Kisah Si Pemberi Komen Blog Ala Kebudakan

Saya berasa lucu pagi ini apabila diminta untuk memoderasikan beberapa komen untuk blog saya ini yang datang dari para penyembunyi identiti (penakut barangkali) yang saya telah tolak kesemuanya. Lucu kerana mereka yang memberikan komen itu bukanlah memberikan komen yang membina, tetapi komen yang menjatuhkan. Saya tidak pasti para pemberi komen itu dibayar atau membuat kerja-kerja itu secara bersedekah, tetapi saya terfikir, untuk apa semua itu dilakukan? Apakah desired result yang hendak dicapai oleh pemberi komen? Bagi saya, blog adalah satu medium penyampaian hasil tulisan yang pantas, tidak perlu penerbit atau apa-apa kos, cuma tulis dan paparkan untuk tatapan para pembaca blog. Sekiranya tulisan itu dianggap sampah, maka tulislah cara-cara untuk meningkatkan kredibiliti tulisan tersebut. Memaki hamun laksana orang yang tiada budi bahasa bukanlah sesuatu yang kita cari.

Lucu saya bertambah-tambah kerana si pemberi komen tidak langsung memaparkan nama sebenar, sebaliknya hanya memberikan nama samaran seorang wanita yang tiada langsung sumber penghubung yang boleh digunakan untuk berhubung. Namun saya tidak menjumpai langsung apa-apa nombor telefon atau alamat yang membolehkan saya berhubung, setidak-tidaknya ada juga cara untuk saya bertanya khabar atau bertanya apakah masalah mental yang sedang dihadapi oleh para pemberi komen tersebut. Ketiadaan maklumat penghubung telah menyukarkan sedikit usaha untuk 'bertanya khabar' kepada pemberi komen. Namun begitu, nampak gaya dari hasil komen yang diberikan, adalah dipercayai bahawa pemberi komen itu masih lagi bersekolah rendah dengan tulisan yang sedikit kebudak-budakan.

Kita sebagai penulis blog tidaklah perlu menghiraukan sangat akan apa yang dikomen oleh pemberi komen, anggap sahajalah ianya asam garam untuk menulis di blog. Jika kita tersekat dengan komen-komen yang menjatuhkan, kita mestilah menambahkan kekuatan dalaman dalam menerima tulisan-tulisan komen berbentuk negatif yang tidak memberikan apa-apa sumbangan untuk perubahan yang positif. Jadi, untuk apa melayan komen-komen sebegitu? Teruskan menulis mengenai isu-isu semasa yang kita rasakan tidak bertentangan dengan undang-undang negara. Barangkali tulisan kita itu mampu mengubah sesuatu keadaan menjadi lebih baik, siapa tahu?

0 comments:

Post a Comment

My Instagram