Jika anda adalah seorang Pustakawan yang baru sahaja menyertai sesebuah organisasi perpustakaan, dan salah satu daripada tugasan khas anda ialah menyediakan sumber maklumat baru di perpustakaan tersebut, anda mestilah merangka kaedah yang membolehkan anda menyediakan senarai sumber maklumat yang mungkin boleh memberi manfaat kepada pengguna perpustakaan tempat anda bekerja itu. Kebanyakan (tidak semua) perpustakaan adalah lesu, jika sesebuah perpustakaan itu adalah perpustakaan akademik, perpustakaan tersebut hanyalah digunakan untuk mengulangkaji pelajaran. Jika sesebuah perpustakaan itu adalah khusus, para pekerja yang melawat perpustakaan itu hanyalah dengan tujuan untuk berbual sesama rakan dan membaca akhbar. Persepsi kebanyakan patron terhadap fungsi sesebuah perpustakaan hanyalah setakat itu sahaja. Kaedah yang anda akan gunakan itu haruslah menjurus kepada penyelesaian, bukannya cadangan-candangan yang hanya boleh memberikan kebaikan kepada anda sahaja (setakat menyiapkan tugasan), tetapi juga mestilah menjurus kepada satu senarai yang benar-benar mampu mengubah persepsi pengguna terhadap kredibiliti perpustakaan tersebut.
Menyediakan sumber maklumat baru haruslah menjurus kepada kredibiliti sesebuah sumber maklumat dan juga sumber kewangan dalaman sesebuah organisasi atau syarikat untuk mendapatkan sesuatu sumber maklumat tersebut. Adakalanya, sesebuah organisasi atau syarikat mempunyai bajet yang amat terhad terhadap perbelanjaan sesebuah perpustakaan, dan pustakawan yang diminta untuk menjalankan kajian terhadap penyediaan sumber maklumat baru itu haruslah mengambil kira kesanggupan dan kemampuan organisasi atau syarikat tempat mereka bekerja itu terhadap bajet yang agak tinggi dalam menyediakan sumber maklumat baru yang komprehensif dan mudah diakses oleh patron. Daripada kajian terhadap bajet, seseorang pustakawan itu akan dapat mengenalpasti sumber maklumat yang menepati kemampuan bajet untuk dimasukkan di dalam agenda perubahan sesebuah perpustakaan.
Pustakawan tersebut juga mestilah peka terhadap keperluan patron dan tidak tersalah pilih dalam menyediakan sumber maklumat yang tepat dan memenuhi keperluan semasa dimana, ia boleh dilakukan dengan kaedah mendapatkan maklumbalas daripada semua jabatan yang terdapat di dalam sesebuah organisasi. Maklumbalas boleh didapati dengan kaedah temubual, borang soalselidik, mengenalpasti carta sirkulasi yang terdapat di dalam sistem automasi perpustakaan dan banyak lagi kaedah lain yang sesuai digunapakai dalam mendapatkan maklumbalas mengenai keperluan sebenar patron terhadap sumber maklumat yang boleh ditawarkan oleh perpustakaan tempat mereka bekerja. Dengan adanya komunikasi dua hala ini, wajarlah pihak perpustakaan mendapatkan idea baru dalam menyediakan sumber maklumat yang berguna kepada patron.
Melihat kepada sumber maklumat yang disediakan oleh perpustakaan lain yang mungkin terlibat di dalam bidang yang sama adalah salah satu kaedah yang amat berguna dalam proses merencana penyediaan sumber maklumat di perpustakaan. Dalam kaedah ini, seseorang Pustakawan itu perlulah mengadakan permuafakatan dengan perpustakaan lain bagi memudahkan perbincangan diadakan diantara kedua-dua buah perpustakaan. Komunikasi dua hala antara mereka bakal menerbitkan idea baru dalam penyediakan sumber maklumat di kedua-dua buah perpustakaan. Pertukaran idea seperti ini pastinya akan memantapkan lagi perkongsian bahan-bahan sedia ada di antara kedua-dua buah perpustakaan terutamanya bahan-bahan konvesional seperti buku dan majalah melalui pinjaman antara perpustakaan.
Mendapatkan idea mengenai sumber maklumat baru dari pihak vendor yang menawarkan pelbagai sumber maklumat juga adalah satu kaedah yang sering digunakan untuk mendapatkan idea terbaru dalam menyediakan sumber maklumat perpustakaan. Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi terkini, ia sedikit sebanyak telah membantu dalam penyediaan bahan sumber maklumat atas talian (online) yang boleh memudahkan capaian kepada maklumat penting dalam masa paling pantas dan ringkas, iaitu di hujung jari sahaja. Bahan-bahan maklumat ini semakin popular dan semakin banyak perpustakaan yang melanggan perkhidmatan atas talian seperti ini. Ia merupakan satu sumber yang mudah diperolehi disamping penapisan yang dijalankan telah membolehkan patron mendapatkan maklumat yang komprehensif sahaja berbanding apa yang boleh ditawarkan oleh kebanyakan laman web.
Disamping itu, seseorang pustakawan itu perlu memikirkan kaedah yang lain seperti menyemak senarai sumber maklumat yang ada di perpustakaan tempat mereka bekerja, samada sesuatu sumber itu masih relevan atau perlu dijalankan aktiviti sorting terhadap sumber maklumat yang sedia ada itu demi untuk memastikan samada sesuatu sumber maklumat itu memenuhi keperluan patron pada masa itu atau tidak. Dan jika didapati bahawa sumber maklumat yang sedia ada itu tidak lagi menepati keperluan patron, ia harus menjalani proses weeding atau sisihan dimana ia perlu digantikan dengan sumber yang baru. Ini bagi memastikan sesebuah perpustakaan itu terus relevan dalam menawarkan pelbagai sumber maklumat baru kepada patron yang setia menggunakan bahan yang terdapat di dalamnya.
Amatlah penting untuk seseorang pustakawan itu menyediakan senarai sumber maklumat yang betul, tepat, komprehensif dan boleh memberi manfaat kepada patron. Profesionalisme di dalam bidang keperpustakawanan haruslah digunakan dengan sebaiknya untuk mencapai aspirasi ini.
- Artikel ini ditulis oleh saya untuk bidang Sains Pengajian Maklumat -
0 comments:
Post a Comment