Suka Blog Sensasi Berkaitan Dunia Seni ???

Semasa menggodek-godek (bahasa bebudak sekarang) world wide web (WWW), saya terjumpa juga blog-blog yang dibina untuk memasukkan cerita-cerita terkini artis. Seingat saya dulu, hanya satu sahaja blog yang memaparkan cerita-cerita artis yang disediakan oleh salah satu stesen televisyen terkemuka. Kemudian, laman-laman blog artis tumbuh bagaikan cendawan, kalau satu dua tidak mengapa, kini ia bercambah mungkin lebih dari 5 buah blog barangkali.

Mengapa blog sebegini tumbuh bagaikan cendawan? Salah satu sebabnya ialah dengan blog, kita boleh menjana pendapatan beribu-ribu RM sebulan dengan hanya update blog di rumah (tetapi kena juga berjalan-jalan di luar untuk mencari berita sensasi). Apabila sesebuah blog ini semakin mendapat perhatian, mungkin ada pihak-pihak ketiga yang mahu meletakkan iklan pemasaran mereka di blog yang sensasi itu. Ini akan menambahkan pendapatan pemilik blog. Blog saya yang hanya dilawati 10-20 orang sehari ini rasanya tidak perlu saya buka ruangan iklan, hehe..Siapa yang nak membacanya pun..

Bagi saya, orang menulis di blog mereka hanya ada dua, iaitu yang suka menulis dan tidak peduli jika ada orang mahu membaca atau membayar, dan satu lagi ialah kelompok yang mencari wang dengan cara menulis di blog. Kita sedia maklum bahawa blog merupakan salah satu aplikasi Web 2.0 yang memungkinkan interaksi secara terus antara penulis dan pembaca, iaitu di ruangan komen di bawah ini, tidak seperti penerbitan gaya lama seperti buku yang tiada ruang untuk memberikan komen. Interaksi ini penting bagi meningkatkan lagi jumlah hits sesebuah blog. Sekiranya blog tersebut mempunyai bilangan pelawat yang tinggi, penjual mee goreng pun mahu memasarkan produk mereka di blog yang sensasi itu.

Namun begitu, blog-blog yang bertemakan industri seni sentiasa dikunjungi oleh mereka yang suka berfikiran ringan. Jika kita melayari blog yang berkaitan dengan pertanian, teknologi maklumat, industri berat dan sebagainya, kemungkinan juga ia tidak dikunjungi ramai pelawat. Blog-blog yang berkaitan dengan industri seni, politeek dan sensasi sememangnya mempunyai ramai pelawat. Jika kita melihat kepada komen yang memaparkan gaya berbahasa yang 'terkini', ulasan yang kurang mantap dan sambil lewa', singkatan kata yang kurang difahami, kita boleh membuat andaian mudah mengenai tahap pemikiran para pembaca. Yelah, blog cerita sensasi, siapa yang mahu berfikir berat-berat, kan? Tetapi yang agak menyedihkan ialah, terdapat komen-komen yang agak keterlaluan dan memaki hamun para artis tertentu yang ceritanya tertulis di dalam sesuatu blog tersebut. Ini sepatutnya perlu dielakkan bagi mengelak pemberi komen mendapat dosa-dosa besar secara percuma. Fitnah, gosip dan maki hamun patut dielakkan kerana tiada gunanya untuk berbuat demikian.

Saya kurang sangat mahu membaca kisah-kisah sensasi artis ataupun ahli politeek kerana bagi saya, daripada saya asyik memikirkan mengenai orang lain (yang orang itu sendiri tak tahu pun saya memberi perhatian serius terhadapnya dengan cara memikirkan mengenai dirinya), adalah lebih baik daripada saya memikirkan mengenai cara-cara bagaimana saya boleh meningkatkan diri saya? Yang mana lebih menguntungkan? Berfikir mengenai orang lain atau berfikir bagaimana hendak meningkatkan diri sendiri? Tepuk dada, tanyalah selera..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram