Kesesakan Adalah Satu Kerugian!

Pagi ini merupakan satu kebosanan bagi saya. Apa tidaknya, saya terpaksa keluar dari pejabat hanya selepas pukul 6 petang ini. Memandangkan sistem kehadiran di tempat kerja saya yang fleksibel, iaitu jika datang sebelum atau pada pukul 8 pagi, seseorang staf boleh pulang pada pukul 5 petang, jika datang sepanjang pukul 8:00 sehingga 8:30 pagi, boleh pulang pada pukul 5:30 petang dan jika datang pada pukul 8:30 sehingga pukul 9 pagi, terpaksa pulang pada atau selepas pukul 6! Saya yang clock in pada pukul 8:35 (hanya terlewat 5 minit dari tempoh sebelum 8:30), terpaksa pulang pada atau selepas pukul 6 sahaja.

Sebenarnya, saya boleh saja sampai sebelum atau pada 8:30, tetapi akibat daripada masalah tempat letak kereta di bangunan yang menempatkan agensi kerajaan tempat saya bekerja ini, pencarian untuk tempat letak kereta amatlah sukar sekali. Jika bernasib baik, maka dapatlah tempat letak kereta di sekitar bangunan ini. Jika tidak, terpaksalah mencari tempat letak kereta di bangunan using berhadapan dengan tol Lebuhraya Besraya di Mines yang letaknya lebih 1 kilometer. Jarak tersebut bukanlah dekat, jika sampai di pejabat, badan pun sudah berpeluh-peluh. JIka hendak positifkan pemikiran, anggap sahaja ia sebagai senaman walaupun tanpa rela.

Akibat daripada masalah tempat letak kereta di sekitar bangunan ini, para pekerja yang datang awal pun boleh jadi lewat. Ini kerana, tempoh masa untuk mencari tempat letak kereta, jika tidak bernasib baik, mungkin memakan masa sehingga 15 minit. Tetapi jika kita mengambil keputusan untuk meletakkan kereta jauh di bangunan usang di depan tol Lebuhraya Besraya di Mines itu, cukup mudah, 3 minit pun sudah sampai ke sana, tetapi untuk berjalan kaki ke bangunan tempat saya bekerja ini, mungkin akan memakan masa sehingga 15 minit untuk sampai. Jika dicampurkan masa untuk mengunci kereta, berkemas-kemas sedikit, sebaik-baik kita datang pada pukul 8:10 pun akan terpaksa clock in pada pukul 8:35! Amat merugikan masa.

Dewasa ini ramai sungguh yang memandu ke pejabat. Untuk menyalahkan orang lain, kita sendiri juga mempunyai alasan yang tersendiri untuk memandu ke pejabat. Mungkin sahaja untuk keselesaan sendiri, atau di kawasan perumahan kita sistem pengangkutannya agak gagal atau apa sahaja alasan kita, kita lah yang menyumbang kepada kesesakan tempat letak kereta dan juga kesesakan jalanraya. Ini tidak dapat dielakkan. Jika sesebuah syarikat itu mahu memindahkan operasinya ke tempat yang kurang orang seperti Putrajaya atau Cyberjaya, akuilah bahawa dalam masa 2 atau 3 tahun kemudian, tempat-tempat itu akan turut sesak seperti tempat lain. Bak kata pepatah, dimana ada gula, di situlah banyak semut.

Apa yang boleh dilakukan oleh pihak berwajib (baca: pihak pentadbiran syarikat/agensi kerajaan), perlulah menyediakan bas shatel kepad para pekerjanya. Ini adalah satu kaedah untuk mengurangkan kesesakan di tempat letak kereta dan kesesakan jalanraya. Sebagai contoh, penyediaan bas shatel dari mana-mana stesen LRT atau komuter yang terdekat adalah patut sebagai alternatif pengangkutan ke pejabat yang akan menarik minat ramai pekerja untuk menggunakannya. Selama ini, perkhidmatan tersebut mungkin ada, tetapi ianya tidak begitu reliable sehingga menyebabkan ramai pekerja yang tidak berharap kepada sistem tersebut lantas berduyun-duyun memandu sendiri ke pejabat.

Jika alternatif ini disediakan dengan penaiktarafan sistemnya kepada lebih efisyen, maka ramailah yang akan meninggalkan kereta mereka di rumah dan menggunakan sistem pengangkutan seperti ini. Banyak perkara boleh dijimatkan dan pastinya akan dapat meningkatkan produktiviti setiap pekerja kerana mereka tidak membazirkan tenaga mereka semasa dalam perjalanan ke tempat kerja. Apabila tidak terlalu letih, maka tenaga yang ada akan dapat disalurkan kepada tugasan di pejabat. Ini pastinya akan menguntungkan syarikat/agensi kerajaan dan para pekerje mereka sendiri.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram