Tak Perlulah Mengejar Barangan Yang Susut Nilai..

Apabila seseorang belia atau beliawanis menamatkan alam pengajian di universiti, maka akan bertebaranlah mereka mencari pekerjaan sebagai balasan kepada tahannya mereka mempelajari pelbagai perkara dan menangguhkan sementara dunia pekerjaan untuk 3 atau 4 tahun. Mereka memang boleh memperolehi pendapatan yang lebih tinggi daripada jika mereka tidak menyambung pengajian. Dan apabila mereka memperolehi pendapatan yang lebih tinggi, perkara biasa yang terjadi ialah perbelanjaan mereka turut menjadi besar. Nafsu berbelanja yang tidak dikawal, memungkinkan mereka memperolehi apa yang mereka mahukan.

Bukanlah saya hendak mengajar erti kedekut kepada diri sendiri, kadang-kadang kita perlu juga reward ourself dengan membeli barangan yang kita sukai setelah kita berusaha keras untuk pekerjaan kita. Tetapi, jika kita sudah memiliki sepasang kasut sukan, untuk apa kita membelinya lagi semasa memperolehi gaji pada bulan akan datang? Sememangnya, kita banyak berbelanja kepada perkara-perkara yang mempunyai susut nilai, tetapi tidak mahu membelanjakan wang kita untuk sesuatu yang bersifat tambah nilai, atau aset-aset yang boleh memberikan kita keuntungan pada masa depan. Melabur pada sesuatu yang tidak nampak bukanlah pilihan kita, barangkali.

Kita lebih suka membeli telefon bimbit yang mahal, kereta yang mahal buatan Jepun dan Eropah, komputer riba yang mahal, kasut yang mahal, dan pelbagai lagi barangan yang agak mahal setakat kemampuan kita, sedangkan sekiranya kita ingin menjual barangan-barangan itu selepas walaupun satu hari, ia akan menyusut nilainya sehinggakan kita tercengang mengapa telefon bimbit kita terpaksa dijual pada harga yang rendah daripada harga semasa kita membelinya. Dalam hal ini, adakah berbaloi untuk kita membeli sesuatu barangan yang susut nilainya?

Kita memiliki wang tunai sebanyak RM1500 di dalam tangan kita sekarang. Dan kita terlalu tergila-gilakan telefon bimbit pintar jenama terkenal dengan pad kekunci QWERT nya yang anggun. Kita tidak pun melakukan kajian terhadap telefon bimbit pintar itu walaupun ada lagi telefon bimbit yang pintar jenama terkenal yang dijual dengan harga separuh daripada wang yang ada di dalam tangan kita itu. Kita juga kelabu mata melihat ramai orang lain terutamanya rakan sepejabat kita yang sudah mulai bertukar telefon bimbit biasa ke telefon bimbit pintar tersebut. Yang nyata, mereka itu semua membeli kerana telah terkena demam trend terkini walaupun membelinya hanya untuk tujuan komunikasi sosial dan penerimaan e-mel sahaja, bukanlah ia sebuah gajet yang membantu secara fizikal. Ada diantara mereka yang tidak memahami pun fungsi-fungsi tambahan sesebuah telefon bimbit pintar. Kita yang hanya 'ikut-ikutan' ini pula, terus membelinya hanya kerana orang lain juga membeli. Adakah itu satu tindakan yang bijak?

Sesuatu barangan yang susut nilai semestinya perlu kita elakkan, kecuali jika memang memerlukannya. Jika kita memerlukan telefon bimbit, yang semestinya pada tahun hadapan harganya tidak sama dengan harga hari ini, dan jika harganya pada tahun hadapan adalah disebabkan keluarnya satu model baru yang ditambahbaik terhadap beberapa fungsi sahaja, kita tidak perlulah membeli telefon bimbit yang mahal! Jika kita memiliki wang tunai sebanyak RM1500, adakah kita perlu sangat membeli telefon bimbit berharga RM1500 sedangkan kita boleh membeli sebuah telefon bimbit yang dijual pada separuh harga namun memiliki fungsi yang seakan sama tetapi berlainan jenama? Sudah semestinya tidak! Kita boleh membeli telefon bimbit pada harga RM750 dan membeli atau membelanjakan baki selebihnya untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Atau boleh sahaja kita berikan lebihan RM750 kepada kedua ibubapa kita, pasti mereka tersenyum.

Seseorang graduan semestinya memerlukan sebuah kereta untuk memudahkan pergerakannya dari rumah ke tempat kerja. Semestinya kereta tempatan yang baru berharga separuh daripada harga kereta yang bersesaran enjin yang sama tetapi diimport dari negara luar seperti Jepun dan negara-negara Eropah. Pengalaman saya memandu dan memiliki 2 kereta tempatan dan 2 kereta buatan Jepun (sejak saya menjadi graduan) memberikan saya jawapan bahawa kereta tempatan bukanlah satu pilihan yang wajar dielak kerana penambahbaikan dari tahun ke tahun menyebabkan terhasilnya kereta yang berkualiti. Untuk membeli sebuah kereta Jepun yang bersesaran 1500 cc berharga RM85,000 tetapi akhirnya ia menyusut nilainya tahun demi tahun tetapi kelajuannya sama sahaja dengan kereta tempatan bersesaran 1600 cc tetapi berharga RM60,000 bukanlah satu tindakan yang bijak, dan ia tidak pun berbaloi!

Bukanlah mahu kedekut dengan diri sendiri, tetapi yang patut kita belanjakan wang kita ialah kepada pembelian rumah, pembelian saham, pembelian insuran, pelaburan unit amanah dan pelbagai lagi aset 'naik nilai' bukannya kepada barangan yang nampak secara fizikal dan boleh membuatkan orang lain tertawan, tetapi secara lahiriahnya, kita yang menyimpan 'biawak hidup' yang semakin susut nilainya setiap hari, yang kadang-kadang, kita sendiri tidak menyedarinya pun. Bijaklah berbelanja wang yang kita perolehi secara susah payah, tidak perlu membeli barangan mewah, kecuali jika kita boleh mendapatkan wang tambahan hasil daripada pembelian barangan mewah tersebut. Jadi, sebelum anda hendak memasuki sebuah kedai untuk membeli sesuatu barangan, fikirkan samada ia sebuah barangan susut nilai atau meningkat nilai!

0 comments:

Post a Comment

My Instagram