Saya sentiasa mempercayai bahawa “untuk mendapatkan sesuatu yang berharga, perlu melalui jalan yang berliku”. Tidak ada yang mudah di dalam dunia ini melainkan melainkan dengan melalui jalan yang salah. Realiti kehidupan ini ialah, untuk mendapatkan sesuap nasi, perlu keluar bekerja membanting tulang berpenat lelah sehingga bercucuran titik peluh, barulah akhirnya kita dibayar untuk membolehkan kita mendapatkan sesuap nasi.
Dewasa ini, kita mendapati bahawa di bawah tanggungjawab ibubapa kita, untuk mendapatkan sesuatu yang diingini tidaklah terlalu susah. Ini mungkin kerana para ibubapa pada masa kini berkemampuan dari segi kewangan yang memungkinkan mereka tidak kisah untuk mengeluarkan belanja lebih untuk anak-anak mereka. Tambahan pula, mereka tidak ambil pusing apa keinginan anak mereka, anak mereka mahukan sehelai seluar jeans berjenama yang biasa dipakai oleh kebanyakan remaja yang menjadi ikutan masakini, mereka akan membelinya. Walaupun harga untuk sehelai seluar jeans tersebut setinggi RM250! Ada juga ibubapa yang berpendapat bahawa harga RM250 tidaklah terlalu tinggi dan mereka masih mampu untuk membayarnya. Maka, seluar jeans tersebut dibelikan untuk anak-anak mereka tanpa banyak soal. Begtu mudahnya anak-anak dari golongan berada mendapatkan apa yang mereka mahukan.
Tetapi ingatlah bahawa ibubapa anda tidak mungkin akan menanggung perbelanjaan anda dari kecil sehingga anda tua. Apabila anda berkahwin ataupun bekerja, anda perlu melalui apa yang ibubapa anda lalui dulu. Anda akan melalui kepayahan yang ibubapa anda pernah lalui dulu. Anda akan keluar bekerja, menghadapi masalah, menyelesaikan masalah, berhadapan dengan pelbagai kerenah sekeliling sebelum anda mampu menghasilkan wang sebagai keperluan hidup anda sehari-hari. Anda perlu berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup anda. Siapa yang perlu berusaha untuk anda? Sudah pastilah diri anda sendiri. Tiada orang lain yang sanggup berusaha untuk anda, tiada siapa yang akan menanggung keperluan hidup anda, anda lah yang perlu berusaha sendiri.
Apakah bekalan yang anda perlu sediakan untuk mendepani hidup yang serba mencabar ini? Dalam dunia yang mengatakan ‘masa adalah wang’ pada masa kini, anda semestinya perlu memiliki jiwa yang kental, semangat juang yang tinggi,kesihatan tubuh badan yang mantap, serta tidak lupa juga iaitu kelulusan akademik tertinggi. Tiga faktor terawal diatas merupakan kelebihan semulajadi yang boleh dipupuk dengan disiplin dan kehendak yang tinggi, dan faktor keempat pula ialah berdasarkan sikap dan penerimaan anda terhadap kelulusan akademik. Di zaman ibubapa anda, memiliki diploma atau ijazah pertama sudah memadai untuk menjawat jawatan tinggi dan menghasilkan wang yang banyak, namun pada masa kini, hanya yang memiliki ijazah tinggi pula yang terpaksa bersaing sesama sendiri. Adakah anda sudah bersedia untuk mendepani keperluan pekerjaan yang menuntut anda untuk memiliki kelulusan akademik yang tinggi? Jika pada masa ini anda tidak memikirkannya, anda pasti akan menyesal satu hari nanti.
Anda perlu memikirkan ke universiti mana anda ingin pergi seawal tingkatan tiga lagi. Kenalpasti apa yang anda minati semasa mula memasuki tingkatan tiga. Jika anda mahu meneruskan cita-cita yang anda semai sejak tadika iaitu ingin menjadi seorang doktor, maka anda perlu merancang untuk melebihkan penumpuan terhadap matapelajaran yang berkaitan dengan kerjaya tersebut. Memandangkan di tingkatan tiga anda tidak akan mengambil matapelajaran seerti biologi dan kimia, maka seharusnya anda menumpukan perhatian terhadap matapelajaran sains dan matematik. Tumpukan perhatian dan banyakkan latihan supaya anda boleh mencatat keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan PMR. Dengan keputusan terkumpul yang cemerlang, anda bakal menjejakkan kaki di aliran sains tulen dan sebagainya di tingkatan empat dan lima. Seterusnya, dengan azam dan iltizam yang tinggi, tidak menjadi masalah untuk anda melanjutkan pelajaran ke peringkat pra-universiti di dalam bidang sains, seterusnya melayakkan anda untuk bersaing merebut tempat di mana-mana fakulti perubatan di peringkat university nanti.
Untuk mencapai apa yang anda hajati, ia tidak akan datang bergolek atau melayang kepada anda. Anda yang harus mencarinya. Tindakan anda demi mencapai apa yang anda inginkan ialah menetapkan matlamat anda. Anda tidak boleh hanya berangan, atau berfikir tanpa haluan dan kejayaan bakal datang, itu tidak mungkin kecuali jika anda mendapat nasib yang baik, barangkali itu amat jarang berlaku. Keajaiban itu dicipta, bukan datang dengan tiba-tiba. Untuk menetapkan matlamat, anda perlu merancang. Rancanglah rancangan anda di atas kertas, bukannya di dalam ingatan kepala semata-mata. Rancangan di dalam ingatan bakal hilang bila-bila masa sahaja apabila anda terlupa tentangnya. Jika anda menulis, maka perkara-perkara yang anda ingin lakukan bukan sahaja nampak terancang, tetapi setiap ayat demi ayat yang anda catatkan, akan terbayang-bayang didalam ingatan anda. Jika ia terbayang-bayang di ingatan anda, sudah pastilah anda tahu apa yang sepatutnya anda lakukan dalam kehidupan seharian anda. Ingatan yang kuat terhadap segala rancangan anda akan membuatkan hidup anda terancang kerana anda sudah sedia tahu apa yang anda perlu lakukan terhadap di dalam perjalanan kehidupan anda.
Begitu juga dalam merancang atau merencana pendidikan anda sendiri, anda perlu menetapkan matlamat-matlamat yang memungkinkan anda mencapai apa yang anda hajati. Seperti yang dikatakan di atas, jika anda ingin menjadi seorang doktor, anda perlu berjaya di dalam matapelajaran sains. Jika anda tidak mampu, masih banyak cabang pekerjaan yang mampu memberikan anda pulangan yang lumayan, jika wang menjadi matlamat anda. Matlamat-matlamat anda harus dirancang dengan membahagikannya kepada dua bahagian, iaitu matlamat jangka pendek dan seterusnya matlamat jangka panjang. Matlamat jangka pendek adalah jalan kearah kajayaan dan ia mungkin terbahagi kepada sub-sub matlamat yang bakal membentuk satu matlamat yang besar. Maksudnya disini, beberapa penetapan matlamat jangka pendek akan membentuk satu matlamat jangka panjang. Kita tidak bolh terus menetapkan sau matlamat yang besar sehingga pada akhirnya kita menyedari bahawa kita tidak mampu untuk mencapai matlamat besar tersebut. Mungkin kerana kita tidak menetapkan matlamat-matlamat jangka pendek, akhirnya kita tidak mencapai apa-apa matlamat pun.
Hidup memang sentiasa berliku. Orang yang berjaya pada permulaannya mereka telah mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran yang berat, yang telah membawa mereka ke arah kejayaan. Tidak ada seorang pun yang memiliki kekayaan tanpa berusaha, kecuali diwarisi dari seseorang yang kaya, itupun kekayaan tersebut sebelum diwariskan, telah diperolehi secara susah payah dan perit jerih sebelum kejayaan datang. Ramai diantara kita yang tidak diajar bagaimana mahu berusaha sejak di alam remaja lagi. Hanya remaja yang datang dari golongan kurang berkemampuan mempunyai kelasakan dalam hidup. Mereka walaupun tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi akibat kekangan kewangan yang hebat, masih mampu untuk muncul sebagai seorang pemuda atau pemudi yang berhati cekal dan mampu menghadapapi cabaran. Manusia yang diduga dengan dugaan yang hebat, bakal muncul sebagai seorang manusia yang tahu menghadapi hidup, ada diantara mereka muncul sebagai seorang jutawan atau menjawat jawatan yang tinggi di dalam pekerjaan mereka. Terlalu dimanja akan menyebabkan seseorang menjadi lemah dan tidak tahu untuk menghadapi liku-liku hidup yang begitu mencabar. Ada yang tewas dan menjadi orang kurang berjaya kerana tidak didedahkan dengan kehidupan dunia yang sebenar pada usia yang muda. Anda perlu membaca kisah-kisah orang yang berjaya tentang bagaimana mereka menuju jalan ke puncak jaya iaitu dari tingkat bawah sehinggalah ke menara. Ada yang mengalami kegagalan beberapa kali, namun kerana ingin juga sampai ke puncak, mereka berusaha beberapa kali sehingga berjaya. Kisah-kisah ini patut diketahui untuk dijadikan pembentuk motivasi dalaman di dalam diri kita. Kita tidak mungkin akan berjaya kalau tiada motivasi dalaman yang menggerakkan kita secara automatik tanpa disuruh-suruh. Jika ditokok tambah dengan penetapan matlamat jangka pendek dan jangka panjang, dengan doa dan usaha, kita pasti muncul sebagai juara.
Ingatlah bahawa hidup ini bukanlah mudah seperti yang disangka. Kebanyakan remaja berseronok sehingga melebihi batasan yang ditetapkan tanpa mengetahui bahawa pada masa akan datang, mereka tidak boleh lagi berseronok-seronok seperti sekarang dan terpaksa membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi. Apa yang akan terjadi sekiranya anda melalui zaman remaja dengan tidak mencapai apa-apa perkara yang anda patut capai semasa di usia remaja? Cuba fikirkan, apa yang anda patut capai sekarang? Pertama, capai keputusan yang baik di dalam peperiksaan PMR anda. Dengan kejayaan di dalam PMR, anda akan meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi iaitu tingkatan empat dan lima. Jangan malas dan jangan culas kerana dua tingkatan tersebut amat penting untuk anda menghadapi peperiksaan SPM. Anda tiada pilihan selain daripada mencatat keputusan yang boleh dibanggakan di dalam peperiksaan SPM sebelum anda boleh melangkah ke peringkat pra-ijazah seperti STPM, Diploma dan Matrikulasi. Orang-orang yang berjaya memperolehi ijazah memiliki sekeping kertas yang boleh membuatkan mereka memperolehi gaji minimum sebanyak RM2000 sebulan tanpa pengalaman. Apa akan jadi sekiranya anda hanya memperolehi gaji sebanyak RM700 sebulan di tahun 2010 atau 2020? Pasti perit, bukan? Dan kini, ramai pula yang memiliki ijazah pertama sehinggakan terpaksa bersaing sesama sendiri ataupun melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah kedua atau PhD. Begitu hebatnya persaingan di dalam hidup. Mungkin pada masa akan datang, hanya mereka yang memiliki ijazah kedua sahaja yang boleh bersaing merebut jawatan tinggi di sektor kerajaan ataupun swasta. Jika anda hanya berhayal dan membuang masa, jawatan apa yang anda boleh jawat nanti? Bagaimana anda mahu membantu ibubapa anda kelak? Walaupun ada diantara orang yang tidak dapat melanjutkan pengajian ke peringkat university, tetapi masih berjaya di dalam hidup mereka dari segi material atau kewangan, itu adalah hasil usaha mereka yang tidak kenal putus asa, dan bilangan mereka terlalu sedikit.
Jangan menganggap bahawa dunia ini sentiasa manis sahaja. Pahit manis kehidupan pasti anda akan rasai. Bayangkanlah sekiranya anda tidak berusaha dari sekarang, anda tidak dapat pekerjaan yang baik kerana kelulusan yang rendah, hendak memulakan perniagaan pun tidak tahu, anda hanya dapat pekerjaan yang cukup makan, bagaimana anda mahu mendepani hidup yang mencabar di tahun 2020? Mulakan perancangan awal dari sekarang. Jangan berlengah lagi kerana masa tidak akan sudi untuk menunggu kemalasan anda. Jika anda kaya dengan pengalaman hidup, dan kaya dengan harta kerana anda menjawat jawatan yang tinggi, anda pasti boleh meneruskan kehidupan di dalam dunia yang serba mencabar ini dengan jayanya. Apa yang anda boleh lakukan ialah, jangan bergoyang kaki semasa usia remaja ini dan tetapkan matlamat anda dari sekarang, kerana masa tidak akan menunggu anda, andalah yang perlu mengawal masa anda dengan perancangan masa yang betul dan motivasi dalaman yang tinggi. Jangan memandang enteng peperiksaan kerana peperiksaan sahaja yang boleh mengukur kemampuan anda dan membawa anda ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan peperiksaan juga, anda akan mendapat tiket untuk pendidikan tinggi yang seterusnya.
0 comments:
Post a Comment