Ikhlas atau Sekadar Bread And Butter..?

Sememangnya setiap dari kita mahukan kesenangan di dunia ini. Hidup mahu senang, kerja pun mahu senang. Tidak ada manusia di dunia ini yang mahu susah ataupun menjadi orang susah walaupun ada diantara mereka yang hidup dalam kesusahan. Sedangkan ada yang hidup dalam kesenangan pun tidak mahu kehidupan mereka menjadi susah, apatah lagi orang-orang biasa yang hidup dalam kesederhanaan, hanya kesenangan hiduplah yang menjadi impian.
Kerja yang senang tetapi mendapat pulangan yang banyak juga adalah impian semua orang. Tetapi realitinya tidak begitu. Untuk mendapatkan kesenangan di dunia mahupun di akhirat, tiada istilah kerja mudah yang boleh kita jalankan. Setiap orang kaya adalah kerana usahanya yang jitu dan pemikiran mereka yang berlainan terhadap wang, walhal orang yang sederhana akan terus hidup sederhana dan orang yang susah akan terus hidup susah. Punca segalanya ialah akal fikiran, daripada akal fikiran kitalah yang akan menentukan siapa diri kita, sejauh mana kesenangan yang kita ada, dan sikap kita terhadap orang lain.
Akal fikiran jugalah yang memandu kita kepada kesungguhan kita melakukan kerja. Tidak kira apa jua bidang yang kita ceburi, kita tetap mahukan yang termudah. Tidak ada orang yang mahukan sesuatu kerja yang susah dan mendapat pulangan yang sedikit. Namun begitu, di dalam era kemelesetan ekonomi dunia yang sentiasa naik turun ini, ramai yang tidak mampu untuk memilih kerjaya impian mereka. Ada juga yang sedang di dalam pekerjaan, tetapi tidak memperolehi kepuasan di dalam pekerjaan mereka. Mengapa hal ini terjadi? Salah satu daripada faktor yang menyebabkan terjadinya ketidakpuasan ini adalah kerana mereka tidak menyukai kerja yang mereka lakukan. Ini mungkin salah satu daripada faktor penyebab daripada beratus-ratus faktor yang lain.
Mereka tidak menyukai kerja mereka itu bukan kerana mereka telah tersalah pilih pekerjaan atau tersalah pilih kursus semasa di alam pengajian tinggi dahulu, tetapi kerana mereka sukakan kerja yang mudah. Untuk pengetahuan, sekiranya pihak majikan memberikan gaji sebanyak RM3500, apa yang diharapkan oleh pihak majikan ialah output daripada pekerja tersebut melebihi apa yang mereka tawarkan, katakan RM4500! Mereka menggajikan kita kerana ingin melihat kita menghasilkan output yang sama nilai dengan RM4500. Itulah hakikatnya bekerja dengan cara memberikan kekayaan kepada orang lain (majikan). Bekerja keras siang dan malam hanya untuk membolehkan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat tempat mereka bekerja dibawa oleh seorang pemandu di dalam sebuah kereta mewah, barangkali.
Kepuasan di dalam bekerja ialah hanya dengan mengkayakan diri sendiri. Jika kita mencari pekerjaan, kita ubah kepada menyediakan peluang pekerjaan. Sesetengah dari kita amat takut untuk menjadi orang yang menyediakan peluang pekerjaan kerana takutkan risiko. Risiko seperti ditolak penawaran, atau usaha yang tidak berbaloi, atau memperolehi kerugian jika menjalankan sesuatu usaha adalah beberapa faktor yang menyebabkan ramai orang yang tidak sanggup untuk berusaha sendiri dan sanggup menjadi orang suruhan kepada orang lain, asalkan mendapat pendapatan lumayan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam, perumpamaan seperti itu tidak diberi perhatian khusus.
Lantaran itu, ramai yang bekerja dengan sesebuah syarikat, hanya sekadar memenuhi keperluan sesuap nasi atau istilah barat iaitu bread and butter. Untuk maju jaya di dalam pekerjaan, Donald Trump iaitu Jutawan Hartanah Terkenal di Amerika ada mencadangkan di dalam bukunya supaya setiap dari kita menganggap bahawa kerja yang kita lakukan itu sebagai perniagaan kita sendiri. Dengan cara itu, kita akan berusaha untuk menjaganya dan memastikan kita tidak tercicir dari pergerakan masa. Sistem ganjaran pasti akan menjengah setiap staf yang meningkat naik, tetapi jika tiada sistem seumpama itu, carilah syarikat yang mempunyai sistem ganjaran yang lebih baik supaya kita tidak statik di satu tempat untuk tempoh jangkamasa yang lama.
Adakah kita ikhlas di dalam pekerjaan kita atau sekadar memenuhi bread and butter sahaja? Dalam hal ini, apa yang kita boleh lihat dimana kita berada ialah dengan melihat hasil kerja kita. Adakah kita layak mendapat gaji sebanyak itu ataupun sebaliknya, kita sendiri yang harus menilainya. Penilaian terhadap diri sendiri amat penting dan di dalam Islam pun ada mencadangkan penilaian seperti ini iaitu muhasabah diri. Dari muhasabah atau penilaian diri, kita dapat meilhat dimana kita berada. Ikhlas ini amat sukar untuk diukur, ianya seumpama semut hitam di dalam gelap malam, amat sukar untuk dilihat. Jadi, ikhlas atau sekadar bread and butter sahaja adalah berdasarkan penilaian kita terhadap diri kita sendiri.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram