Hikmah Dari Roti Fiber dan Segelas Milo

Semenjak dua menjak ni, saya tak sempat nak beli nasi lemak di Kayu Ara ataupun TTDI. Sampai di pejabat pun pukul 8:50, masuk kerja pukul 9:00 pagi, memang tak sempatlah nak beli. Kalau roti canai, apatah lagi, di tempat kerja saya ni tiada restoran Mamak. Restoran paling dekat pun ialah di TTDI (sepanjang pengetahuan saya lah) dan kena memandu untuk sampai ke sana. Jalan paling selamat untuk bersarapan ialah dengan roti fiber dan segelas Milo.

Sebenarnya, setiap sesuatu yang terjadi itu pasti ada hikmahNya. Allah memberi hikmah pada perkara yang kita tidak sedar pun. Kita ingatkan sesuatu perkara itu baik untuk kita, tapi sebenarnya Allah Yang Maha Mengetahui, ia barangkali tidak berapa baik untuk kita. Begitu juga dengan perkara yang mungkin kita rasa tak relevan dengan kita, barangkali itulah yang terbaik untuk kita. Jadi, apa yang telah terjadi kepada kita, itulah yang terbaik untuk kita walaupun kita melihatnya tidaklah berapa baik, hanya Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya yang kita tidak pernah terfikir atau terdetik di dalam hati.

Ingatlah bahawa kita sebagai hamba Allah Yang Maha Esa, perlu akur dengan setiap takdir yang telah ditetapkan. Memanglah kita sepatutnya meminta dan berdoa kepada Allah supaya dijauhkan diri kita dan keluarga kita daripada mara bahaya, bencana, fitnah dan sebagainya, tetapi dalam hal yang kecil-kecil seperti tidak sempat hendak membeli nasi lemak yang amat lazat dimakan pada waktu pagi, redha sajalah. Hikmah di sebaliknya ialah kita akan terhindar daripada penyakit-penyakit merbahaya seperti lemah jantung, darah tinggi dan sebagainya, sekiranya dimakan setiap hari. Lagipun, ada apa sangatlah dengan nasi lemak, kita boleh mendapatkan nasi lemak pada bila-bila masa sahaja pada waktu pagi dan malam. Bukan sukar sangat pun untuk mendapatkan nasi lemak.

Jadi, marilah kita berfikir sejenak bahawa setiap sesuatu itu pasti ada hikmah dari Allah. Jika kita tidak suka dengan kerjaya kita sedangkan selama 10 tahun itulah kerjaya yang kita kerjakan, maknanya itulah kerja terbaik untuk kita. Ibu saya pernah berkata, nasib baiklah saya ditakdirkan bekerja di pejabat seperti sekarang, kalau ditakdirkan bekerja sebagai buruh binaan kontrak, tenaga apa yang saya boleh gunakan? Kerjaya di pejabat pun boleh membuatkan saya letih berfikir, inikan pula kerjaya di tapak pembinaan yang akan menyebabkan saya letih fizikal dan mental. Lainlah sekiranya kita boleh melakukan anjakan paradigma untuk menjadi seorang konsultan pula, itu perlukan usaha dan doa yang terus menerus. Justeru, marilah berdoa semoga Allah memberikan yang lebih baik daripada apa yang kita miliki sekarang, insya Allah.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram