Saya teringat semasa bukan bulan puasa, saya makan tengahari di kafeteria yang terletak sama tingkat dengan Pusat Sumber Pengetahuan tempat saya bekerja. Saya suka makan di sana kerana saya tidak perlu memandu keluar dan ini akan menjimatkan masa dan petrol saya. Lagipun makanan di sana memang sedap-sedap belaka, dengan nasi campur dan lauk pauk yang agak mewah. Ditambah pula dengan makanan goreng yang begitu enak, tentu sahaja saya sentiasa lekat dengan kafeteria itu.
Namun begitu, dengan kerja yang banyak di pejabat, waktu makan tengahari yang biasanya diperuntukkan sejam untuk mana-mana pekerja di dunia ini, terpaksa dipendekkan oleh saya selama saya makan sahaja. Jika saya makan tengahari selama 10 minit, maka selepas minum dan membasuh tangan, saya serta merta meninggalkan meja makan. Adakalanya juga saya terpaksa menunggu orang lain yang makan bersama-sama saya sehingga ke pukul 2, tetapi kebiasaannya saya memang suka makan seorang diri, kerana ia menjimatkan masa dan tenaga. Saya memang suka meninggalkan meja makan sebaik sahaja saya selesai makan, sekiranya saya makan seorang diri.
Memang benar, hanya sebentar di meja makan. Saya sebenarnya ingat kata-kata seorang Ustaz yang pernah mengajar kelas saya semasa di tingkatan dua di Kuala Terengganu dulu, Ustaz itu berkata di dalam bahasa orang Kuala Lumpur (kerana itu loghat bahasa kebangsaan) bahawa beliau juga tidak suka berada lama-lama di meja makan, selesai sahaja makan, beliau terus meninggalkan meja. Saya sependapat dengan beliau kerana bagi saya, untuk apa menunggu meja makan tersebut sehingga pukul 2, sedangkan waktu makan tengahari adalah terhad untuk makan, berehat dan bersolat. Itulah sebabnya ada yang bersolat pada pukul 3 dan walaupun diberikan masa rehat selama sejam, ada yang masih penat kerana masa rehat hanya diperuntukkan untuk di meja makan sahaja.
Lebih baiklah kita berada sebentar sahaja di maja makan. Itulah sahaja keperluannya. Lebih daripada itu, maka ia akan dianggap sebagai pembaziran masa. Rancanglah masa kita dengan sebaiknya, supaya apa yang kita rancangkan, dapat kita laksanakan semuanya dengan kejayaan!
0 comments:
Post a Comment