Pagi ini, masalah mendapatkan tempat letak kereta terjadi lagi di salah sebuah bangunan di kawasan Seri Kembangan atau Mines, yang menempatkan pejabat saya! Masalah ini terjadi kerana salah sebuah agensi yang menyewa pejabat di bangunan telah mengadakan peperiksaan khas (saya pun tidak tahu peperiksaan apa) untuk para pegawainya. Tempat letak kereta yang sepatutnya cukup untuk sebilangan pekerja di bangunan ini telah menjadi tidak cukup dan terpaksa bersaing pula dengan para pegawai yang datang dari luar kawasan ini untuk menduduki peperiksaan.
Saya terpaksa mengelilingi bangunan ini untuk mencari tempat letak kereta. Sepatutnya, saya juga mendapat tempat letak kereta khas kerana saya merupakan seorang pegawai di sini, tetapi akibat daripada tempat letak kereta yang tidak mencukupi, saya terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan tempat letak kereta. Tidak tahulah saya bilakah saya akan mendapat tempat letak kereta khas untuk saya, mungkin terpaksa menunggu pihak penyelenggara bangunan memberikan tambahan tempat letak kereta untuk para pegawai agensi tempat saya bekerja atau salah seorang daripada pegawai di sini yang menamatkan perkhidmatan disini, barulah saya akan mendapat tempat letak kereta saya sendiri nanti. Sementara itu, saya terpaksa bersaing dengan sebilangan pekerja di sini dalam hal meletakkan kereta!
Akibat daripada ruang yang menjadi terlalu sempit di sekitar bangunan ini, saya yang selama ini menggunakan semua skil yang ada untuk mengelakkan daripada rim kereta saya menyagat bahagian tepi jalanraya, tidak dapat mengelak lagi. Akhirnya, setelah lama mempertahankan rim kereta saya, akhirnya ia bercalar juga! Ini terjadi disebabkan saya terpaksa mengelak daripada menggeselkan bumper kereta saya dengan badan kereta orang lain, akhirnya rim kereta saya yang menjadi mangsa. Takkanlah saya nak merosakkan bumper kereta saya dan badan kereta orang lain semata-mata untuk menyelamatkan rim kereta saya, akhirnya saya terpaksa korbankan rim kereta saya untuk meneruskan perjalanan mencari tempat letak kereta.
Dalam perjalanan mencari tempat letak kereta, ada seorang pengawal yang saya dapat agak berasal dari negara Nepal telah memarahi saya kerana dikatakan tersalah masuk tempat letak kereta. Saya tidak pasti apa kapasiti beliau sebagai pengawal di situ untuk memarahi saya dalam mendapatkan tempat letak kereta; tetapi saya telah menegaskan kepada beliau bahawa saya adalah salah seorang pegawai di agensi tempat saya bekerja. Dan saya tidak pasti samada beliau faham atau tidak penerangan ringkas dalam Bahasa Malaysia yang saya telah buat terhadap beliau.
Saya ingin mencadangkan agar para pegawai daripada agensi terbabit supaya memberi kelebihan kepada para pekerja di bangunan ini yang sememangnya adalah pengguna tetap tempat letak kereta di bangunan ini. Sebagai tetamu, pasti mereka mengetahui kaedah yang sesuai untuk mendahulukan tuan rumah. Mereka mungkin boleh sahaja meletakkan kereta di bangunan tempat letak kereta yang terletak bersebelahan dengan plaza tol Besraya di Seri Kembangan dan mengadakan bas shatel untuk para pegawai mereka. Itu tidak mustahil untuk dilaksanakan. Jika tidak, apa yang berlaku adalah rungutan daripada para pekerja yang sedia ada di bangunan ini terhadap mereka akan berterusan sampai bila-bila.
0 comments:
Post a Comment