Esok merupakan hari bapa. Ia disambut pada hari Ahad ketiga dalam bulan Jun setiap tahun. Walaupun ianya bukanlah hari yang disambut di dalam kalendar Islam, tidak salah rasanya kita mengadakan satu hari yang dikhaskan untuk mengingati bapa kita. Ramai yang mengatakan bahawa setiap hari kita boleh mengingati bapa, bukan pada hari bapa sahaja, tetapi lebih ramai yang langsung tidak mengingati bapa walaupun hari esok ialah satu-satunya hari yang dikhaskan untuk mengingati bapa!
Kasih sayang bapa tidak ternilai harganya. Semenjak menjadi bapa 3 tahun lalu, barulah saya tahu perit jerih seorang bapa. Ketika kecil dahulu, bapa saya sanggup berhabis wang untuk saya dan adik beradik. Jarang sekali bapa saya membelikan baju di pasar malam, biar beliau makan nasi goreng sahaja, namun kebajikan anak-anak amat beliau utamakan. Kemeja t Gotcha memang menjadi pakaian saya semasa kecil. Begitu juga dengan beg sekolah yang cantik. Kebajikan saya semasa mula memasuki sekolah rendah, sekolah menengah dan ke Universiti Teknologi MARA dijaga oleh bapa dan ibu saya. Alangkah bertuah dan bersyukurnya saya kerana masih mempunyai seorang bapa dan penyayang pula.
Sememangnya, perselisihan faham dengan bapa wajarlah diselesaikan dengan segera. Keperluan bapa semasa beliau tua wajar disediakan dan janganlah sesekali mempunyai hajat untuk menghantar beliau ke rumah orang tua. Bapa kita dulu tidak pernah pula mempunyai hajat untuk menghantar kita ke rumah anak-anak terbiar atau membiarkan kita di depan pintu masjid, di perhentian bas atau di dalam longkang. Ingatlah bahawa bapa kita tidak pernah melakukan perkara-perkara ini dahulu terhadap kita. Sanggupkah kita melihat air mata bapa kita bercucuran kerana melihat beliau dihantar ke rumah orang tua? Kemana perginya kasih sayang beliau yang dicurahkan kepada kita semasa kita membesar dahulu? Wajarkah kita membiarkan bapa kita keseorangan sedangkan bapa kita tidak pernah membiarkan kita keseorangan di depan pintu masjid, di perhentian bas atau di dalam longkang? Ah, sungguh sedih..
Mengadakan satu hari khas untuk memperingati bapa bukanlah salah selagi tidak menyalahi syarak, kerana ianya bukan satu perayaan, tiada percampuran lelaki dan perempuan yang bukan mahram, tetapi ia adalah hari untuk memperingati bapa, ia ada tanda bermulanya aspirasi kita untuk memberikan kasih sayang kita kepada bapa kita selepas hari Ahad ini, hari Isnin, Selasa, Rabu dan berlanjutan ke bulan-bulan seterusnya sehinggalah selama-lamanya. Jelaslah bahawa kita boleh menerima adat kaum lain (barat) selagi tidak bercanggah dengan syarak. Dan yang pasti, subjek utama topik ini ialah bapa kita, di dalam Islam ada mewajibkan kita menghormati dan menyayangi bapa kita, adakah kita enggan menerima hari yang semua bapa diiktiraf? Saya sebagai seorang bapa juga mahu diiktiraf oleh anak dan isteri saya. Tiada orang yang tidak mahu diiktiraf.
Paling penting ialah niat kita terhadap hari bapa. Bahkan setiap yang ingin kita lakukan mestilah disertai dengan niat. Walhal semasa hendak makan pun, selain daripada membasuh tangan, membaca doa makan dan membaca bismillah, kita mestilah memasang niat atas kehendak kita untuk makan, seperti niat mahu kenyang, mahu mendapat keberkatan Allah, mahu mendapat tenaga supaya dapat melakukan kerja, begitu juga dengan mengingati dan memberikan kasih sayang terhadap bapa kita. Beliaulah yang telah membanting tulang semasa usia mudanya untuk mencari wang supaya dapat membesarkan kita. Tidak cukup dengan itu, bapa memainkan peranan dalam membentuk kita menjadi insan yang bertaqwa, tahu mana halal dan mana yang haram, beriltizam tinggi serta membentuk akhlak dan peribadi yang mulia. Kita pun tahu kelahiran kita di dunia ini adalah laksana kain putih bersih yang kosong, ibu bapa kitalah yang akan mencorakkan kita samada kita menjadi Islam atau Yahudi atau Nasrani. Tetapi ibu bapa kita membentuk kita menjadi Islam semasa kita berkeadaan berlampin putih. Syukurnya kerana itulah yang terjadi! Nikmat terbesar bagi kita ialah nikmat iman, dan kerana ibu bapa kita mencorakkan kita menjadi Islam dan iman masuk ke dalam diri kita sehingga kita kenal Allah Subhanawata'ala..Tidakkah itu antara sumbangan ibu dan bapa kita? Kalau tidak, entah siapa lah kita ini sekarang..
Jadi, mulai sekarang, sama-samalah kita menyayangi bapa kita. Walaupun semasa kita kecil beliau begitu garang sambil memukul kita dengan rotan, itu adalah cara beliau mendidik kita. Hasilnya, lihatlah siapa kita sekarang? Kita memasuki dan belajar sehingga ke menara gading dan memperolehi ijazah, gaji kita menjangkau RM3000 sebulan, apalah salahnya kita berikan kasih sayang kepada bapa kita? Bukan material yang beliau minta, tetapi kasih sayang, peluk cium di pipinya lah yang beliau rindukan sebagaimana beliau tidak lepas-lepas memeluk dan mencium kita semasa kita kecil dahulu. Kita didukung oleh beliau sehingga berusia lima tahun, tidak dibenarkannya kita berjalan di atas kaki lima atau jalan tar kerana takut kita terjatuh. Cukupkanlah keperluan bapa dan ibu kita walaupun hanya dengan beberapa kampit beras dan barangan keperluan dapur supaya mereka tidak lapar. Bagi bapa yang kaya, cukuplah sekadar memberikan kasih sayang kerana mereka tidak mengharapkan wang kita.Bentuklah juga peribadi mulia demi Allah dan ibu bapa kita sebagai makhluk Allah yang telah memberikan kasih sayang yang tidak terhingga kepada kita. Janganlah jadi insan yang tidak berguna kerana itu bukanlah apa yang diharapkan oleh ibu bapa kita semasa kita lahir dahulu.
0 comments:
Post a Comment