Barangkali kita menyelusuri rasa kesunyian itu sebagai suatu keadaan yang biasa dan tidak disedari kehadirannya. Barangkali ada juga diantara kita yang terlalu tertekan dengan rasa sunyi yang mencengkam. Sunyi adalah satu keadaan yang sentiasa dilalui oleh kita sebagai yang hidup di muka bumi Allah ini. Ia kadangkala dilalui untuk tempoh yang sebentar, namun ada juga yang terpaksa ditempuhi dengan keperitan yang terlalu lama.
Saya juga tidak terlepas daripada perasaan sunyi. Sunyi itu selepas bapa saya pergi buat selama-lamanya, walaupun beliau tidak sakit tenat dan hanya demam biasa. Perginya secara tiba-tiba membuatkan seakan-akan beliau tetap ada bersama kami sekeluarga kerana keluarga saya memang selalu keluar bersama pada hujung minggu atau jika ada masa yang terluang. Bayangkan dua hari sebelum bapa saya meninggal dunia, saya mengetahui beliau ke hospital untuk mendapatkan rawatan biasa kerana demam. Beliau tidak terlantar berbulan-bulan di hospital malahan sehari sebelum beliau pergi, beliau tetap mampu duduk dan berbual seperti biasa.
Itulah kesunyian sebagai seorang anak yang tidak dilalui oleh anak-anak yang masih mempunyai bapa. Mesej yang ingin saya sampaikan kepada anda yang masih mempunyai bapa, sayangilah bapa anda walaupun bapa anda itu garang ataupun tegas terhadap anda. Walaupun jika anda mengatakan bapa anda tidak berperikemanusiaan, anda tetap akan berasa sedih tatkala dia menghembuskan nafasnya yang terakhir nanti. Mati itu pasti, hidup ini insya Allah..
0 comments:
Post a Comment