Survival Kit Pelajar Menengah

Apa yang dimaksudkan dengan tajuk entri blog kali ini? Survival Kit Pelajar Menengah? Apakah itu? Sebenarnya Survival Kit Pelajar Menengah adalah buku tulisan saya yang terbaru. Ia adalah sebuah buku motivasi yang wajar dibaca oleh ratusan ribu pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura. Ia merupakan sebuah buku yang pantas membuka pemikiran para pelajar mengenai sebab musabab untuk mereka tega ke sekolah setiap hari.
 
Masakan tidak, saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita salahlaku pelajar di dada akhbar dan media elektronik sehingga pemikiran kita yang tidak berkait dengan perkara-perkara tersebut turut terbeban sama barangkali atas sebab emosi, rasa tanggungjawab atau rimas dengan perkembangan yang sedikit negatif itu. Sedikit sebanyak, sumbangan kita untuk mengawasi dan mengatasi masalah tersebut ialah dengan memberikan nasihat.
 
Atas kesedaran itulah, buku Survival Kit Pelajar Menengah ini ditulis. Tulisan di dalam buku ini yang merangkumi pelbagai nasihat dan kata-kata motivasi serta semangat untuk para pelajar sekolah menengah, diharap dapat membuka minda setiap pelajar bahawa setiap hari mereka ke sekolah perlu disertai dengan misi, bukan sekadar pergi ke sekolah dan kemudiannya pulang ke rumah pada waktu tengahari atau petang dengan tiada apa yang dibawa pulang.
 
Saya selaku penulis buku ini, amat-amat berharap agar setiap pelajar dapat memanfaatkan apa yang terkandung di dalam buku tersebut. Sementelahan buku ini ditulis berdasarkan kepada pengalaman, pemerhatian dan kajian saya terhadap para pelajar menengah kini, setidak-tidaknya apa yang ditulis di dalam buku ini dapat dijadikan pencerahan kepada jalan-jalan di hadapan oleh setiap pelajar untuk menuju ke arah kecemerlangan.
 
Buku Survival Kit Pelajar Menengah ini bakal menemui pembaca pada penghujung bulan Oktober 2012 ini, insya Allah. Jangan lupa dapatkannya untuk anak-anak anda, anak saudara anda atau jika anda seorang guru, jadikan buku ini sebagai panduan kepada para pelajar anda, insya Allah!
 
Laman Facebook untuk buku ini boleh ditemui di https://www.facebook.com/SurvivalKitPelajarMenengah
 
 

0 comments:

Post a Comment

My Instagram