Indahnya Tahun-Tahun 90-an!

Semasa menggodek-godek laptop saya ini, terjumpa pula satu folder lagu-lagu Silverchair, dari album Frogstomp, iaitu album pertama kumpulan itu. Saya pun mendengar dalam 5-6 lagu sebelum teringat bahawa album itu muncul di tengah kehangatan lau-lagu alternatif pertengahan tahun-tahun 90-an. Kumpulan ini dikatakan jelmaan Nirvana yang juga saya minati pada ketika itu. Maka saya pun terkenang kembali zaman paling indah dalam kehidupan semua orang (kalau tak semua pun, kebanyakan orang), iaitu zaman remaja!

Zaman remaja saya dan rakan-rakan sebaya ialah pada tahun-tahun 90-an. Bermula dengan zaman GQ yang saya tak mampu nak mengikutnya kerana kena menempah seluar GQ di kedai jahit, apa yang saya mempu lakukan ketika itu hanyalah menyisir rambut menjadi ala-ala GQ iaitu belah tengah dan kembang di belakang. Zaman itu kalau tak silap saya ialah pada awal-awal tahun 90-an. Semasa itu saya baru berada di tingkatan 2 atau 3.

Yang paling menarik dalam era 90-an ialah kebangkitan band-band alternatif, tidak kira luar negara atau tempatan. Ramai rakan-rakan dan saya sendiri mendengar lagu-lagu underground ini. Cogankata yang paling popular pada masa itu ialah "Support Our Local Scene". Tetapi saya setakat mendengar sajalah tape demo mereka, tidak sampai hendak ke gig yang dianjurkan oleh kumpulan-kumpulan underground itu. Memang begitu falsafah saya, tidak mahu pergi ke mana-mana konsert pun dan sikap saya itu berterusan sehingga kini.

Pada tahun-tahun 97-98, saya dan rakan-rakan mula menceburkan diri dalam permainan skateboard. Pada masa itu, tempat yang paling popular untuk membeli deck, truck, wheel dan sebagainya ialah di Plaza Sungei Wang. Pada masa itu tidak ada skatepark di tengah-tengah kotaraya, jadi remaja-remaja kota yang bermain skateboard ini hanya bermain secara berkumpulan di 'bulat-bulat', satu tempat yang popular di sebelah Lot 10. Tempat yang popular untuk saya dan kawan-kawan ialah di Lebuh Ampang. Dan kadang-kadang ada juga bermain di sebelah Muzium Telekom yang berhampiran dengan Lebuh Ampang itu juga. Kedai skateboard yang biasa dikunjungi ialah Fishbone di Bukit Bintang Plaza dan sebuah kedai yang amat terkenal di Sungei Wang Plaza yang saya tidak ingat namanya, berkemungkinan besar nama kedai tersebut ialah 'Spitwork' dimana pemiliknya terkenal dengan gelaran Tudong. Paling menarik ialah tiba waktu solat, surau Pasar Seni yang menjadi tujuan kami.

Remaja dulu sering membawa beg sandang belakang ke sana kemari. Ia digunakan untuk menyimpan discman, walkman, dan pelbagai barang peribadi yang lain. Saya tidak pasti mengapa remaja pada masa kini tidak membawa beg sandang belakang seperti itu lagi.

Permainan skateboard telah terhenti apabila saya menjejakkan kaki ke menara gading iaitu ITM Shah Alam, sekarang dikenali sebagai UiTM Shah Alam, dan nama tersebut ditukar pada tahun kedua pengajian saya di sana. Perhubungan dengan kawan-kawan pun terputus, dan saya telah menjadi orang lain pula di UiTM, kerana dibentuk oleh polisi Sahsiah Rupa Diri yang diamalkan di UiTM. Bagus juga polisi seperti itu kerana ia berjaya mengubah perwatakan seseorang, sesuai dengan status Mahasiswa yang dipegang. Halatujunya hanya untuk mencapai kejayaan di dalam menggapai segulung ijazah.

Namun begitu, sehingga sekarang saya masih gemar dengan pakaian t-shirt bundle, seluar jean atau seluar khakis, dan selipar untuk berjalan kesana-kemari kerana ianya lebih selesa, cumanya selipar saya bukanlah seperti selipar Reef seperti dahulu, tetapi telah ditingkat taraf kepada selipar Crocs, sesuai dengan perkembangan semasa..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram