
Sebelum ini saya hanya tahu menjadi seorang Pustakawan biasa sahaja sebelum dilantik ke jawatan Senior Librarian atau Pustakawan Kanan semasa bekerja di tempat lama tahun lalu dan berakhir pada bulan Mac yang lepas. Saya hanya tahu menjalankan kerja-kerja rutin seperti pengkatalogan bahan, pemprosesan buku, sirkulasi dan pelbagai lagi kerja yang biasa dilakukan oleh seorang Pustakawan Profesional. Ya! Pustakawan adalah satu jawatan Profesional seperti juga pekerjaan Doktor dan Jurutera. Sebelum ini, walaupun bekerja sebagai Pustakawan Kanan di tempat lama, namun realitinya sayalah Senior dan sayalah Junior, kerana di tempat kerja lama, saya beroperasi secara berseorangan kerana pihak pentadbiran tidak mahu mencari pembantu untuk saya, walaupun pembantu tersebut dari kalangan kerani, inikan pula untuk mencari pembantu dari kalangan yang memiliki ijazah, mungkin tidak!
Tetapi apabila ditawarkan jawatan sebagai Ketua Pusat Sumber Pengetahuan di tempat baru ini, saya berasa sedikit terkejut juga dengan kerja-kerja yang saya perlu lakukan. Jika sebelum ini saya menjalankan tugasan Pentadbiran dan Operasi secara berseorangan di tempat kerja lama, kini saya hanya perlu melakukan kerja Pentadbiran sahaja, dan kerja Operasi dijalankan oleh dua orang eksekutif di bawah seliaan saya. Kedua-dua mereka memiliki ijazah sarjana muda dan berpotensi untuk melakukan kerja-kerja operasi dengan cemerlang. Beza antara saya dengan mereka ialah kelebihan pengalaman sahaja kerana saya sudah berada di dalam bidang keperpustakawanan sejak 8 tahun lepas. Berbalik kepada cerita tugasan saya di tempat baru ini, saya hanya menjalankan urusan pentadbiran, saya tidak lagi perlu melakukan kerja-kerja rutin yang telah saya lakukan selama 7 tahun kebelakangan ini. Tetapi beban kerja pentadbiran bukanlah satu tugasan yang mudah. Saya perlu meneliti semua yang terjadi di Pusat Sumber Pengetahuan yang saya uruskan ini secara terperinci. Saya perlu mengetahui tugas-tugas yang dijalankan oleh dua orang eksekutif saya itu walaupun saya tidak melakukan kerja mereka. Dan saya perlu tahu apa yang terjadi di luar sana dan mampu berhubung dengan jabatan-jabatan yang lain. Saya perlu berkomunikasi dengan ketua-ketua jabatan yang lain. Dan saya perlu menghadiri mesyuarat antara ketua-ketua jabatan. Pendek kata, saya adalah orang tengah antara pihak pengurusan dan kedua-dua eksekutif saya.
Saya juga terkejut dengan hirarki pentadbiran di dalam operasi Pusat Sumber Pengetahuan yang saya uruskan ini. Saya lakarkan hirarki jawatan saya sebagai Ketua Jabatan seperti di bawah:
Ketua Jabatan (Saya)
Pengurus (Manager)(Kosong)
Eksekutif Kanan (Senior Executive)(Kosong)
Eksekutif (2 orang)
Pembantu Pentadbiran (Kosong)
Sebelum ini saya hanya berpendapat jawatan yang saya terima ini hanyalah pada tahap pengurus (manager), tetapi sebenarnya ia di atas lagi. Saya berasa perasaan yang bercampur, bimbang dan berani. Bimbang jika saya lambat bertindak dan berani kerana saya berada di satu tahap yang tidak pernah terimpikan selama ini. Bersyukur kepada Allah yang telah memberi saya satu peluang yang saya tidak mahu lepaskan. Seperti yang saya pernah tulis pada hari pertama saya bekerja, leadership is not a position, it's a responsibility! Status ketua bukanlah satu posisi, tetapi lebih lagi kepada tanggungjawab. Tanggungjawab sebagai ketua merupakan satu tanggungjawab yang berat, tetapi insya Allah, dengan teknik yang betul, kita pasti akan dapat menganggung bebannya. Memperbanyakkan pembacaan buku-buku motivasi dan pembangunan diri boleh membantu di dalam proses ini.
Cerita ini tidaklah lebih daripada hanya motivasi untuk anda, bukanlah untuk memberitahu jawatan baru saya kepada semua pembaca. Ambillah tulisan ini secara positif untuk mempertingkatkan diri anda. Hidup ini bukanlah sesenang yang disangka, banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul. Janganlah melepaskan peluang yang datang hanya kerana kita tidak berani untuk menanganinya, kerana peluang jarang datang untuk kali kedua. Jika anda melepaskannya, kemungkinan besar anda terpaksa menunggu lagi untuk beberapa tahun atau untuk tempoh masa yang panjang lagi. Percayalah pada kemampuan diri sendiri. Jika orang yang sudah berjaya, telah berjaya melakukannya, kenapa tidak kita?
0 comments:
Post a Comment