Rupanya semalam, semasa saya terkejar-kejar masa nak clock in masuk kerja, saya terlupa untuk menutup lampu kecil di kereta saya yang saya nyalakan semasa memandu. Yelah, pagi semalam keadaan jalan basah dan langit masih mendung, saya nyalakan lampu untuk kemudahan kereta di depan saya. Jalan basah, perjalanan jadi lewat, terkejar-kejar nak clock in, langsung terlupa nak tutup lampu kecil. Dan susunan tempat letak kereta semalam pun seperti susunan kereta di kedai menjual kereta terpakai, saya yang agak susah hati takut-takut kalau ada yang menyagat bumper kereta saya terus turun sebentar pada pukul 5:45 untuk melihat kereta, mana tahu kalau-kalau ada yang hendak pulang tetapi terhalang oleh kereta saya (walaupun saya turunkan brek tangan). Apabila sampai ke tempat letak kereta itu, rupanya kebanyakan kereta sudahpun keluar, tinggal kereta saya dan beberapa kereta lain yang pemiliknya mungkin pulang lewat.
Saya menekan alarm untuk membuka kunci, tiada bunyi! Saya berasa sedikit cuak, mengapa pula alarm kereta saya tidak berbunyi. Adakah main board alarm kereta saya sudah rosak walaupun saya baru sahaja menukar alarm?!! Saya lihat di tempat mengawal alarm bernyala lampunya apabila ditekan. Setelah menekan pengawal alarm tersebut beberapa kali dan pasti ia bukanlah disebabkan kehabisan bateri pada pengawal alarm, saya cuba membuka pintu dengan cara manual iaitu menggunakan kunci. Apabila terbuka sahaja pintu, alarm tidak berbunyi! Saya nampak pula tombol untuk menyalakan lampu terletak pada suis penyala lampu, maka sahlah bateri sudah habis kerana lampu tidak ditutup!
Malang sekali saya tiada jumper dan bateri tambahan untuk menghidupkan enjin kereta. Nak harapkan orang lain membantu, tak mengapalah kerana ada seorang pegawai di tempat saya bekerja, mungkin Eksekutif Kanan, hanya bertanya mengapa dan apabila saya menjawab bateri rosak, tidak pula dia menawarkan bantuan, terus mengatakan "oh, ye ke?" kemudian menghidupkan kereta beliau lalu terus pulang ke rumah. Saya juga ada memberi 'bunga-bunga' memohon bantuan kepada eksekutif di bawah seliaan saya melalui panggilan telefon, tetapi mungkin kerana beliau tidak memahami 'bunga-bunga' yang saya berikan itu, maka beliau mencadangkan saya menggunakan perkhidmatan teksi! Bertuah punya staf! Tetapi saya tidaklah marah kepada beliau mahupun untuk berasa kecewa, kerana saya pun baru seminggu mengenali beliau, saya tidak jangka kalau beliau sanggup menolong saya sehingga ke tahap membelikan bateri di kedai alatganti kereta!
Saya cuba berjalan kaki dari bangunan Sapura yang menempatkan pejabat syarikat tempat saya bekerja sehingga ke simpang Mines/Balakong, tetapi rasa perjalanan saya itu mungkin menemui jalan buntu, saya berpatah balik, kerana kalau saya berjalan jauh tetapi saya tidak tahu dimana kedai alat ganti dikawasan itu, susah juga. Tiba-tiba saya teringat bekas kerani saya semasa saya bekerja di sebuah bank di Bandar Tasik Selatan kira-kira 3 tahun yang lalu. Kebetulan pula beliau sedang minum setelah penat bekerja, saya menelefon beliau dan beliau terus sahaja menawarkan bantuan untuk membeli bateri setelah saya meminta beliau berbuat demikian. Lalu dalam masa 20 minit sahaja, beliau telah tiba dengan sebuah bateri baru yang berharga RM125 sahaja! Memang terbang duit saya, tetapi apa yang saya boleh lakukan lagi selain daripada melakukan apa sahaja supaya saya dapat pulang ke rumah!
Terima kasih saya ucapkan kepada bekas kerani saya dulu iaitu Saudara Mohd Shahril bin Arshad yang bekerja di Bank Muamalat di Bandar Tasik Selatan kerana telah membantu tanpa banyak kata, terus sahaja datang dengan sebuah set bateri baru! Jasamu dikenang!
Setelah saya memutar skru untuk menukar bateri, akhirnya enjin dapat dihidupkan, dan saya akhirnya dapat pulang pada pukul 6:45 dan sampai dirumah pada pukul 8 malam tadi. Itulah pengalaman kali kedua bateri kereta yang sudah habis. Kali pertama dulu berlaku pada tahun 2007, dimana pada masa itu saya menggunakan bateri sel kering, ia seakan time bomb kerana tiba-tiba sahaja rosak. Sejak itu, saya lebih suka menggunakan bateri sel basah kerana jangka hayatnya lebih panjang dan harganya yang lebih murah! Lagipun, untuk apa berbelanja lebih untuk bateri?
0 comments:
Post a Comment