Suka Duka Peristiwa Sepanjang Minggu

Wow! Entri terakhir blog ini ialah pada 9 Jun yang lalu, hari ini sudah masuk 17 Jun, bermakna saya sudah tidak menulis sejak seminggu lebih yang lalu. Almaklumlah, agak sibuk dengan tugas harian termasuk mengedit foto untuk album sticky salah seorang client saya. Tugas di pejabat juga amat hebat sibuknya kerana dari pagi sehingga petang, mata asyik tertumpu kepada laptop sahaja, membalas semua e-mel yang ada dan menyelesaikan kerja. Hari cuti pun e-mel tetap masuk ke telefon bimbit saya. Bila saya boleh cuti???
Sepanjang seminggu ini, ada kisah duka yang saya tempuhi. Tapi ada juga kisah suka! Kisah duka ialah saya telah kehilangan dompet saya yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad-kad ATM dan wang tunai sebanyak RM500! Kehilangan seperti ini terjadi buat pertama kalinya di dalam hidup saya dan sememangnya saya amat sedih, cuma wajah sahaja yang tenang, kerana saya tidak mahu tunjukkan kesedihan sehingga orang lain tahu. Kehilangan dompet tersebut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri dan perasaan saya kerana disamping kehilangan dokumen-dokumen penting, kad ATM dan wang tunai, saya juga turut kehilangan foto-foto penting di dalamnya. Sungguh malang kehilangan wang sebegitu jumlahnya tapi apa yang boleh dilakukan? Hanya redha sahajalah jalan terbaik.

Canon 30D terbaru. Set baru walaupun tiada kedai yang menjual set baru lagi..

Hasil yang dihasilkan oleh Canon 30D

Lantaran dari itu, saya terpaksa menjual kamera kesayangan saya iaitu Canon 40D kerana ia boleh menghasilkan wang. Mencairkan aset adalah tindakan terbaik pada masa itu dan ia tidak begitu meninggalkan kesan mendalam kerana sehari selepas meletakkan iklan di forum awam bidang fotografi, ada bakal pembeli yang berminat dan kamera saya terus dibeli pada keesokkan harinya selepas iklan diletakkan. Faktor penyebab terjadinya proses jual beli yang begitu pantas itu ialah kerana kamera DSLR saya masih di dalam jaminan dan jumlah shutter release yang rendah. Setelah berjaya dijual, saya yang ditemani isteri saya terus ke kedai kamera Boeing Photo di Plaza Sungei Wang kerana saya telah bertanya mengenai kamera Canon 30D, yang saya jangka kamera terbaik selepas Canon 40D yang telah dijual itu. Akhirnya, saya berjaya mendapatkan kamera DSLR Canon 30D yang mengejutkan saya kerana output yang dihasilkan ternyata lebih baik daripada 40D. Itu pengalaman saya, mungkin berbeza dengan pengalaman orang lain.
Semalam saya terpaksa bercuti untuk menyelesaikan hal-hal penggantian kad pengenalan, lesen memandu dan kad-kad ATM yang telah hilang. Alhamdulillah, ia dapat diselesaikan dalam masa setengah hari sahaja. Kad ATM Maybank yang berwarna kuning kini telah digantikan dengan kad debit VISA dapat disiapkan dalam masa 10 minit sahaja. Semalam juga saya cuba untuk membuat penggantian satu lagi kad ATM saya tetapi saya tidak dapat memberitahu bank yang mana, tetapi pengalaman saya semalam di bank tersebut adalah pengalaman paling buruk sekali. Ini kerana saya terpaksa menunggu hampir 45 sebelum nombor giliran saya dipanggil, tetapi jawapan yang saya terima di kaunter ialah kad saya tidak boleh diganti dengan cepat kerana berlainan cawangan. Saya keluar dari bank tersebut yang terletak di pintu masuk Suria KLCC dengan rasa hampa yang amat sangat. Berbeza benar dengan masa yang diambil oleh saya untuk menggantikan kad ATM Maybank di Menara Maybank, kad pengenalan di JPN Taman Melawati dan lesen memandu di JPJ Wangsa Maju.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram