Motivasi dari Buku Motivasi atau Pengalaman Yang Memotivasikan?

Salam Sejahtera kepada pembaca-pembaca blog saya sekalian.

Tentunya anda pernah melihat seorang motivator menyampaikan ceramah motivasi di dalam program motivasi yang dianjurkannya atau sesi motivasi yang mana motivator tersebut dijemput khas untuk menyampaikan motivasi kepada para pelajar, para pekerja atau sesiapa sahaja yang akan menjadi audien di dalam program motivasi tersebut. Anda juga akan melihat gaya penyampaian motivasi yang disampaikan oleh motivator-motivator yang pastinya berlainan antara satu sama lain.Jika anda tidak pernah menghadiri ceramah-ceramah motivasi, anda boleh sahaja menontonnya di YouTube, di ruang simpanan video dari seluruh dunia tersebut, apabila kita menaip perkataan 'Motivation', pelbagai jenis video yang berkaitan dengan motivasi akan muncul.

Namun demikian, kita dapat lihat bahan-bahan yang disampaikan oleh seseorang motivator itu adalah berdasarkan kepada pengalaman hidupnya sendiri. Ada juga para motivator yang menyampaikan ceramah motivasi berdasarkan pembacaannya terhadap buku-buku motivasi yang berselerakan di kedai-kedai buku. Sebenarnya, tiadalah salah untuk menyampaikan motivasi dari mana-mana sumber pun, tetapi yang penting ialah adakah bahan-bahan tersebut boleh membangkitkan motivasi di kalangan audien yang mendengar? Matlamat sesebuah program motivasi ialah untuk menyemarakkan dan membangkitkan semangat dan motivasi dalaman seseorang audien yang menghadiri program tersebut, jadi sewajarnya, bahan-bahan yang hendak disampaikan di dalam sesebuah program motivasi tersebut perlulah berupaya paling tidak, menyedarkan kembali seseorang audien itu untuk membangkitkan semangat motivasi dalaman yang ada pada setiap audien untuk kembali meningkat naik, kembali bersemangat, kembali untuk mencapai matlamat, dan sebagainya.

Dalam hal ini, tidak kiralah bahan yang disampaikan itu berdasarkan pengalaman atau pembacaan, ia mestilah digunakan dengan sebaik-baiknya sebagai bahan yang boleh menggerakkan orang lain. Ya, kalau seseorang Motivator itu baru berusia 30 tahun dan beliau ingin 'menyedarkan' seseorang audien yang rata-ratanya berusia 30 tahun juga, sudah tentulah pengalaman hidup yang diingatinya hanyalah sekadar dari usia remaja sehingga 30 tahun. Dan jika beliau hanya mengutarakan teori-teori motivasi yang dibaca di dalam buku-buku motivasi dan disampaikan dengan begitu ilmiah sekali, ada kebarangkalian untuk para audien untuk berasa lesu dan mengantuk di dalam program motivasi yang dijalankannya. Teori-teori motivasi yang disampaikan dengan dipenuhi dengan bahasa-bahasa jargon tidak boleh menarik perhatian audien sehingga ke tahap maksimum. Ia perlu disulami dengan kisah-kisah pengalaman hidup yang benar-benar pernah ditempuhi oleh seseorang motivator atau pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui oleh orang-orang yang pernah rapat dengan motivator tersebut. Dengan adanya kisah sebenar untuk diceritakan, para audien pastinya akan lebih menumpukan perhatian kepada apa yang disampaikan oleh motivator tersebut.

Jadi, jika kita hendak memotivasikan orang lain, kita tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membaca begitu banyak buku dan menyampaikannya kepada orang lain sebagai satu kisah motivasi kita kerana kita tidak mengalaminya. Kita tidak dapat menjiwai kisah tersebut lantas para audien akan tertanya-tanya, adakah motivator dihadapannya begitu hebat setelah melalui pelbagai rintangan dan halangan tetapi baru sahaja berusia 30 tahun. Jadi para audien akan lebih menganggap bahawa motivator di hadapannya hanya bercakap kosong berdasarkan teori semata-mata yang belum teruji oleh motivator tersebut. Jadi, motivasi berdasarkan pengalaman sememangnya adalah satu kaedah berkesan untuk dijadikan bahan penting di dalam sebarang ceramah motivasi berbanding dengan hanya membaca 10 buah buku dan menyampaikannya kepada para audien. Para audien pastinya ingin mendengar kisah sebenar untuk ditiru sebagai panduan kehidupannya yang berkesan berbanding kisah dari buku. Lihat sahaja buku-buku Motivasi yang dihasilkan oleh Dale Carnergie yang dipenuhi dengan kisah-kisah sebenar untuk dijadikan motivasi yang boleh membangkitkan semangat dan motivasi di kalangan orang lain yang membaca buku-buku beliau.

0 comments:

Post a Comment

My Instagram