Keperluan atau Hanya Daki Dunia?


Saya sudah menyaksikan dengan mata saya sendiri bagaimana bapa dan ibu saya dimasukkan ke dalam liang lahad. Lalu saya melihat juga mereka pergi tanpa membawa sebarang harta benda hatta seutas jam tangan sekalipun. Yang dibawa hanyalah pakaian berwarna putih yang tidak diketahui jenamanya samada mahal ataupun murah (ada gred ke kain kapan itu?). Saya menulis entri ini untuk menyedarkan diri saya dan membawa para pembaca blog ini yang amat saya kasihi betapa bahagianya hidup ini jika kita hidup sederhana sepanjang masa.

Sesuatu yang kita inginkan dalam hidup ini tidak semestinya akan menjadi keperluan hidup kita. Baru-baru ini saya berkesempatan untuk melihat pameran kereta mewah di sebuah pusat beli belah terkemuka di Lembah Kelang. Jenama kereta yang dipamerkan hanyalah sebuah itu sahaja, namun variasinya melebihi pengetahuan saya mengenai jenama tersebut kerana selama ini saya hanya melihat satu atau dua jenis model sahaja yang berlegaran di jalanraya, rupanya terdapat lebih kurang enam atau tujuh model yang lain kerana dek terlalu mahalnya jenama kereta tersebut! Ada yang boleh dibuka bumbungnya, ada yang pendek bahagian belakangnya dan sebagainya.

Kenderaan merupakan satu keperluan bagi semua orang di kala kita tidak mampu untuk berharap sangat kepada pengangkutan awam. Namun, kadang-kadang kita terbabas dalam membuat pilihan untuk keperluan kita terutamanya apabila kita mempunyai kemampuan dari aspek ekonomi. Kita akan membuat pilihan bukan berdasarkan kepada keperluan sebenar, tetapi kesukaan kita terhadap barangan yang kita hendak miliki itu. Seharusnya kita perlu mengelakkan pembelian seperti itu. Kaji dahulu buruk baik pembelian yang hendak kita lakukan. Berfikirlah 100 kali sebelum kita membuat pilihan!


Kerana kita bukan saja perlu memikirkan kemampuan kita pada bulan itu sahaja, malahan yang perlu kita fikirkan ialah apakah kita akan mampu menyediakan ansuran bulanan sehingga selesai walaupun kita dilanda tidak memiliki pekerjaan. Bayaran bulanan di bawah RM800 mungkin kita mampu walaupun kita menghadapi masalah pekerjaan, insya Allah. Jangan hanya memikirkan mengenai kesukaan kita, tetapi fikirlah sedalamnya samada ia menjadi keperluan kita ataupun tidak. :) 

Sent by Maxis from my BlackBerry Torch 9810® smartphone


1 comments

  1. one of my dream car....nama pun 'dream' so dlm mimpi jer boleh miliki...huhuhu...

    ReplyDelete

My Instagram