kerja yang jauh juga akan membuatkan seseorang itu menjadi malas dan lesu untuk menjalankan kerja hariannya. Secara kebetulan, seseorang itu mendapat panggilan kerja di Tanjung Malim tetapi beliau sudah membeli rumah di Kuala Lumpur. Akibat daripada tawaran kerja dengan gaji yang menarik melebihi apa yang ditawarkan oleh syarikat tempat dia bekerja sekarang, dia menerima sahaja tawaran tersebut dan akan mempertimbangkan hal-hal lain seperti pengangkutan, kos petrol dan sebagainya kemudian. Pada satu-satu masa, kepenatan akan mengganggunya untuk bersemangat ke tempat kerja. Tenaga tidak mencukupi akibat daripada kurang tidur dan kurang pengambilan makanan tambahan akan menambahkan kelesuan dan kemalasan untuk ke tempat kerja.
Semua faktor yang disebutkan diatas sebenarnya boleh ditangani bagi mengelakkan kemalasan dan kelesuan untuk ke tempat kerja. Ketahuilah bahawa syarikat tempat kita bekerja hanya boleh membantu diri kita untuk berubah, tetapi yang akan berubah bukanlah paksaan daripada syarikat, tetapi diri kita sendirilah yang perlu berubah ke arah yang lebih baik. Tiada orang lain yang boleh mengubah kita kecuali perubahan tersebut adalah dengan tangan kita sendiri. Fikirkanlah apa yang terbaik untuk kita dan cubalah kita capai apa yang kita ingin capai.
0 comments:
Post a Comment