Sudah 3 hari saya tidak menulis disini dan pada hari Sabtu iaitu hari ni sahajalah saya mempunyai masa untuk menulis. Dalam 3 hari sejak Rabu yang lepas, saya telah berpeluang untuk menggunakan telefon selular yang canggih berjenama Blackberry Bold 9000 yang telah diberikan oleh syarikat tempat saya bekerja untuk kegunaan harian. Sebagai ketua jabatan, saya telah diberikan kelayakan untuk telefon ini tetapi ia agak memeningkan kepala saya kerana sistemnya yang agak rumit berbanding sistem telefon mudah alih jenama yang telah saya gunakan sejak 10 tahun lalu, iaitu Nokia (pertama kali dulu saya menggunakan Nokia 5120 pada tahun 1999)
Pada tahun 1998, saya mula menggunakan talian pra bayar Digi yang pada mula-mula dulu dijual pada harga RM199! Pada masa itu, liputan talian telefon tidaklah sebaik hari ini. Pada masa itu, buah hati saya (sekarang ni isteri lah) sering tidak mendapat talian apabila mahu menghubungi saya. Keadaan itu berbeza dengan talian yang ayah saya langgan iaitu TM Touch (sekarang bergabung dengan Celcom) yang di bandar-bandar kecil pun pasti akan mendapat liputan. Telefon saya yang pertama bukanlah Nokia, tetapi Motorola PCN600 yang seakan kereta kebal itu (budak-budak sekarang mungkin tidak pernah melihatnya lagi) semuanya tinggal kenangan sahaja sekarang ini..
Berbalik kepada cerita BlackBerry Vs Nokia di atas, apa yang diberikan oleh syarikat,wajiblah kita mensyukurinya kerana ia adalah pemberian pinjaman daripada Allah pada hakikatnya. Susah-susah pun kita tidaklah boleh merungut. Tetapi apa yang saya dapat lihat daripada telefon pintar BlackBerry ini, ia memang sesuai dengan kegunaannya iaitu saya boleh membaca e-mel dengan menggunakan telefon ini dimana e-mel-e-mel tersebut sepatutnya yang masuk ke Outlook di laptop saya. Sistemnya amat canggih, sehinggakan kalangan staf di Jabatan IT pun mengakui bahawa telefon BlackBerry ini memang layak untuk menjalankan tugasnya sebagai pengantara e-mel dan pengguna akhir berbanding telefon Nokia E91 iaitu telefon Nokia Communicator yang berwarna merah (diberikan hanya kepada Head of Division sehingga ke CEO). Itulah kelebihan BlackBerry. Namun begitu, BlackBerry tidak mampu menyaingi Nokia kerana Nokia lebih kreatif. Dalam hal ini saya tidak mahu terlalu bias kerana saya adalah pengguna Nokia. Setiap sesuatu itu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Malahan, telefon yang paling canggih pun ada kelemahannya iaitu harganya pula yang tinggi.
Sebetulnya, apa sahaja yang kita dapat, gunakan saja dan maksimumkan kebolehannya. Kita yang mengawal device, bukannya device yang mengawal kita!
0 comments:
Post a Comment