Semalam saya telah berkunjung ke The Mall, sebuah kompleks beli belah terkenal di Kuala Lumpur. Tujuan saya ke sana ialah untuk mendaftarkan syarikat baru saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Proses menunggu amatlah lama kerana terlalu ramai orang yang ingin mendaftar atau memperbaharui pernigaan mereka. Setelah lebih tiga jam menunggu, akhirnya tiba giliran saya untuk membuat bayaran pendaftaran syarikat saya itu. Pada kebiasaannya, selepas membuat pembayaran, para pendaftar boleh ke mana-mana tempat yang mereka suka sebelum boleh mengambil sijil pendaftaran syarikat yang biasanya boleh siap dalam masa sejam atau lebih. Kebetulan, saya telah membuat pembayaran pada pukul 1:45 dan selepas itu saya terus ke medan selera The Mall untuk makan tengahari.
Apabila tiba di medan selera tersebut, saya terus meninjau-ninjau makanan apakah yang memenuhi selera saya. Setelah meneliti sebuah gerai nasi campur dan mendapati lauk pauk yang disediakan hampir habis, saya mengambil keputusan untuk memesan nasi goreng daging merah dan sirap limau. Saya pun mencari tempat duduk yang sesuai (iaitu berdekatan pintu kerana lebih sejuk daripada meja yang berdekatan gerai yang agak panas) dan duduk sementara menunggu makanan dan minuman yang saya pesan itu tiba. Sementara menunggu, saya dapat lihat petugas-petugas gerai sudah bersedia di depan pintu medan selera untuk memujuk para pengunjung untuk memesan makanan di gerai mereka. Sungguh petah mereka memujuk sehingga pengunjung yang tiba bersetuju untuk memesan makanan di gerai mereka. Sebenarnya, saya melihat perlakukan itu bukanlah dengan pandangan kosong sahaja, tetapi saya mendapat motivasi daripada proses pemujukan sehingga para pengunjung boleh duduk dan memesan di gerai yang dipromosikan oleh para petugas gerai tersebut.
Apa yang boleh saya lihat (dan kita juga melihat) ialah proses pemujukan perlukan perhatian khusus dan proses yang pantas. Siapa cepat dia dapat! Para petugas gerai tersebut memang lebih pantas daripada petugas dari gerai yang lain. Saya juga mendapat layanan yang pantas sehinggakan selepas saya duduk, ada seorang lagi petugas dari gerai lain baru hendak bertanyakan minuman yang saya ingin pesan, lantas saya mengatakan bahawa saya sudahpun memesan air minuman yang saya inginkan. Jadi, petugas yang paling cepat bertindak akan dapat menarik pelanggan untuk memesan minuman dari gerai mereka. Jika mereka lambat, petugas lain akan berjaya mendapatkan pesanan minuman daripada pelanggan tersebut.
Setiap masa adalah bernilai. Ini berkait rapat dengan kepantasan para petugas mendapatkan pelanggan. Selepas sahaja petugas tersebut menghantar pesanan minuman kepada pelanggan yang memesan air daripada gerai mereka, petugas tersebut tidak membuang masa dan terus mendapatkan pelanggan yang baru kerana bagi mereka, sesaat mereka lewat, mungkin petugas lain akan berjaya mendapatkan pesanan daripada bakal pelanggan yang baru tiba di medan selera itu. Jadi, masa amatlah penting dan mereka tidak boleh terlewat. Inilah kepentingan masa bagi petugas yang bertugas di medan selera tersebut.
Petugas gerai tersebut juga mempunyai strategi yang jitu iaitu berada di tempat yang betul semasa bakal pelanggan mereka mula mencari-cari gerai yang sesuai. Sudah pastilah mereka tidak hanya berdiri di depan gerai mereka dan menunggu sahaja bakal pelanggan untuk bertanya apa menu istimewa yang mereka tawarkan. Tetapi mereka sudah bersedia di bahagian hadapan pintu medan selera untuk mempromosikan menu makanan istimewa yang ditawarkan oleh gerai mereka. Andainya mereka hanya menunggu di depan gerai dan berharap bakal pelanggan datang kepada mereka, itu tidak menjadi kerana petugas dari gerai lain akan secara pantas mendapatkan bakal pelanggan itu untuk memesan daripada gerai mereka pula. strategi tersebut berjaya mendapatkan lebih ramai bakal pelanggan untuk memesan di gerai mereka.
Selain daripada menu dan kebersihan, kuasa memujuk amat penting sekali untuk menjadi seorang petugas gerai. Mereka perlu yakin dan mempunyai pengetahuan yang luas berkenaan dengan produk yang mereka jual (product knowledge). Sekiranya mereka hanya diam dan menunggu bakal pelanggan mereka yang bertanya mengenai apa yang mereka jual, sudah pastilah mereka akan mudah kehilangan pelanggan. Seorang petugas gerai mestilah tahu apa yang mereka jual supaya mereka boleh memujuk bakal pelanggan untuk memesan makanan atau minuman daripada gerai mereka kerana sudah pasti bakal pelanggan ingin tahu apa yang mereka jual dan adakah makanan yang ditawarkan itu memenuhi selera mereka.
Akhir sekali, penampilan makanan dan penampilan diri petugas perlulah cemerlang kerana selain kebersihan gerai, para pelanggan ingin juga menyaksikan makanan yang mereka pesan itu berterampilan (presentable) dan tidak disediakan dengan sambil lewa. Tukang masak mereka telah menyediakan makanan yang berterampilan sebagai membalas jasa pelanggan tersebut memesan dari gerai mereka. Ia juga perlulah sedap dan enak supaya pelanggan tersebut ingat akan gerai tersebut dan akan datang semula pada masa akan datang. Petugas juga menjaga keterampilan diri dengan pakaian yang bersih dan penampilan yang tidak selekeh walaupun mereka bekerja di tempat yang panas dan berminyak.
Walaupun saya hanya menjamu selera selama 10 minit sahaja (saya memang biasa tidak menunggu lama di meja makan selepas menjamu selera) tetapi, apa yang saya lihat di medan selera tersebut telah memotivasikan saya untuk lebih pantas dan bijak dalam perniagaan yang saya jalankan. Sekiranya saya lewat, orang lain akan dapat mengambil kesempatan ke atas kelewatan saya itu. Bayangkanlah seorang petugas gerai pun boleh memberikan saya motivasi, inikan pula kita yang bekerja sebagai seorang profesional, mestilah sentiasa berfikir tentang apa yang kita lakukan di dalam setiap tugasan kita.
0 comments:
Post a Comment