[Masa] : Kelalaian Kecil Menjadi Penyesalan Besar

Tahukah bahawa di dalam Surah Al-'As ada menyebut bahawa sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. Di dalam surah ini, Allah menjelaskan kepada kita bahawa manusia yang tidak membuat kebaikan dan berpesan-pesan kepada perkara yang baik adalah manusia yang rugi. Masa amat bernilai bagi kita. Kita hidup dengan merentasi masa yang menambahkan usia kita dari setiap saat ke setiap saat.

Tidak membuat kebaikan barangkali boleh dikatakan sebagai kelailaian kecil yang jika tidak ditangani, akan menjadikannya bertambah besar. Kita dilahirkan ke dunia ini bukanlah untuk saja-saja berseronok dan mencari wang untuk hidup, tetapi adalah untuk menjadi khalifah yang beribadah kepada Allah. Ibadah yang dikerjakan seperti yang kita sedia maklum, merangkumi ibadah khusus dan ibadah umum yang meliputi segenap aktiviti kehidupan kita (jika kita melakukan perkara baik dan diniatkan kerana Allah SWT). Jadi, dengan adanya kesedaran menjadi khalifah Allah di muka bumi ini, seharusnya kita sama-sama menanam sikap untuk menyedari bahawa masa itu sentiasa bergerak ke depan, bukan ke belakang, dan kita sentiasa perlu seiring dengan masa. Jika tidak, kerana kelalaian kita, kita boleh saja ketinggalan dengan masa yang sentiasa bergerak pantas. Akhirnya, kelalaian kecil boleh menyebabkan kita menyesal para perkara-perkara yang besar, kerana bermula dengan perkara kecil, ia boleh menjadi besar. Sebagai contoh, sekiranya kita sambil lewa sahaja dan menganggap sesuatu pekerjaan itu sebagai remeh dan boleh diletak ke tepi, barangkali kelalaian kecil itu boleh menyebabkan kita dimarahi oleh ketua kita kerana tidak menyiapkan sesuatu tugasan itu tepat pada masanya.

Justeru, sentiasalah pandang masa yang bergerak pantas. Kita tidak boleh lalai walaupun seminit. Kerana masa yang telah berlalu, tidak akan berulang kembali. Ambil setiap peluang yang ada di depan mata walaupun kita tidak tahu apa kesudahannya, barangkali baik sahajalah yang kita dapat, insya Allah, itulah yang kita harapkan. Ramai yang terlepas peluang-peluang yang Allah sediakan di depan mata di bulan Ramadhan ini kerana fokus utama kita ialah menahan lapar dahaga dan perkara-perkara yang membatalkan puasa, walhal, di bulan yang mulia ini, terlalu banyak keberkatan yang boleh kita rebut dan perolehi. Saya sebenarnya berpesan kepada diri saya sendiri dan para pembaca sekalian mengenai hal ini. Iman itu memang ada turun naiknya, tetapi biarlah kita sedar ketika ia turun, dan kita cuba elak daripada meremehkannya walaupun ia dilihat sebagai perkara kecil. 

0 comments:

Post a Comment

My Instagram