Negatif kepada Positif?

Seringkali kita mendengar orang lain berkeluh kesah akan tugasan yang terpaksa dihadapinya. Perkara itu semacam satu perkara yang negatif, penerimaan terhadap tugasan dalam nada yang negatif, perasaan yang negatif dan semangat yang negatif. Keluh kesah hanya berkisar kepada persoalan mengapa tugasan itu diberikan kepadanya, mengapa tidak kepada orang lain, mengapa tiba-tiba tugasan tersebut diberikan kepadanya dalam masa yang singkat tanpa perbincangan dan perancangan, mengapa itu, mengapa ini dan sebagainya. Benar, sesuatu yang terjadi adalah takdir, tetapi persoalan-persoalan yang agak negatif dan condong ke kiri itu sebenarnya boleh dijadikan perkara yang positif. Bagaimana kita boleh menukarkan perkara yang negatif kepada yang positif? Atau bagaimana kita boleh menukar perasaan benci kepada perasaan suka?

Tentu sukar hendak menerima sesuatu yang kita tidak suka, bukan? Walhal perkara yang kita suka pun jarang-jarang sekali kita perolehi. Kita sukakan kereta keluaran negara Jepun yang bernadikan pendesak turbo, tetapi kita masih juga tidak memperolehinya. Kita sukakan rumah besar dua tingkat dengan kabinet dapur yang cantik menawan, tetapi kita masih lagi terperosok di dalam sebuah rumah pangsa 5 tingkat. Mengapa dan mengapa? Ya, sekali lagi saya menyatakan ia barangkali sudah ditakdirkan begitu. Tetapi mampukah kita menukarkannya?

Buat masa ini, apa yang kita hadapi adalah sesuatu yang sememangnya kita terpaksa lalui, dengan harapan, pelajaran-pelajaran berguna ini adalah untuk mendewasakan kita. Kita tahu ia agak negatif, memandu kereta lama atau sederhana dan tinggal di rumah pangsa, tetapi mari kita tukarkan kepada perkara yang positif. Bagaimana? Saya mendapat tahu daripada pembacaan dan menonton video oleh Motivator Terkenal di Dunia iaitu Zig Ziglar yang pernah menyarankan kepada seorang wanita yang tidak lagi berdaya untuk menghadapi tugasan hariannya di pejabat, untuk menukar tabiat tidak suka itu kepada suka dengan cara muhabasah diri, menulis di atas kertas, memikirkan apa sahaja perkara yang disukainya berkenaan dengan kerjanya, seperti gaji bulanan, cuti tahunan, pelbagai kemudahan lain berbanding hanya memikirkan apa yang tidak disukai oleh wanita itu. Sebenarnya, kita selalu sahaja menjadikan satu perkara negatif yang kecil itu sebagai besar, lantas menutup sembilan perkara positif yang terkandung di dalam sesuatu, lantas kita mempercayai bahawa perkara negatif itulah sebagai yang besar, dan perkara positif yang lebih besar itu sebagai kecil!

Jadi, jika kita mengkaji sesuatu tanpa emosi dan prasangka, barangkali kita boleh sahaja mengubah cara kita berfikir, iaitu menjadikan sesuatu yang negatif kepada yang positif. Tidak perlu kita menjadikan sesuatu yang negatif itu menjadi bertambah 'negatif' tetapi kecilkan atau spesifikkan permasalahan yang kita hadapi itu supaya kita dapat melihat perkara-perkara yang penting sahaja untuk diselesaikan. Kalau kita menjadikan sesuatu permasalahan itu besar dan berat tanpa mahu melihat perkara asas yang perlu diselesaikan, ia akan menjadikan kita stress, tidak menentu, murung dan sebagainya yang semuanya negatif. Kita hendaklah 'memotong jalan' negatif itu kepada positif. Mungkin berkata itu memang mudah, menjadikannya satu realiti amat susah, tetapi jika kita tidak mahu menggunakan tulang empat kerat untuk berusaha mengubah diri, siapa lagi yang akan mengubah diri kita? Semua orang lain mempunyai masalah sendiri, jadi selesaikanlah pula masalah kita secara tenang dan rasional.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram