Perjalanan Kerjaya Di Dalam Kehidupan..Berbaloikah Kita Kalau...?

Seperti biasa, selepas sahaja kita menamatkan pengajian di sekolah menengah ataupun di universiti, tibalah masanya untuk kita mencari pekerjaan. Pekerjaan adalah kelangsungan kehidupan kerana dengan pekerjaan, kita memperolehi gaji setiap bulan yang boleh kita gunakan untuk keperluan hidup kita, meliputi makanan, rumah, kenderaan dan perbelanjaan-perbelanjaan lain. Pekerjaan adalah seperti perniagaan, dimana kita akan mengeluarkan modal seperti kenderaan, tol, wang untuk makanan, dan sebagainya dan keuntungan yang kita perolehi adalah gaji bulanan yang menjengah kita setiap hujung bulan. Kita merentasi garis usia kita dengan melakukan sesuatu yang bermanfaat iaitu bekerjaya.

Namun begitu, ada juga merentasi usia mereka dengan melakukan kerja-kerja pelik yang mungkin juga pendapatannya pun pelik juga iaitu bekerja di luar bidang pekerjaan yang memberikan gaji tetap setiap bulan. Ada yang memperolehi pendapatan setiap hari, ada juga yang memperolehi pendapatan setiap minggu dan juga ada juga mendapat gaji sekali setahun, yang mungkin dalam bentuk komisyen. Kerja-kerja pelik ini kadangkala menguntungkan, tetapi juga ada yang lebih teruk perolehannya berbanding dengan makan gaji. Namun begitu, jika diusahakan secara bersungguh-sungguh, kerja-kerja pelik sememangnya boleh memberikan kita pendapatan yang luar biasa banyaknya, berbanding pendapatan dari pekerjaan tetap kita. Mari kita bandingkan setiap satunya.

Bekerja Tetap

Terdapat pro dan kontra bekerja dengan mana-mana majikan. Kebaikan yang boleh kita perolehi ialah jika kita disahkan jawatan, kita akan berasa aman kerana kita boleh bekerja selama mana yang kita mahu sebelum tempoh bersara wajib. Itupun sekiranya hari-hari yang kita lalui sepanjang kita bekerja di sesebuah syarikat itu tiada masalah yang membelenggu kita. Pengalaman-pengalaman yang kita perolehi boleh dicatatkan di dalam resume kita. Dengan catatatan pengalaman tersebut, kita boleh menaiki tangga gaji dan pangkat secara menaik. Pengalaman yang ada akan mematangkan kita di dalam sektor pekerjaan kita yang akan menjadikan kita pakar bidang.

Namun begitu, pendapatan yang diperolehi pula adalah tetap walaupun kita bekerja lebih masa ataupun dengan penuh komited dalam melaksanakan setiap tugasan walaupun sekiranya kita melakukan kerja orang lain (ad hoc), kita akan memperolehi pendapatan yang sama sahaja setiap bulan. Kadangkala perancangan berkecamuk orang atasan akan membuatkan kita terpaksa melakukan multi tugas bagi menjimatkan kos syarikat. Ramai yang tidak tahan dengan bebanan kerja yang tidak berbaloi, akan berusaha mencari pekerjaan lain di syarikat lain, tetapi malangnya, kebanyakan syarikat telah melaksanakan konsep multi tugas ini untuk menjimatkan kos tanpa mempedulikan kemampuan, hati dan perasaan pekerja yang terpaksa melakukan multi tugas tersebut dan kita tidak dapat lari daripada gaya multi tugas di syarikat lain dan kita tidak dapat mengelak walaupun telah berjaya mendapat kerja baru di tempat lain. Kadang-kadang kita dapat membuat keputusan yang lebih baik daripada keputusan-keputusan berkecamuk oleh pengurus kita, namun terhalang oleh pangkat rendah yang kita miliki. Tiada yang kekal di dalam sektor pekerjaan, ada yang terpaksa melupakan kenaikan pangkat di sesebuah syarikat, lalu mencuba di syarikat lain untuk sebarang kenaikan pangkat dan gaji bulanan.

Jadi, adakah berbaloi untuk berada di dalam keadaan seksa dari umur 23 tahun sehinggalah ke umur 55 tahun?

Terlibat dalam MLM/Skim Cepat Kaya

Ramai graduan atau orang ramai yang cepat percaya dan terpedaya untuk menyertai skim MLM dan juga skim cepat kaya. Kedua-dua skim ini adalah dua skim yang berbeza, tetapi menjurus kepada kaedah mendapatkan wang dengan cara yang mudah, walaupun sebenarnya tidak mudah. Saya pernah mendengar seorang tokoh MLM yang menyatakan bahawa, kelangsungan perniagaan MLM bergantung kepada penajaan yang berterusan. Penajaan bererti mencari downline seberapa ramai yang boleh dan tidak berhenti-henti. Downline adalah individu-individu yang berjaya dipujuk untuk sama-sama menjual produk jualan langsung dan akan memberikan sedikit hasil keuntungan daripada usaha mereka upline (orang atasan) yang menjadikan pendapatan upline berlipat ganda hasil usaha downline mereka. Apa akan terjadi jika peserta yang menyertai perniagaan ini tidak mampu untuk mencari downline? Tentu sahaja mereka akan menghadapi kesusahan untuk maintain belian bulanan yang telah ditetapkan.

Untuk skim cepat kaya pula, dengan modal yang telah ditetapkan, wang akan dilaburkan untuk mendapatkan lebih keuntungan. Tetapi di tempat mana wang itu dilaburkan tidaklah menjadi kisah sesetengah penggiat skim cepat kaya. Ada juga yang gagal dalam pelaburan, telah memberikan kerugian kepada peserta yang ingin menjadi kaya dengan segera. Skim cepat kaya di Face book pula sekarang ini lebih berorientasikan kepada tabung menabung, iaitu individu A akan mengajak individu B ke dalam skim cepat kaya dengan individu B terpaksa memasukkan RM100 ke dalam akaun individu A dan untuk kelangsungan skim dan mendapatkan modal semula oleh individu B, beliau terpaksa mengajak individu C menyertainya dan individu C terpaksa pula memasukkan wang ke dalam akaun invididu B, dan begitulah seterusnya sehingga habis kesemua rakyat menyertai skim ini, yang nampak mustahil untuk dilakukan. Adakah perniagaan jenis ini yang menyimpang daripada konsep muamalah dibenarkan di dalam Islam dan memberikan keberkatan kepada individu B dan C?

Baiklah, sekiranya mereka hanya tahu bekerja di dalam skim-skim sebegini, apakah yang mereka boleh tuliskan di dalam resume mereka akan pengalaman-pengalaman kerja yang mereka ada daripada umur 23 tahun sehinggalah ke usia 55 tahun? Jika mereka masih gagal dalam skim-skim cepat kaya setelah berusaha selama 10 tahun, pada tahun ke 11 mereka ingin mencari pekerjaan, apakah pengalaman kerja yang boleh dipersembahkan kepada majikan yang menemuduga mereka? Yang penting ialah, sekiranya ingin menyertai perniagaan MLM, berusahalah dengan bersungguh-sungguh menaja orang lain kerana ramai juga yang menjadi jutawan MLM, yang boleh diukur sebagai berjaya dan lebih baik pendapatan mereka daripada menerima gaji bulanan yang tetap setiap bulan.

Menjalankan Perniagaan Sendiri

Barangkali, menjalankan perniagaan sendiri adalah yang paling sukar untuk dijalankan kerana setiap sen yang kita perolehi, adalah hasil daripada setiap usaha yang kita jalankan. Jika kita malas untuk berusaha, keuntungan yang kita bakal perolehi sememangnya kurang. Tetapi, sekiranya kita rajin berusaha dan kreatif, pendapatan yang akan kita hasilkan akan menjadi banyak dan berganda-ganda. Sekiranya kita memulakan perniagaan seawal usia 24 tahun, dan kita berjaya, apa yang akan kita banggakan pada usia 34 tahun, 44 tahun dan 54 tahun? Kita akan merentasi garis usia kita dan hanya dengan kejayaan demi kejayaan sahajalah yang boleh menjadikan kita lebih berjaya di dalam perniagaan. Pengalaman kita di dalam bidang ini akan ditagih oleh orang lain untuk mereka mengetahui mengenai rahsia kejayaan kita. Perniagaan yang semakin berkembang akan menggandakan lagi pendapatan bulanan kita dan ianya pasti tidak statik. Walaupun perniagaan adalah satu pekerjaan yang berisiko tetapi dengan pengalaman, pengetahuan dan kreativiti yang kita miliki, sememangnya di sepanjang usia 24 tahun sehinggalah ke usia 54 tahun, kita akan menjadi seseorang yang amat berjaya.

Sesungguhnya, perniagaan sendiri memberi kelebihan kepada kita untuk membuat sebarang keputusan yang kita rasakan terbaik untuk membantu kita mencapai sesuatu matlamat yang telah kita tetapkan sendiri!

Kesimpulan

Sememangnya, rezeki itu datang daripada Allah yang Maha Esa. Kita boleh sahaja memilih apa sahaja pekerjaan atau perniagaan yang kita ingin jalankan, tetapi ia mestilah didasari oleh komitmen yang tinggi serta tidak mengenal erti kegagalan. Walaupun kegagalan sesekali menjengah, tetapi ia mestilah ditangani dengan segera dengan bangkit kembali dan mencapai sesuatu matlamat lain yang boleh memberikan kelebihan kepada kita. Yang paling penting ialah, disepanjang garis usia kita, individu bagaimanakah yang kita ingin jadi? Menjadi seorang pekerja sehingga pencen? Atau menjadi pemain MLM? Atau terus mencuba pelbagai skim cepat kaya sehingga ke usia 55 tahun? Atau memulakan perniagaan seawal 24 tahun iaitu selepas keluar dari pengajian di universiti dan terus mencapai kejayaan demi kejayaan sehingga ke usia 55 tahun?

Tepuk dada, tanyalah selera, tetapi tanyalah diri sendiri samada adakah berbaloi untuk menyertai sesuatu pekerjaan atau perniagaan yang kita ingin ceburi?

0 comments:

Post a Comment

My Instagram