Dewasa ini, seseorang manager boleh dilantik dari kalangan eksekutif muda juga. Perlantikan sebegini barangkali bagi merangsang tenaga muda untuk lebih giat berusaha dan menggantikan tenaga senior yang barangkali dinaikkan pangkat ke peringkat yang lebih tinggi. Ia juga melambangkan gaya pengurusan sesebuah syarikat yang mula memandang tenaga muda untuk dipersiapkan untuk menjadi seorang pengurus pada masa depan. Seniority tidak lagi dipandang tetapi merit pula yang menjadi pilihan.
Namun begitu, para pengurus muda ini apabila dilantik ke jawatan pengurus, darah muda dan kadar keegoan mereka yang tinggi akan menjadi bertambah-tambah tinggi. Mungkin anda tidak pernah membaca tulisan sebegini di dalam mana-mana buku, tetapi saya suka tekankan disini, seniority sepatutnya menjadi alasan untuk seseorang itu dinaikkan pangkat. Dan seniority sahaja tidak cukup malahan para senior perlu memiliki pengetahuan yang luas di dalam sektor pekerjaannya dan pekerjaan orang bawahannya. Para pengurus muda yang dilantik secara terus ke jawatan tersebut sememangnya terkial-kial dalam menentukan gaya pengurusan yang betul kerana dalam pada mereka memiliki pengetahuan yang 'sedikit luas' dalam skop kerja, mereka tidak semestinya tahu pekerjaan orang bawahan mereka kerana mereka tidak pernah melakukan kerja-kerja bawahan. Mereka tahu sikit-sikit sahaja. Mereka hanya tahu peraturan yang diterangkan di dalam buku sahaja, tetapi di dunia realiti, mereka sangkut dan tidak berdaya kerana mereka hanyalah robot yang bekerja, bukannya manusia yang tahu had kemampuan manusia yang lain.
Golongan pengurus seperti inilah yang bergaya dengan jawatan yang mereka jawat tetapi tidak semena-mena pengetahuan yang kurang mengenai dunia pekerjaan, perhubungan di dalam organisasi dan skop kerja sebenar yang lebih luas membuatkan mereka dipandang sinis oleh mereka yang lebih berpengalaman. Untuk tujuan mendekatkan jurang antara kuasa mereka dan pengetahuan pekerja yang lebih senior, mereka kadang-kadang terlepas pandang perkara penting di dalam perhubungan di tempat kerja, iaitu 'human touch'. Ianya kalau diterjemah terus ke Bahasa Melayu akan membawa maksud sentuhan manusia. Tetapi yang diterangkan oleh sentuhan manusia itu bukanlah sentuhan fizikal tetapi sentuhan hati nurani. Realitinya, sentuhan nurani akan membuatkan seseorang pekerja itu berasa bernilai dan dihargai, yang akan membuatkan mereka pula berasa 'sense of belonging'; yang akan merapatkan hubungan pengurus dan pekerja. Namun begitu, kebanyakan pengurus muda dengan darah muda mereka, akan mengutakan kerja, lebih daripada hubungan sesama manusia. Maksudnya, mereka memandang pekerja mereka sebagai robot penghasil kerja yang kerjanya asyik menyiapkan kerja tanpa mahu mengetahui robot pun perlukan perhatian dan sokongan.
Lantas, timbul ketidakpuasan hati seseorang pekerja terhadap pengurusnya dan pengurus terhadap pekerjanya. Putusnya komunikasi di kalangan ahli-ahli organisasi tersebut (hanya tahu bere-mel sahaja) telah menambahkan parah di dalam perhubungan pejabat kerana masing-masing saling menyalahkan dan tidak pula mahu membetulkan keadaan sebaliknya hanya mahu bercakap di sebalik tirai semata-mata. Apa akan terjadi seterusnya? Yang berkuasa pastilah akan lebih berkuasa dan menekan yang tidak berkuasa, dan yang tidak berkuasa terpaksa berpindah ke jabatan lain atau terpaksa mencari pekerjaan di syarikat lain. Ruginya susur galur pekerjaan yang ditulis di dalam resume kerana dikatakan melompat dari satu syarikat kepada satu syarikat dan dituduh kaki lompat kerja oleh organisasi yang ingin mengambil pekerja itu bekerja. Tetapi, yang negatif pasti boleh dipositifkan, ada juga organisasi yang menganggap si pelompat kerja adalah orang yang lebih kompeten kerana tahu selok-belok sesuatu pekerjaan dan sentiasa menjadi perhatian organisasi lain untuk mengambil mereka bekerja.
Akhirnya, siapa yang rugi? Organisasi yang memiliki bakat-bakat luarbiasa terpaksa melepaskan mereka kerana bakat-bakat itu berasa kurang senang dengan pengurus muda yang mengawal mereka secara robotik, tiada 'human touch' dan hanya tahu menunjukkan kuasa secara berlebihan. Ingatlah, di dalam filem Spiderman, Uncle Ben telah mengingatkan Peter Parker bahawa "great power comes with great responsibility" atau dalam Bahasa Melayu diterangkan sebagai "kuasa yang hebat datang dengan tanggungjawab yang hebat", dan mereka yang diletakkan tanggungjawab sebagai pengurus perlu mengerti bahawa ia bukanlah kedudukan, tetapi ia adalah tanggungjawab; iaitu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan bukanlah duduk di satu kedudukan tanpa perlu menanggung semua tanggungjawab yang perlu ditanggung oleh mereka (mengurus sahaja tanpa perlu mengambil tahu). Oleh itu, janganlah menjadi pengurus yang ala-ala robot dan menjadikan orang bawahan mereka sebagai robot juga, kerana seperti yang diterangkan di atas, robot juga perlukan belaian dan penyelenggaraan, ia tidak boleh bekerja tanpa perasaan belas, inikan pula manusia yang bekerja tanpa rasa dihargai..
0 comments:
Post a Comment