Saya melawat ibu saya yang sekali lagi dimasukkan ke wad Hospital Selayang hari ini. Boleh dikatakan, dalam sebulan, ibu saya perlu menjalani rawatan sebanyak dua kali dan setiap kali dirawat, beliau pasti akan dimasukkan ke wad.
Tetapi kali ini, keadaan ibu saya amat berlainan daripada selalu. Beliau sesak nafas dan menunjukkan keadaan yang lemah sekali jika dilihat di wajah beliau. Keadaan itu pasti membimbangkan hati saya dan adik-adik saya.
Apabila saya tiba di hospital petang tadi, ibu saya sedang didialisis. Beliau pernah dianalisa buah pinggangnya 3-4 bulan yang lalu dan Doktor mendapati buah pinggang beliau semakin lemah sehingga dikhabarkan ianya hanya berfungsi sebanyak di bawah 10%. Hati anak manakah yang tidak hiba melihat ibunya berkeadaan sedemikian? Ibu saya nampak lemah dan takut kerana itulah pertama kali beliau didialisis. Mohon jasa para pembaca untuk mendoakan agar ibu saya segera sembuh dan kuat, insya Allah.
Namun pernah saya baca di dalam sebuah blog kesihatan, menjalani hemodialisis bukanlah pengakhir kepada kehidupan ini. Ianya boleh dirawat dengan mesin hemodialisis walaupun bagi saya, Allah yang Maha menyembuhkan penyakit dan peralatan serta ubat-ubatan hanyalah asbab.
Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada beliau selepas ini, insya Allah.
Ibu saya diberitahu sudah kembali ke katilnya setelah selesai menjalani rawatan hemodialisis selepas Maghrib tadi. Isteri saya telah memberitahu saya melalui BBM. Saya telah keluar sebentar membeli bubur nasi McDonald's untuk Ibu saya dan adik saya yang menjaganya malam ini. Saya tidak dapat naik kembali ke wad kerana waktu melawat sudah pun tamat pukul 7:00 tadi.
Saya amat berharap agar Allah memberikan umur yang panjang dan kesihatan yang cemerlang kepada ibu saya, Amin, Ya Rabbul 'Alamin. Itulah doa saya sebagai anak. Waktu dihadapan barangkali masih samar, namun akan saya kuatkan hati untuk menjaga ibu saya bersama adik-adik dan isteri, insya Allah. Kasih ibu sampai ke Syurga..
Hamirudin Hamidi
Di luar Hospital Selayang
17 April 2012
7:56 malam
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.
2 comments
banyakkan bersabar...setiap yang berlaku ada hikmahnya, syabas kepada Amir kerana berjaya menjadi anak yg baik...menjaga orang sakit memerlukan tahap kesabaran yg tinggi...
ReplyDeleteTiap hari tak lupa pada keduanya.. Terluka juga hati apabila melihat mereka pergi selang 4 bulan saja, tapi yang nyata, Allah lebih menyayangi mereka. Mohon Nasirah sedekahkan Al-Fatihah kepada kedua arwah ibunda dan Ayahanda saya ya.. Terima kasih sahabat lamaku..
ReplyDelete