Permainan Konsol Sony PS2

Minggu lepas kalau tak silap saya pada hari Khamis, saya telah membeli satu set permainan yang menggunakan TV iaitu Sony PS2. Setelah bertahun-tahun keluaran pertama PS2 dan kini sudah ada PS3, saya masih terkial-kial membeli PS2. Ini bukan kerana ketinggalan, tetapi kerana selama ini saya mengganggap permainan elektronik seumpama ini bukanlah berguna sangat kepada saya. Benar, rakan lama saya pernah bercerita mengenai PS1 beliau 12 tahun dahulu, saya pula baru sekarang tergerak hati untuk membelinya.

Saya membelinya kerana beranggapan bahawa saya boleh memberikan anak saya yang berusia 3 tahun lebih itu bermain-main dengan PS2. Saya kasihan juga melihat anak saya yang suka bermain-main permainan membina bangunan di dalam telefon bimbit ibunya, jadi saya belikan untuknya PS2. Sebelum ini saya juga pernah membeli set Sony PSP tetapi dijual kembali 2 minggu kemudiannya kerana PSP terlalu cepat kehabisan bateri dan layar paparannya yang amat kecil. Nampaknya PS2 ini bergantung kepada keluasan skrin TV di rumah. Kalau besar skrinnya, maka puaslah mata memandang. Ia tidak mudah rosak seperti PSP kerana kalau rosak pun, hanya controller nya sahaja yang rosak kerana ia terpisah daripada game console PS2.

Saya telah menjalankan kajian harga di beberapa tempat. Pertama kali saya menjalankannya, saya dapati bahawa harga di Giant Ulu Kelang untuk set PS2 ini ialah RM599, iaitu pakej penuh dengan satu konsol permainan, dua controller, satu kad memori 8gb dan 10 keping CD permainan pilihan. Setelah itu, saya dapati harga di Kompleks Pertama untuk pakej yang sama ialah RM560, kurang RM30 daripada yang dijual di Giant Ulu Kelang. Akhirnya, saya mendapati bahawa harga yang ditawarkan di Plaza Low Yat adalah yang terendah untuk pakej yang sama iaitu hanya RM460! Saya terus sahaja membelinya di Plaza Low Yat! Mengapa perlu bayar lebih?

Setelah seminggu membelinya, saya merasakan bahawa saya dan anak saya tidak lah berapa gemar bermain dengan PS2. Mungkin juga kerana ia agak susah bagi seorang kanak-kanak berusia 3 tahun lebih dan seorang dewasa 32 tahun untuk mengendalikannya, maka timbul pula rasa bosan dengan permainan PS2. Atau mungkin juga saya belum menjumpai permainan yang sesuai dan menyeronokkan untuk set PS2 ini.

Sabar separuh daripada iman. Saya belum bercadang untuk menjualnya kerana amatlah rugi sekiranya saya baru sahaja membelinya dalam seminggu dan kemudiannya dijual pula. Harganya akan merudum dengan teruk dan tidak berbaloi untuk menjualnya. Saya akan meneroka terlebih dahulu permainan ini sebelum membuat apa-apa keputusan. Mungkin saya akan berjalan-jalan mencari permainan yang sesuai untuk anak saya dalam masa terdekat ini.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram