Kita Yang Punyai Kuasa Memilih..

Entri kali ini adalah untuk motivasi pagi. Bangun seawal pagi, saya selalu memikirkan bahawa setiap dari kita ini memang punyai kuasa untuk membuat pilihan. Kita mesti sentiasa membuat pilihan. Kita tidak boleh mengabaikan pilihan kerana pilihan mungkin boleh menjadi 'tiada pilihan' apabila tiada pilihan lagi. Jadi, sentiasalah membuat pilihan yang tepat berdasarkan keperluan dan kehendak kita. Hanya tangan kita yang boleh membawa perubahan kepada diri kita sendiri dan bukanlah orang lain.
Contoh paling kecil ialah jika kita tiada mood yang baik pada waktu pagi, siapakah yang boleh memperbaiki mood kita? Orang lain boleh juga memperbaiki mood kita, tetapi kita tidak semestinya boleh menerima pembaikan itu, kadang-kadang orang lain juga tidak boleh memahami diri kita. Sememangnya orang yang boleh menentukan mood kita baik atau tidak, ialah diri kita sendiri. Kita mempunyai kuasa untuk memilih! Kita boleh memilih apa yang terbaik untuk kita. Jika kita tahu bahawa mood yang tidak begitu baik pada waktu pagi itu boleh memberi kesan kepada ketahanan tubuh badan kita dan mungkin juga boleh membuatkan kita mendapat sakit kepala atau migraine, maka kitalah yang perlu membuat pilihan samada kita mahu teruskan mood yang tidak baik pada waktu pagi itu atau tidak! Tentunya kita akan memilih untuk tersenyum dan menggembirakan diri sendiri kerana kita pasti boleh berbuat demikian. Buat apa kita mahu merosakkan mood kita? Ubah mood kita kepada mood yang baik setiap hari!
Contoh yang besar pula, kita sentiasa berhadapan dengan pilihan samada untuk menjadi orang yang boleh memberi manfaat kepada orang lain atau sebaliknya. Secara spesifiknya, jika kita lihat orang lain menjadi seorang gagal dalam hidupnya dan tidak mampu untuk mengubah dirinya, kita mempunyai pilihan untuk mengelakkan diri kita daripada menjadi seperti orang itu kerana setiap orang mempunyai potensi untuk maju, berbekalkan dengan semangat dan usaha yang jitu. Jika kita melalui kawasan jambatan yang merentangi Sungai Kelang di Masjid Jamek Kuala Lumpur atau Bangunan Dayabumi, kita mungkin akan ternampak sekumpulan orang sedang khayal di bawah jambatan dengan aktiviti songsang mereka, kita juga boleh membuat pilihan yang terbaik dalam hidup kita samada mahu menjadi seperti mereka atau menjadi orang yang berguna. Dan kita tidak boleh tersilap membuat pilihan kerana kesannya amatlah teruk dan boleh merosakkan agenda lain di dalam hidup kita.
Bak kata pepatah, api yang kecil menjadi kawan, apabila besar menjadi lawan. Ia boleh diaplikasikan pada pilihan di dalam hidup kita juga. Apabila berhadapan dengan pilihan, kita boleh anggapkan ia adalah kawan kita, yang boleh mematangkan kita, yang membolehkan kita mengurangkan risiko semasa membuat pilihan, tetapi jika kita tersilap langkah dan masalah itupun menjadi besar, ia boleh menjadi lawan kita pula. Amat sukar juga untuk menawan masalah yang besar walaupun ianya berpotensi untuk diselesaikan dengan perancangan dan kemahuan yang kuat. Jadi, selesaikan sesuatu masalah itu diperingkat yang kecil dengan membuat pilihan yang betul. Jika tidak, ia akan berkembang menjadi masalah yang besar dan menyusahkan kita di hari kemudian pula. Contohnya jika kita dipejabat, kita diberikan sesuatu tugasan yang nampak mudah. Kita diberi pilihan untuk menyelesaikannya pada saat itu juga atau kita mendahulukan prioriti. Jika tugasan itu adalah tugasan ad-hoc, maka kita perlu membuat pilihan yang betul dengan menyiapkannya pada saat itu juga. Jika kita tersalah membuat pilihan dengan mendahulukan tugasan yang sedang kita selesaikan yang bukanlah satu prioriti, maka percayalah bahawa tugasan itu akan menjadi satu masalah yang besar pada suatu hari nanti yang akan menjatuhkan kita pula. Dalam hal ini, membuat pilihan mestilah berdasarkan prioriti yang mana perlu didahulukan, yang mana boleh dikemudiankan.
Buatlah pilihan yang betul pada peringkat permulaan dengan mengambilkira pelbagai aspek seperti keperluan, kehendak dan kesan yang buruk jika kita tidak pandai membuat pilihan. Pilihan yang betul adalah untuk kita juga, dan bukanlah untuk orang lain. Kita yang akan mendapat banyak manfaat daripada pemilihan yang betul yang telah kita buat. Wallahu a'lam..

0 comments:

Post a Comment

My Instagram