Orang Amerika dan Rusia satu ketika dulu dalam tahun 60-an berebut-rebut mahu ke bulan. Projek penerokaan angkasa lepas sudah bermula lebih awal lagi. Namun kita di Malaysia, baru sahaja mencapai kemerdekaan daripada pihak British, sudah semestinya mampu melihat sahaja perlumbaan angkasa lepas ini.
Kini, banyak negara telah menghantar angkasawan ke angkasa lepas kerana kemajuan sains dan teknologi bidang tersebut, termasuk Malaysia yang telah menghantar Dato’ Dr. Sheikh Muzaffar. Kejayaan tersebut telah meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang telahpun terlebih dahulu menghantar angkasawan mereka.
Kita tidaklah mahu bercerita secara mendalam mengenai program penghantaran angkasawan ke angkasa lepas, tetapi disini ingin ditekankan mengenai masa yang berlalu telah diisikan dengan pelbagai perkara yang bermanfaat. Kita sama seperti orang lain yang mempunyai masa kehidupan seharian selama 24 jam dalam sehari. Setiap dari kita diberikan masa 24 jam sehari. Persoalan yang penting, adakah kita memanfaatkan masa 24 jam yang telah diberikan kepada kita? Orang yang sibuk dengan kerjaya sering merungut lantaran kekurangan masa sehingga waktu tidur pun disi dengan kerja sehingga terpaksa memakan makanan tambahan untuk menguatkan tubuh badan dan mental bagi menghadapi kerja pada keesokan harinya. Ada juga yang berasa santai kerana memiliki banyak masa terluang. Tidak kira bagaimana anda menguruskan masa, ia perlu menghasilkan keuntungan kepada diri anda.
Sebagai seorang remaja dan pelajar, adalah penting sekali anda pandai menguruskan masa anda. Masa sehari anda terbahagi kepada masa di sekolah, masa di luar sekolah dan masa tidur. Seperti sedia maklum, anda dihantar ke sekolah oleh ibubapa anda adalah untuk menuntut ilmu pengetahuan, tidak kiralah anda ingin menggunakan ilmu yang diberikan oleh guru anda ataupun tidak. Pengetahuan adalah kuasa! Tanpa pengetahuan, anda akan menjadi orang yang paling tidak berkuasa dan boleh diperkotak-katikkan. Jika anda tiada kelulusan akademik, anda hanya akan bekerja sebagai orang suruhan kepada mereka yang memiliki taraf pendidikan yang tinggi. Anda mahukan nasib yang begitu? Jadi, sepatutnya, masa yang diberikan kepada anda untuk menimba ilmu akan digunakan sebaiknya, kerana apabila anda pulang dari sekolah, tiada guru yang akan mengajar anda kembali. Katakana anda seorang yang suka ponteng sekolah, apa yang diajar oleh guru anda semasa anda ponteng, tidak akan diulang kembali, kecuali jika guru anda sangat berbesar hati ingin menggantikan kelas yang anda tidak hadiri itu. Perkara yang sudah berlalu, tidak akan berulang kembali.
Kita lihat dalam konteks yang lebih besar, kita lihat dalam konteks masa yang lebih panjang, bukan melihat kepada masa anda melaui tingkatan demi tingkatan, kita lihat konteks masa yang lebih panjang iatu masa persekolahan anda dan alam pekerjaan anda. Jika anda mendapat gagal dalam peperiksaan SPM, adakah anda layak untuk menjawat jawatan pegawai tadbir kerajaan? Sudah tentu tidak, bukan? Kerja apakah yang layak untuk anda? Adakah anda boleh bekerja di kilang-kilang yang rata-ratanya dihuni oleh pekerja asing sekarang? Dengan pendapatan sebanyak RM800 sebulan, adakah anda mampu untuk membayar pinjaman perumahan, pinjaman kenderaan, menanggung keperluan anak dan isteri apabila anda telah berkahwin kelak? Semua ini anda mesti fikirkan sekarang, dan bukan hari esok? Jika anda memikirkan perkara ini 10 tahun lagi, anda adalah orang yang paling rugi di dunia ini. Melainkan anda mahu mengubah hidup anda 10 tahun lagi dengan mengambil kembali peperiksaan SPM sebagai calon persendirian dan meningkat selangkah demi selangkah sehingga menamatkan pengajian di peringkat sarjana muda secara separuh masa, itu memerlukan semangat yang jitu dan kerja keras untuk mencapainya. Sikap yang betul adalah penentu kepada kejayaan seseorang di atas muka bumi ini.
Jadi, kajilah jalan-jalan ke arah kejayaan. Berjumpalah dengan guru kaunseling di sekolah anda. Jika sekolah anda tidak mempunyai guru kaunseling, berjumpalah dengan guru kelas anda. Pasti guru anda gembira jika ada dikalangan anak muridnya yang berjumpa dan bertanya mengenai apa yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar untuk mencapai kejayaan. Guru anda pasti akan membantu anda. Beliau akan menjadi jurulatih kaunseling anda. Ikutilah segala pandangan yang diberikan oleh guru anda, langkah demi langkah untuk berjaya.
Apakah definisi sebenar ‘kejayaan’ bagi seseorang pelajar? Tidak dapat dinafikan, kejayaan bagi seseorang pelajar ialah mendapat kelulusan terbaik di dalam peperiksaan PMR, SPM dan juga STPM. Namun begitu, tidak semua mampu lulus dengan cemerlang di dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut. Ada diantara pelajar yang hanya ‘cukup makan’ atau terus gagal dalam peperiksaan-peperiksaan tersebut. Walaupun penyebab utama terjadinya perkara tersebut adalah kerana kurang mentelaah atau mengulangkaji pelajaran, namun ada juga diantara pelajar yang tidak memahami apa yang mereka pelajari. Ada juga yang tidak berminat tetapi terpaksa. Contohnya, seseorang yang minat pertukangan kayu telah dimasukkan ke aliran sains tulen, akibatnya, pencapaian pelajar tersebut di dalam peperiksaan tidak memberangsangkan. Pelajar tersebut tidak mengetahui bagaimana beliau boleh meneruskan kelangsungan perkara yang diminatinya. Akhirnya, beliau terus hanyut dan tidak dapat mencapai keputusan cemerlang di dalam peperiksaan.
Kelemahan dalam kaunseling pelajar merupakan salah satu sebab mengapa pelajar tidak mengetahui apa yang patut dibuat oleh mereka dalam meneruskan pengajian. Kegagalan pelajar untuk memanfatkan perkhidmatan kaunseling yang disediakan di setiap sekolah juga adalah penyumbang kepada ketidaktahuan pelajar tersebut mengenai prospek kerjaya selepas tamat persekolahan kelak. Ini adalah daripada pemerhatian semata-mata tetapi terdapat banyak kajian telah dijalankan berkenaan isu ini. Pelajar tidak mengetahui apa yang guru kaunseling mereka boleh lakukan untuk membantu mereka, kerana mereka tidak tahu fungsi kewujudan guru kaunseling tersebut. Mungkin pihak sekolah tidak memaklumkan kepada para pelajar akan perkhidmatan kaunseling yang disediakan di sekolah mereka. Dalam hal ini, guru kaunseling patut keluar di setiap perhimpunan mingguan untuk memberikan ceramah motivasi pendek bagi membuka mata setiap pelajar supaya menggunakan perkhidmatan kaunseling pelajar di sekolah mereka. Dengan adanya kesedaran terhadap kaunseling, setiap pelajar boleh menambahkan nilai mereka selaku pelajar.
Kita tidak akan membincangkan mengenai fungsi kaunseling dan guru kaunseling di dalam bab ini, tetapi secara ringkasnya, anda selaku pelajar patut meminta nasihat daripada guru kaunseling anda mengenai hala tuju anda didalam kehidupan sebagai seorang pelajar. Begini caranya, jumpa guru kaunseling anda, kalau tidakpun, berjumpalah dengan guru kelas anda. Jangan malas dan jangan culas untuk berbuat demikian kerana anda berhak untuk mendapatkan kaunseling pelajar. Jangan pandang negatif kaunseling itu sebagai satu tempat untuk pelajar bermasalah, tidak! Kaunseling bukan tempat untuk pelajar bermasalah. Kaunseling adalah tempat untuk seseorang pelajar menambahkan nilai dirinya. Dengan kaunseling, anda akan mendapat idea untuk memajukan diri anda. Dengan kaunseling juga, anda akan memperolehi tip-tip yang berguna yang anda boleh gunakan dalam kehidupan pelajar anda. Dengan kaunseling juga, anda mungkin akan diberikan motivasi untuk bergerak kehadapan dengan lebih lancar. Jangan sangka motivasi adalah percuma. Kursus motivasi yang banyak dijalankan sekarang di merata-rata bandar dan sekolah memerlukan anda atau sekolah anda membayar sejumlah wang yang agak tinggi. Motivasi luaran adalah sama penting juga dengan motivasi dalama. Umpama meletakkan gris di tayar, ia akan melicinkan lagi pergerakan tayar tersebut. Begitu juga dengan motivasi. Untuk apa malu berjumpa dengan guru kaunseling kerana anda tidak melakukan apa-apa kesalahan pun? Dapatkan motivasi dan panduan dari guru kaunseling atau guru kelas anda.
Pertama sekali, tanya kepada guru kaunseling atau guru anda, apakah aliran atau matapelajaran yang patut anda ambil yang bersesuaian dengan minat anda. Bukalah minda anda dan jangan memberi sempadan terhadap minda anda itu. Maknanya, cuba kaji apa yang anda benar-benar minat, bukan ikut-ikutan terhadap apa yang orang lain minat atau kawan-kawan anda minat. Jika anda berminat bidang fotografi, tanyalah kepada guru anda, matapelajaran apa yang anda boleh ambil untuk disesuaikan dengan bidang yang anda minat itu. Sudah semestinya matapelajaran fotografi tidak terdapat di dalam matapelajaran yang ditawarkan di sekolah, tetapi mungkin anda boleh menguatkan daya mata dan seni anda dengan matapelajaran Pendidikan Seni! Jika anda ingin menjadi seorang Peguam, mungkin anda perlu menguatkan diri anda dengan matapelajaran sejarah, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan sebagainya. Dengan mengetahui susuran yang betul ke arah kerjaya impian anda, maka perjalanan anda ke arahnya menjadi lebih mudah. Tidak akan timbul lagi isu pelajar yang tidak minat dalam matapelajaran yang diambilnya. Kita banyak mendengar kisah-kisah pelajar yang dipaksa menjadi pelajar di dalam sesuatu bidang tetapi bidang tersebut bukanlah bidang yang diminatinya. Ada ibubapa yang merencanakan pendidikan anak-anak mereka tetapi rencana mereka bukanlah menjadi minat anak-anak mereka. Ada yang terpaksa menuruti kehendak ibubapa mereka sehingga selesai pengajian dan bertugas pula dengan jawatan yang tidak menjadi minat mereka. Ada yang tersedar awal lalu menukar haluan sebelum ianya menjadi terlambat. Ada yang terus menerus terperangkap di dalam sesuatu yang mereka tidak minati. Itu adala tragedi malang yang menimpa seseorang pelajar. Namun, ada juga yang tidak kisah dan kemudiannya meminati apa yang ditentukan terhadap mereka di kemudian hari.
Paling penting ialah, jika anda dapat menentukan rencana kehidupan anda berkenaan prospek pendidikan dan kerjaya, dengan bantuan orang-orang sekeliling anda yang lebih mengetahui, itu adalah lebih baik daripada mengikut apa yang rakan anda buat atau mengikut sahaja rencana yang direncanakan oleh ibubapa anda. Jika anda dapat bebuat demikian, maka anda mempunyai potensi untuk berjaya kerana anda tahu apa yang anda suka dan anda suka apa yang anda ingin lakukan. Melakukan apa yang kita suka adalah salah satu faktor kejayaan terhadap apa yang kita buat. Jangan sangka bahawa ada bidang-bidang tertentu yang tidak dapat menghasilkan wang yang banyak. Walaupun seorang doktor pakar bedah di sebuah hospital swasta mampu memiliki 4 buah kereta Mercedes Benz, ada juga pengusaha nurseri tanaman hiasan yang mampu hidup mewah. Ada juga pengusaha lori pengangkut sampah yang hidup kaya raya dengan perniagaan mereka. Yang penting ialah kita tahu menguruskan hidup kita. Ada juga individu yang tidak memiliki kelayakan akademik yang tinggi belajar setakat tingkatan lima sahaja, tetapi mampu hidup mewah kerana berniaga nasi campur di tepi jalan berhampiran pejabat kerajaan, itu tidak mustahil, tetapi ada kemungkinan juga mereka boleh dihalau oleh majlis perbandaran atau dewan bandaraya dan ini pastinya akan menjejaskan perniagaan mereka. Tidak salah kalau anda melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Setidak-tidaknya, jika anda masih menjadi penganggur selepas 6 bulan tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, anda mempunyai lesen iaitu segulung ijazah yang membolehkan anda kemana-mana di dalam pasaran kerjaya. Pengajian di universiti tidaklah terhad kepada belajar dan menyelesaikan tugasan sahaja, tetapi pembinaan sahsiah diri yang betul turut diterapkan sepanjang pengajian. Maka, apabila tamat pengajian, seseorang siswazah akan dapat menghadapi dunia pekerjaan yang serba mencabar dengan jayanya. Ini tidak mustahil memandangkan para siswazah akan dibekalkan dengan nilai-nilai kendiri dan pengalaman dunia pekerjaan sebenar dengan adanya latihan praktikal. Memiliki segulung ijazah tidaklah merupakan sesuatu yang menghinakan bagi mereka yang hanya berpendidikan menengah, tetapi lebih merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain.
Janganlah kerana sikap kita yang salah, maka kita akan tersekat atau tersangkut di satu tempat untuk tempoh waktu yang lama. Janganlah kerana kemalasan kita pada hari ini untuk mencari ilmu dan memanjat tangga menara gading, anak dan isteri kita tidak cukup makan 10 tahun lagi. Orang lain sudah berjaya, kita hanya mencipta alasan untuk tidak mahu berusaha lebih. Hidup ini bukanlah terlalu mudah untuk dilalui. Tanyalah ibubapa anda adakah mudah untuk mereka mencari wang setiap bulan? Dunia ini dihuni oleh dua golongan sahaja, iaitu golongan yang berjaya dan golongan yang tidak berjaya. Masuklah kedalam golongan yang berjaya kerana anda tidak ada pilihan lain selain daripada menjadi orang yang berjaya. Capailah sesuatu yang boleh dibanggakan di dalam bidang anda. Tidak semestinya jika anda berada di dalam kelas sastera, maka anda tidak boleh menjadi orang yang berjaya. Carilah kelebihan diri anda dan mantapkan kelebihan tersebut supaya anda berada di hadapan di dalam bidang yang anda ceburi.
Menjadi pelajar bertaraf dunia merupakan satu matlamat yang terlalu tinggi tingkatnya, tetapi mengapa orang Amerika dan Rusia berjaya ke bulan pada tahun 60-an sedangkan kita masih tidak mampu walaupun berada di millennium baru? Sekurang-kurangnya, kita tidak ada budaya negatif lagi di tahun 2000 seperti gejala sosial remaja, gejala rempit dan pelbagai lagi penyakit sosial yang begitu menyakitkan sebaliknya masing-masing berlumba untuk melakukan pelbagai ujikaji sains atau penyelidikan mengenai agama, ekonomi dan sebagainya. Fikirkanlah bagaimana orang sudah ke bulan, kita masih tergapai-gapai untuk memantapkan enjin motosikal demi mencapai matlamat kemenangan perlumbaan haram pada malam ini. Adakah itu berbaloi dikejar oleh pihak polis atau terlibat dalam kemalangan maut di jalanraya? Lebih baik tidur di rumah sahaja daripada melakukan kerja-kerja yang tidak berfaedah itu di waktu malam.
0 comments:
Post a Comment