Dalam kehidupan kita ini, pastinya kita sentiasa mengimpikan sesuatu yang indah dan terbaik untuk diri kita dan keluarga. Memperolehi kerjaya impian dan menjawat jawatan yang tinggi adalah impian semua orang. Orang di bawah sentiasa melihat bagaimana orang yang di atas memperolehi pendapatan lumayan dan memandu kereta mewah serta memiliki rumah yang besar. Itu adalah ukuran kesenangan hasil daripada kerjaya terbaik yang diperolehi oleh seseorang. Bahkan, ia kadang-kadang menjadi bahan iri hati dan hasad dengki pula. Manusia memang tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki, bahkan mahu lebih lagi!
Apabila seseorang itu berada di atas, contohnya menjawat jawatan CEO kepada sebuah syarikat, orang yang di bawah memandang tinggi kedudukan dan kredibiliti seseorang CEO itu. Bahkan ramai yang akan jadi ‘tukang bonceng’ CEO tersebut. Ramai yang bergantung bergayut dan mencari dahan yang kukuh untuk kesenangan mereka pula. Tetapi adakah mereka terfikir, betapa susahnya menjadi seorang CEO? Saya belum sampai ke tahap CEO atau Pengurus sekalipun, tetapi apabila berada di kumpulan pengurusan, saya dapat melihat dari jauh akan betapa sukarnya menjadi seorang CEO atau berada di kedudukan tinggi. Seperti biasa, seorang CEO kerjanya ialah melaporkan kedudukan syarikat kepada badan pengarah syarikat dan membawa syarikat ke satu hala tuju yang jelas. Ini boleh dilakukan dengan pelbagai aktiviti yang orientasinya adalah berdasarkan kepada penghasilan untung untuk syarikat. Kedudukan CEO boleh dikatakan ditanda aras oleh berapa banyak keuntungan yang boleh dihasilkan. Jika sesebuah syarikat itu adalah syarikat yang tidak berorientasikan keuntungan, maka apa sahaja aktiviti yang boleh menghasilkan sesuatu manfaat kepada masyarakat dan negara adalah tanda aras kedudukan seseorang CEO.
Untuk mencapai sasaran yang telah ditentukan, pelbagai aktiviti akan dijalankan, dengan menggunakan modal yang minimum, bagi mencapai sasaran yang optimum. Seseorang CEO atau kumpulan pengurusan boleh sahaja ditukarkan jika prestasi syarikat secara keseluruhannya tidak disenangi atau dipersoalkan oleh badan pengarah syarikat. Adakah mudah untuk menjadi orang nombor satu? Jawapannya tidak! Ada juga ramai yang dilantik ke jawatan pengurusan, ingin kembali ke kumpulan eksekutif yang tidak disandarkan di atas bahu mereka sesuatu tanggungjawab yang sukar dan mempunyai risiko pula (walaupun tidak ramai). Bahkan, jika ada jawatan tukang sapu lantai tetapi ditawarkan gaji RM5000 sekalipun, pasti ramai yang sanggup menjawat jawatan itu, tetapi itu agak mustahil kerana tiada keuntungan yang boleh dibuat oleh kumpulan sokongan bawahan.
Jadi, janganlah kita sentiasa memikirkan bahawa indahnya berada di atas. Berada di atas memerlukan pemikiran yang geliga, usaha yang lebih dan jitu, serta tidak mengenal erti putus asa dalam menghadapi sebarang halangan. Sudah sedia maklum, hanya seorang sahaja yang akan menjawat jawatan paling atas, tidak ada dua atau tiga, jadi hanya orang yang terpilih berdasarkan pengalaman, pemikiran dan pelbagai lagi kriteria yang diambil kira sahaja yang layak menjawat jawatan itu. Ia tidak seindah seperti yang disangka. Adalah lebih baik kalau sederhana kaya tetapi otak tidak dibebankan dengan bahana kerja yang terlalu berat. Nyata sekali, kesihatan lebih penting daripada kekayaan. Kalau ada kedua-duanya sekali, ia adalah rahmat yang tidak ternilai hebatnya!
0 comments:
Post a Comment