Speaking LONDON?

Pagi ini saya telah mempengerusikan satu mesyuarat dan demo oleh sepasukan ahli jualan yang mempromosikan produk atas talian yang boleh dimanfaatkan oleh beberapa jabatan di agensi tempat saya bekerja ini seperti Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Kewangan. Saya selaku Ketua Jabatan Pusat Sumber Pengetahuan telah secara automatik menjadi perantara kepada mesyuarat dan demo tersebut.

Saya yang sudah beberapa bulan tidak bercakap dalam Bahasa Inggeris, terpaksa mengasah lidah pula kali ini kerana pasukan ahli jualan tersebut memang juara dalam berbahasa Inggeris kerana itu adalah bahasa yang sering mereka gunakan dalam aktiviti jualan mereka. Kali terakhir saya berbicara di dalam Bahasa Inggeris ialah semasa saya masih dengan majikan lama iaitu dengan para penyelidik yang kebanyakannya dari Eropah dan seorang dari Amerika Syarikat. Semasa bekerja dengan majikan yang baru ini, jarang sekali kami berbual 100% di dalam Bahasa Inggeris, barangkali hanya mempraktikkan bahasa campuran antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Saya dan kebanyakan orang lain di pejabat memang suka bertutur dalam Bahasa Melayu sahaja kerana kami memang orang Melayu! Bertutur di dalam Bahasa Inggeris sesama bangsa memang adalah satu praktis yang baik, tetapi mungkin ia nampak plastik.

Saya banyak menerangkan mengenai apa yang diinginkan oleh jabatan saya selaku penyedia maklumat dan pengetahuan kepada jabatan-jabatan lain. Dan respon daripada semua ketua jabatan yang terlibat adalah penting kerana jabatan saya tidak mahu syok sendiri dalam menyediakan bahan maklumat. Bajet yang besar sudah tersedia, hanya pemilihan tajuk yang menepati kehendak pengguna di beberapa jabatan terbabit adalah yang diperlukan oleh jabatan saya.

Saya mendapat respon yang sangat baik daripada Ketua Jabatan Sumber Manusia kerana apa yang dipersembahkan oleh kumpulan ahli jualan itu menepati kehendak beliau dan selayaknya beliau terus menanda tajuk-tajuk bahan maklumat atas talian yang beliau dan para eksekutif beliau perlukan. Manakala Ketua Jabatan Undang-Undang memerlukan lebih banyak senarai bahan maklumat dan Ketua Jabatan Kewangan pula akan meneliti terlebih dahulu apa yang diperlukan oleh jabatan beliau.

Selepas selesai mesyuarat tersebut, saya telah membawa kumpulan ahli jualan itu meninjau perpustakaan yang saya kendalikan dan memperkenalkan mereka kepada staf-staf di bawah selian saya. Sehingga ke sudah pun saya masih bercakap di dalam Bahasa Inggeris, kata orang, “cakap ajelah” daripada saya kurangkan bercakap, apa pula kata orang nanti. Pasif adalah satu sifat yang tidak patut diamalkan sekiranya kita berada di peringkat pengurusan. Lontarkan apa sahaja pandangan dan kemukakan apa sahaja idea, semoga orang memandang kita sebagai seorang yang aktif dan boleh diharapkan! Bertutur di dalam Bahasa Inggeris adalah keperluan nombor satu dan tidak boleh dielakkan!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram