Rat Race

Rat Race!
Apakah yang kita cari sebenarnya di dunia ini? Apakah kita hanya mengingati kekayaan sebagai satu kejayaan sebenar dalam hidup kita? Lantaran dari itu, kita saban hari berkejar-kejar ke tempat kerja dan menghadapi kesesakan lalulintas setiap hari demi untuk mencari sesuap nasi atau mengejar wang yang banyak? Itukah keseronokan dan kepuasan bagi kita? Sememangnya bagi kebanyakan orang, itulah yang mereka cari. Selepas sahaja tamat pengajian di universiti, mereka mencari-cari pekerjaan kerana hanya itulah desired result yang mereka tahu. Budaya mencari kerja adalah budaya yang memang dipegang sejak sekian lama? Pengangguran akan dianggap sebagai memalukan kerana para penganggur yang gagal mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti akan dianggap sebagai tidak kompeten dan tidak tahu mencari kerja. Malahan ada yang mengganggap para penganggur tersebut sebagai memilih kerja atau malas mencari kerja. Satu anggapan yang bias kerana rezeki pekerjaan bukan kita yang menentukan. Hanya Allah yang tahu baik buruk sekiranya kita memohon untuk mendapatkan pekerjaan tertentu.

Yang pandai mencari kerja dan memperolehi pekerjaan selepas tamat pengajian pula, aktiviti harian mereka hanya dipenuhi dengan aktiviti pergi ke tempat kerja, menghadapi kesesakan lalulintas, sampai ke tempat kerja, melakukan kerja, rehat, menyambung kerja, dan pulang ke rumah sambil menghadapi kesesakan lalulintas pada waktu petang pula. Itu adalah rutin harian mereka setiap hari dan akan mereka hadapi sehingga mereka berhenti kerja atau pencen. Tiada lagi rutin lain selain daripada rutin yang mereka jalani itu. Di pejabat, mereka akan berkomunikasi, bermesyuarat, berfikir, berpolitik pejabat, bergosip, minum di restoran terdekat, berpakaian paling segak dan paling menawan (sehingga ada yang tersalah konsep berpakaian pejabat) dan saling bersaing untuk memiliki kereta paling terkini di pasaran. Ada juga yang kerjanya hanya menunjukkan sesuatu yang nampak dan agak santai pada perkara yang tidak nampak. Work smart, bukan work hard kata mereka. Kepandaian berucap dijadikan satu modal untuk mengaburi mata para pegawai atasan mereka. Ada yang pandai menaip secara pantas mengaburi mata orang lain dengan kepantasan mereka sehingga orang lain menyangkakan bahawa mereka begitu giat menghasilkan kerja.

Untuk apa semua itu? Sebenarnya kita terlibat dalam rat race! Perlumbaan tikus sebenarnya menampakkan kita berlari dalam larian yang tiada hentinya, mencari wang barangkali, mencari kepuasan, mendapatkan apa yang kita mahu, menjatuhkan orang lain yang kita benci sehingga kita sendiri yang naik, dan sebagainya. Tetapi akhirnya, walaupun perlumbaan itu menampakkan kita mendapat sesuatu, mendapat apa yang ditulis di atas sehingga kita puas, tetapi kita sebenarnya tidak mendapat apa-apa! Kepuasan apa yang kita dapat? Kejayaan apa yang kita perolehi sebenarnya? Kita mendapat rumah yang besar, tetapi kemana ahli keluarga kita? Kita memiliki kereta yang besar atau pantas, tetapi kereta itu sering disimpan di dalam garaj, kita memiliki wang yang banyak, tetapi kita dipaksa oleh doktor untuk berpantang dan tidak boleh makan makanan yang tertentu. Kepuasan apakah yang kita dapat setelah kita penat dalam rat race? Dalam perlumbaan ini kita seringkali cemburu dengan apa yang orang lain perolehi sehingga kita berusaha keras untuk mendapatkan perkara yang sama, tetapi organisasi kita menjadi rosak akibat permainan akal sebilangan besar pekerja-pekerja korporat di organisasi kita itu, sehingga ada yang terpaksa mencari peluang mendatar atau menaik di organisasi yang lain. Kepuasan apa yang kita perolehi?

Dalam dunia rat race juga, para pekerja di ajar mengenai multi tugas, penjimatan kos dan kenaikan keuntungan, dan sebagainya. Kelakuan organisasi yang pelik adalah demi tujuan persaingan yang amat dahsyat diantara organisasi yang berlainan telah menyebabkan para pekerja yang menjalankan tugasan operasi berada di dalam keadaan yang amat tertekan. Perubahan dalam membuat keputusan secara sesuka hati telah memeningkan pekerja operasi. Orang atasan barangkali berasa tertekan dengan keperluan yang ditentukan oleh lembaga pengarah, tetapi yang lebih tertekan ialah para pekerja yang dikehendaki untuk menjalankan tugasan berat akibat daripada permainan orang atasan. Apa yang hendak dilakukan? Lakukanlah sahaja kerja itu? Ramai para pengurus berpendapat "do or die!" Bukanlah die akibat kerja itu (ada kebarangkalian juga), tetapi tamat kerana ketidakmampuan seseorang pekerja untuk menjalankan kerja yang diamanahkan kerana kesilapan para pengurus menentukan kerja yang sesuai dengan latar belakang, minat dan kemampuan seseorang pekerja itu, sehingga menyebabkan pekerja itu terbuang keluar dari organisasi tersebut. Apa keuntungan rat race?

Adalah lebih baik kita membuka atau memulakan peluang untuk diri kita sendiri. Kita cipta peluang pekerjaan untuk orang lain daripada kita asyik mencari peluang pekerjaan yang sesuai untuk kita. Kita buka pejabat baru untuk menempatkan operasi syarikat yang kita mulakan itu. Kita bebas untuk menetapkan polisi syarikat kita itu dan kita tidak perlu terikat dengan pelbagai persijilan atau akreditasi ISO dan sebagainya, kerana kita sendiri mencipta mutu kerja yang kita piawaikan sendiri. Kita budayakan satu budaya yang sederhana, budaya yang tidak jatuh menjatuhkan selain daripada saling menaikkan, dan kita promosikan pencapaian syarikat berdasarkan sesuatu yang mampu dicapai, bukannya bercita-cita mencapai sesuatu yang setinggi langit sehingga terpaksa memaksa para pekerja untuk melakukan multi tugas, memaksa perubahan tugas dan pertukaran jabatan sehingga menyebabkan seseorang pekerja jatuh motivasinya untuk meneruskan tugasan seharian yang baru. Rat race atau perlumbaan tikus memang satu perlumbaan tanpa belas kasihan, tetapi sekiranya kita menang, kita tetap juga dianggap sebagai tikus (kuotasi kata-kata Lily Tomlin di dalam People Magazine pada 26 Dec 1977)

Hiduplah di dalam dunia yang sederhana. Akibat daripada rat race, barangkali kita akan memperolehi rumah yang besar, kereta yang besar dan laju, kedudukan serta pangkat dan penghormatan daripada orang lain. Tetapi sekiranya kita tidak memutarkan roda kekayaan kita kepada orang lain yang lebih berhak, kepada fakir miskin yang memerlukan, bermakna kita merealisasikan kuotasi perlumbaan tikus dimana pemenangnya tetap seekor tikus, bukannya seorang manusia yang beriman, bermoral dan mengambil tahu keperluan sosial. Jadilah kita seorang yang menggunakan apa yang kita perolehi daripada perlumbaan itu untuk kepentingan sejagat dan kemaslahatan umum, yang amat memerlukan bantuan daripada orang-orang yang senang seperti kita. Jika kita lihat kekayaan orang yang lebih kaya daripada kita, bererti kita tidak sedar bahawa terdapat lebih ramai yang tidak semewah kita. Sentiasa bersederhana dan bermuhasabah diri, adakah kita ini dapat memberi manfaat kepada orang lain?

0 comments:

Post a Comment

My Instagram