Retire Rich, Retire Young

Saya mula membaca buku Robert Kiyosaki dan Sharon Lechter iaitu Retire Rich Retire Young pada tahun awal 2002, iaitu semasa saya mula-mula grad dari UiTM dahulu. Semasa itu, saya amat terpengaruh dengan ‘ajaran’ yang dikemukakan oleh Robert Kiyosaki dan Sharon Lechter ini iaitu bagaimana mencari kekayaan supaya kita boleh bersara awal. Seingat saya, pada usia 40-an, Robert Kiyosaki's dan Sharon Lechter sudahpun bersara dan menikmati kehidupan, dan beliau memberikan cadangan demi cadangan untuk kita juga mencapai apa yang dimaksudkan dengan ‘bersara awal’ itu.

Kita tinggalkan kisah buku tersebut. Jika anda berhajat untuk membaca buku tersebut, ianya masih lagi dijual dan saya pernah melihat buku tersebut di dalam versi Bahasa Melayu juga sedikit masa dahulu. Sememangnya, seorang graduan dari mana-mana universiti terlalu asyik memikirkan mengenai kejutan hidup selepas mendapat pekerjaan dengan gaji yang agak tinggi, lebih tinggi daripada kalangan sahabat-sahabat yang tidak berpeluang ke menara gading dan bekerja sebagai kerani sahaja. Sebenarnya, ukuran kekayaan bukanlah dilihat daripada berapa banyak gaji yang kita perolehi setiap bulan, tetapi berapa banyak yang kita boleh simpan untuk keperluan hari terdesak! Adakah ini benar?

Ya! Memang benar. Sekiranya seorang kerani memperolehi gaji sebanyak RM1200 sebulan, dan beliau memang sudah biasa memperolehi gaji sebanyak itu selama mana dia bekerja dan tidak pernah terfikir pula untuk bermewah-mewah kerana itu sahaja yang dia ada, mana mungkin dia dapat bermewah-mewah! Setelah ditolak bayaran rumah sebanyak RM400, makan minum sebanyak RM300, minyak motor sebanyak RM200, beliau ada lagi baki gaji bulanan sebanyak RM300. Dan oleh kerana dia tidak boleh sangat berbelanja, maka disimpannya RM300 itu setiap bulan kerana semua keperluan seperti sofa, peti sejuk, televisyen dan sebagainya sudah dia miliki. Gaji isteri tidak diusik (insya Allah) dan isteri turut menyumbang RM200 ke dalam tabungan bulanan yang menjadikan tabungan bersama ialah sebanyak RM500. Berlainan pula dengan seorang eksekutif muda yang bergaji RM2500 tetapi terpaksa membayar bayaran bulanan kereta sebanyak RM900 (kereta Jepun pula tu! Brand New!), sewa bulanan apartment sebanyak RM700, bayaran maintenance apartment sebanyak RM150, makan minum sebanyak RM500 (kafe di tempat kerja agak mahal), minyak petrol sebanyak RM500, aduh, jadi defisit pula setiap bulan! Belum dicampur dengan wang untuk berhibur, membayar stesen televisyen, internet dan sebagainya! Apa yang tinggal?

Bagaimanakah kita mahu menyimpan wang untuk bersara lebih awal sekiranya setiap bulan kita terpaksa membayar bermacam-macam perkara dan benda? Sudahlah bayaran pinjaman pelajaran dibayar seminimum mungkin, terpaksa pula membayar kad kredit, pinjaman peribadi, mahu hidup bermewah mewah dengan laptop Macbook keluaran Apple, kamera tak mainlah kamera kompak, mahu DSLR, kereta mahu dari negara matahari terbit, jenama baru pula tu! Bagaimana? Bagaimana? Bagaimana? Sememangnya, kita perlu melakukan anjakan paradigm terhadap sikap kita terhadap perbelanjaan bulanan. Apa sahaja asset kita yang tidak begitu digunakan perlulah dicairkan sebelum ia jatuh harga. Malahan, perbelanjaan dan pembayaran balik pinjaman perlulah tidak melebihi 50% daripada pendapatan bulanan kita! Ada yang menyatakan hanya 10% sahaja tetapi itu agak tidak realistik. Jika kita melihat angka 50% itu pun kita sudah takut, bagaimana nasib kita kalau pada bila-bila masa kita ditamatkan perkhidmatan, bagaimana kita mahu mencari wang untuk bayaran bulanan sebanyak 50% daripada gaji kita itu? Katakan gaji kita RM3500, jumlah hutang kita ialah RM1700, bagaimana jika di saat-saat gawat, kita mahu mencari RM1700 tersebut? Itu kalau RM1700, bagaimana kalau jumlah pembayaran balik ialah sebanyak RM2700? Tidakkah ia 'malang tak berbau' untuk kita?

Kita selesaikan dahulu permasalahan di atas, kemudian barulah kita boleh berfikir bagaimana hendak bersara awal pada usia yang muda dan kaya pula..Saya juga berangan-angan mahu bersara awal, kalau boleh pada usia 39 tahun saya sudah tidak mahu bekerja lagi kerana saya sudah mampu untuk menanggung diri sendiri dan keluarga dengan wang yang ada. Adakah kita sanggup bekerja ‘gila-gila’ seperti hari ini sehingga umur kita menjangkau 58 tahun nanti? Sudah tentu tidak. Kalau boleh, esok juga kita mahu bersara dan bermesra bersama-sama anak-anak dan isteri, membawa mereka bersiar-siar ketika orang lain sibuk bekerja. Membeli belah semasa orang lain masih di pejabat. Dapat bermanja dengan anak-anak ketika orang lain tiada masa untuk anak-anak. Itulah impian kita, mahu melihat anak-anak membesar. Boleh sahaja kita bekerja dari rumah, demi melihat anak-anak membesar dan kita boleh bekerja mengikut masa yang kita sendiri tetapkan, bukannya terkejar-kejar ke tempat kerja sehingga membahayakan nyawa kerana terpaksa memandu laju dengan tujuan tidak mahu lewat punch card!

Sebenarnya, di dalam Al-Quran sendiri ada menerangkan penyelesaian kepada aspirasi kita ini. Ia bukan penyelesaian selepas terjadi, tetapi kepada langkah-langkah pencegahan sebelum terjadi! Pernahkah kita mendengar bahawa membazir itu adalah saudara syaitan? Dan kita juga dituntut untuk bersederhana? Janganlah kerana gaji besar, periuk sudah besar, maka keraknya juga besar? Ada dikalangan rakan-rakan saya yang bergaji sama sahaja seperti saya, tetapi memandu kereta yang berharga RM60 ribu ke atas dan bayaran bulanannya sebanyak RM600 ke atas! Bagi saya, kereta sama sahaja, walaupun ada kereta diketegorikan sebagai mewah, dan ada yang tidak mewah, asalkan ada pendingin hawa, tidak meragam di tengah jalan, tidak berbunyi, boleh sahaja ia digunakan. Asalkan sampai ke destinasi yang hendak ditujui. Itulah sebabnya saya lebih memilih kereta Nissan AD Resort tahun 2000. Kerana apa? Satu, kerana minat, dua kerana bayaran bulanan hanya RM358, ketiga ialah kereta ini berpotensi untuk diubahsuai! Mengapa perlu bayar lebih hanya kerana prestij jawatan, ego dan malu jika memandu kereta murah? Ada juga seorang kenalan saya yang pada mulanya memandu kereta Proton Iswara sahaja, tetapi oleh kerana beliau adalah pegawai tinggi kerajaan dan ketika itu naik jawatan ke gred 44, maka kereta turut ditukar kepada Proton Waja! Sebenarnya, jika dibariskan kereta-kereta tersebut dengan kereta saya, rasanya semuanya dapat bergerak dengan baik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, tiada masalah..

Menjadi aspirasi kita untuk bersara awal, bersara pada usia yang muda dan bersara bersama wang yang banyak. Mungkin kita boleh memikirkan untuk berjimat, atau menjalani hidup sederhana, atau boleh juga membuat pelaburan risiko dengan jumlah yang sederhana. Atau mungkin boleh juga pada usia 30 hingga 39, kita giat mencari wang, menyelesaikan semua hutang piutang, menyimpan wang, melabur dan hidup bebas pada usia 40 tahun! Siapa tahu kalau kita berjaya? Saya juga mahu berjaya! Yang penting ialah usaha ke arah itu wajar difokuskan dengan cemerlang sekali..Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan berpesan kepada kawan-kawan semua, marilah kita berfikir ke arah ini..Sekian..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram