Apalah Kerja Diorang Ni Ye?

Pagi tadi saya mengekori sebuah Nissan Skyline GTR 34 yang pada saya bunyi ekzosnya amat menawan kalbu. Ekzos besar dengan paip besar juga, tetapi bunyi yang agak dalam, amat sedap untuk didengar berbanding ekzos dan paip besar pada kereta bukan bernadikan enjin Turbo yang agak bingit. Nissan Skyline GTR 34 itu adalah kereta yang saya minati tetapi bukanlah untuk dimiliki kerana bagi saya ianya tidak praktikal untuk dijadikan kereta utama untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Fikiran saya menjelajah ke bermacam-macam daerah pemikiran. Saya bertanya lagi, apa kerja si pemandu kereta Nissan Skyline GTR 34 ini sehinggakan beliau boleh memandu kereta ini ke tempat kerja. Untuk memiliki kereta ini dengan cara sewa beli, bayaran bulanannya mungkin mencecah RM2000 sebulan. Dengan enjin bersesaran mencecah 2.5 sehingga 3.0 cc, berapakah gaji mereka sebulan untuk menggunakan kereta ini. Sudahlah bersesaran besar, bernadikan enjin Turbo pula, berapakah penggunaan petrol untuk seminggu? Mereka bekerja sebagai apa? Jarang sekali kawan-kawan saya yang bekerja sebagai pegawai kerajaan mampu membeli kereta ini, apatah lagi saya.

Fikiran berlegar-legar lagi, jika saya bekerja sebagai seorang Librarian, rasanya sampai ke tua pun saya tidak dapat membeli kereta seperti ini. Bahkan, hanya dengan perniagaan besar sahajalah yang memungkinkannya. Dan kereta ini pula bukanlah sesuai untuk perniagaan, bakal klien akan memandang aneh sekiranya seorang usahawan berjaya yang ingin mengadakan perniagaan dengan mereka, memandu kereta ini. Walaupun ia mahal, tetapi pandangan orang lain pasti serong. Yang mereka selalu lihat ialah seorang usahawan berjaya yang memandu kereta-kereta seperti Mercedes Benz, BMW, Jaguar atau Volvo. Ini mungkin kereta belasahan mereka untuk ke pejabat. Dan mereka memandu kereta ini setiap hari, yang mungkin melibatkan kos yang besar.

Saya meneruskan perjalanan ke tempat kerja dengan pelbagai persoalan bermain di minda. Kalaulah terlalu banyak wang, tentulah kereta Nissan Skyline GTR 34 ini boleh menjadi milik kita. Tetapi, adakah kita sanggup untuk membelanjakan sejumlah wang untuk penyelenggaraan dan kos petrolnya setiap hari? Tepuk dada tanya selera. Yang paling baik ialah, kereta yang praktikal dan yang mampu membuatkan kita bergerak ke satu destinasi ke destinasi yang lain tanpa perlu berbelanja lebih!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram