Jual Barang Tapi Tak Ada Gambar..

Saya berasa lucu juga apabila melihat kebanyakan forummer di dalam mana-mana forum menjual barang yang mereka hendak jual tetapi tiada gambar terutamanya forum fotografi. Ini boleh dilihat dimana-mana forum fotografi, namakan sahaja forum yang mana satu, forum berbahasa Melayu, forum berbahasa Inggeris, ramai juga yang tidak tahu istilah berniaga melalui internet.

Sudah sedia maklum, perniagaan melalui internet atau apa yang orang lain sebut sebagai 'e-commerce' mempunyai pelbagai risiko penipuan dan sebagainya, jadi antara perkara utama di dalam perniagaan melalui internet ini ialah GAMBAR, selain daripada alamat premis yang sah, nama syarikat, dan nombor telefon tempatan (bukan nombor telefon selular). Pihak-pihak yang menyediakan platform perniagaan internet juga mengkehendaki maklumat-maklumat ini sebelum seseorang peniaga luar (ahli/forummer) itu mahu meletakkan iklan di platform mereka. Ini bagi mengelakkan penipuan semasa urusniaga berjalan yang biasa terjadi di dalam perniagaan melalui internet.

Yang paling melucukan ialah di dalam forum fotografi. Sudah sedia maklum bahawa seseorang pemain fotografi mestilah terdiri daripada mereka yang memiliki kamera secanggih kamera DSLR, tetapi di dalam bab menjual barang, mereka tiada kamera untuk digunakan untuk mengambil gambar hatta mengambil gambar untuk beg yang hendak dijual! Jikalau mereka ingin menjimatkan kadar kilasan shutter pun, mereka boleh sahaja menggunakan kamera kompak mereka. Jika kamera kompak pun mereka tidak ada, gunakan sahaja kamera telefon bimbit! Jika tiada sebarang kamera, belilah satu! Fundamental perniagaan melalui internet memang menuntut si penjual menunjukkan apa yang mereka jual di platform yang mereka gunakan kerana si pembeli sememangnya mahu melihat terlebih dahulu apa yang mereka hendak beli itu. Itu psikologi jual-beli yang pasti! Kalau tiada gambar, apakah medium yang mereka boleh sandarkan untuk mempercayai barangan itu wujud atau tidak? Atau paling kurang pun gambar boleh digunakan untuk melihat keadaan fizikal sesuatu barangan yang hendak dijual!

Saya sudahpun terlibat di dalam dunia e-commerce ini sejak bermain kereta pada tahun 2003. Kalau hendak dikira, saya baru 6 tahun menceburi bidang menjual barangan melalui internet. Bukanlah secara borong pun, sekadar menjual barangan kecil-kecil yang saya beli dari kedai potong, dan menjualnya kembali kepada pelanggan, melalui internet. Bermacam-macam barang yang halal dan bersih sudah saya jual. Sekarang inipun saya menjual barangan kit badan kereta untuk beberapa kereta lama seperti kit badan Proton Saga, Nissan AD Resort, Toyota SEG dan sebagainya. Pulangannya agak lumayan dan permintaannya juga agak tinggi. Kalau barangan kamera, saya banyak menjual barangan yang saya sudah tidak gunakan. Paling penting ialah, sebelum pelanggan saya menelefon saya, mereka sudah tahu apa yang mereka hendak beli, kerana mereka sudah dihidangkan dengan gambar di dalam internet.

Saya tidak faham mengapa di dalam forum fotografi, gambar tidak diletakkan kononnya untuk menjaga keaslian barangan yang hendak dijual. Bolehkah kita percaya bahawa sesuatu barangan yang hendak dijual itu tidak pernah disentuh? Ia boleh disentuh untuk diambil gambarnya, bukannya digunakan hatta untuk sekali sehingga mengganggu jaminan pengeluar! Apa salahnya mereka mengambil gambar barangan yang mereka sendiri hendak jual? Perlu diketahui, forum yang menghargai gambar sebagai bukti jualan ialah forum kereta, dan bukannya forum fotografi, sedangkan pemain-pemain forum yang menggunakan kamera untuk mengambil gambar ialah forum fotografi, mengapa forummer dari forum kereta pula yang menghargai fotografi sebagai pemangkin kepada peniagaan melalui internet yang mereka jalankan? Sungguh pelik!

Jadi, kepada yang ingin melibatkan diri di dalam perniagaan melalui internet, haruslah sedar bahawa para pelanggan di luar sana yang ingin membeli sesuatu barangan, mereka akan merujuk kepada gambar terlebih dahulu. Jika tiada gambar, maka akan lambatlah proses jual beli tersebut. Penjual mestilah telus di dalam perniagaan mereka dan mestilah BERANI untuk meletakkan gambar di dalam setiap iklan mereka. Ia seakan satu perkara wajib jika ingin mempercepatkan jualan. Saya baru sahaja meletakkan iklan menjual beg Crumpler 6 Million saya di dalam internet beserta gambar beg yang sebenar, percaya atau tidak bahawa seminit kemudian, sudah ada pelanggan yang booking beg tersebut dan dia jugalah yang menjadi pembeli bertuah beg tersebut kerana saya turut menjual beg tersebut dengan harga yang murah! Seminit bukanlah satu perkara ajaib sekiranya para penjual faham bahawa perniagaan melalui internet memang memerlukan gambar sebagai asas (foundation) perniagaan tersebut. Kalau tidak faham lagi, tidak tahulah apa lagi yang hendak dikatakan lagi..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram