Bertukar Kerja?

Pada pendapat saya, bertukar kerja bukanlah merupakan kesalahan kerana setiap orang perlu memikirkan mengenai keperluan dan kepentingan hidupnya terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai kebaikan tempat kerjanya yang terkini, majikan dan kawan-kawan. Kerana yang terbaik untuk difikirkan adalah masa depan yang lebih terjamin.

Jika anda menghadapi dilema untuk bertukar kerja (kerana tempat kerja anda sekarang adalah amat bagus) kerana anda mendapat satu peluang yang lebih baik daripada tempat kerja sekarang, anda lakukan istiharah dan fikirkan dengan menulis di atas kertas kebaikan kedua-dua syarikat tempat anda bekerja sekarang dan yang anda terima tawaran daripadanya itu.

Jika anda merasakan bahawa tangga naik anda tidak ada di syarikat tempat kerja anda sekarang, iaitu panambahbaikan yang agak mendatar, dan anda akan mendapat jawatan yang lebih baik di syarikat yang menawarkan anda kerja itu, maka jalan terbaik ialah memilih syarikat yang menawarkan kerja kepada anda, kerana sudah tentu ia adalah yang terbaik untuk anda pada masa itu. Lakukan juga sedikit penyelidikan mengenai syarikat baru yang menawarkan kerja kepada anda itu, adakah ia stabil, siapa ahli lembaga pengarahnya, siapa CEOnya, daripada mana syarikat itu mendapat suntikan modal. Jika ia lebih baik daripada syarikat tempat anda bekerja sekarang, jangan tunggu lama-lama untuk membuat keputusan.

Memang diakui, orang lain akan mempertikaikan mengenai sejarah kerjaya anda yang banyak itu, namun begitu, fikirkanlah kembali, siapakah yang akan menolong anda jika anda ditimpa kesusahan? Jika anda ditamatkan kontrak atau pekerjaan di syarikat anda sekarang, adakah mereka yang suka benar memperkatakan mengenai diri anda itu akan menolong anda? Adakah mereka akan menyediakan satu peluang kerja yang baru untuk anda? Semestinya, tangan anda sendiri lah yang akan menolong anda, jadi lakarkan satu perancangan yang baik untuk anda dan masa depan anda supaya anda tidak tersilap langkah.

Dan perancangan kerjaya itu kadang-kadang boleh berubah jika ada syarikat yang lebih baik yang akan menawarkan kepada anda kerja baru, tetapi pastikan perubahan itu dalam kala menaik, bukannya mendatar ataupun menurun. Pastikan gaji yang anda akan terima lebih banyak daripada yang anda terima sekarang. Dan paling penting, pastikan syarikat yang anda ingin sertai itu mempunyai reputasi dan stabil demi masa depan anda yang lebih gemilang.
Yang lebih penting ialah anda tahu apa yang anda lakukan. Jangan hanya mengikut pendapat orang lain sahaja, anda sendiri mestilah tahu apa yang anda patut lakukan untuk masa depan anda. Seperti yang dinyatakan di atas, hanya tangan anda sahajalah yang mampu mengubah nasib anda, dan bukanlah orang lain.

Sekiranya anda dihalang daripada memajukan diri, anda mestilah memastikan bahawa diri anda yang akan kehadapan, halangan-halangan seperti itu haruslah ditepis dengan segera, jika tidak, peluang yang ada di depan mata hanya akan meninggalkan anda tanpa anda mendapat apa-apa.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram